Surah Al-Baqarah : Ayat 124-126

UJIAN BAGI NABI IBRAHIM AS, KEISTIMEWAAN BAITULLAH & FADHILAT MAKKAH.

Full video : https://youtu.be/MLleXZwLA0Y?si=_7tDqFJR_UJ5pXAE

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 124 sehingga ayat 126 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang ujian bagi Nabi Ibrahim AS, dengan beberapa ujian.
  1. Allah SWT juga sebut keistimewaan Baitullah iaitu Ka’bah.
  1. Kemudian Allah nyatakan tentang doa Nabi Ibrahim untuk Makkah & dibawa beberapa fadhilat Makkah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 124- {DAN (INGATLAH), KETIKA NABI IBRAHIM DIUJI OLEH TUHANNYA DENGAN BEBERAPA KALIMAH (SURUHAN DAN LARANGAN), MAKA NABI IBRAHIM PUN MENYEMPURNAKANNYA. (SETELAH ITU) ALLAH BERFIRMAN: “SESUNGGUHNYA AKU MELANTIKMU MENJADI IMAM (PEMIMPIN IKUTAN) BAGI UMAT MANUSIA”. NABI IBRAHIM PUN MEMOHON DENGAN BERKATA: “(YA TUHANKU!) JADIKANLAH JUGA (APALAH JUA KIRANYA) DARI KETURUNANKU (PEMIMPIN-PEMIMPIN IKUTAN)”. ALLAH BERFIRMAN: “(PERMOHONANMU DITERIMA, TETAPI) JANJIKU INI TIDAK AKAN DIDAPATI OLEH ORANG-ORANG YANG ZALIM.”} (AL-BAQARAH 2:124)

  1. Allah SWT mengingatkan apabila Nabi Ibrahim AS diuji dengan beberapa kalimah {بِكَلِمَـٰتٍۢ} kemudian dia menyempurnakan ujian itu.
  1. Adapun maksud kalimah itu {بِكَلِمَـٰتٍۢ} dikatakan:
    i- Takalif iaitu beberapa arahan & tanggungjawab yang diperintahkan Allah SWT untuk Nabi Ibrahim buatnya!

    ii- Tanggungjawab yang diberikan melalui Syari’at perundangan Islam.
    Lalu nabi Ibrahim menunaikannya!
    Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?} (An-Najm 53:37)
    Iaitu fitrah (sifat) kejadian asal manusia.
    Kata UM Sayyidah Aisyah RA, ia adalah: Potong misai, simpan janggut, bersugi, masuk air dalam hidung ketika berwuduk, potong kuku, basuh semua lipatan anggota, cukur bulu ari-ari, cabut bulu ketiak, banyak guna air untuk bersuci & berkumur.

    iii- Allah uji Ibrahim dengan matahari, bulan & bintang-bintang! Sebagai tanda-tanda kekuasaan Allah SWT!

    iv- Pandangan keempat: iaitu Allah uji Nabi Ibrahim AS dalam kehidupannya:
    a- Berpisah dengan kaumnya apabila bertegas dengan tuhid.
    b- Berdepan dengan raja Namrud kemudian sabar apabila dibakar dengan api.
    c- Hijrah apabila dihalau keluar dari negeri itu.
    d- Ujian apabila diperintah Allah untuk tinggalkan Hajar dan anaknya Ismali.
    e- Kemudian diperintahkan untuk menyembelih anaknya Ismail pula.
    Kata ulama’ tafsir yang paling jelas ialah pandangan yang keempat iaitu ujian dalam kehidupan Nabi Ibrahim.
  1. Kemudian Nabi Ibrahim menunaikan tanggungjawabnya, menyempurnakan segala ujian & perintah Allah SWT itu!
  1. Nabi Ibrahim adalah sebagai contoh, ikutan bagi manusia kerana Allah telah manjadikannya sebagai ketua, imam {إِمَامًۭا} ikutan manusia!
  1. Ibrahim tidak diam setakat itu saja, tetapi nabi Ibrahim berdoa agar pemimpin dunia selepas dari ini adalah daripada anak cucu keturunannya juga! Sebagai legasi untuk menyambung perjuangan dakwahnya.
  1. Allah menerima sebahagian permintaannya, perkenankan doanya itu supaya sebahagian anak cucunya menjadi pemimpim dalam agama! tetapi ingat mereka yang tidak layak tidak akan dilantik.
    Kerana pemimpin ini hanya akan diberi kepada mereka para walinya yang taat kepada Allah & tidak akan diberi kepada musuhnya!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    i- {Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.} (As-Saaffaat 37:113)

    ii- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab-kitab agama; maka sebahagian di antara mereka: orang yang beroleh hidayah petunjuk, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik derhaka.} (Al-Hadiid 57:26)
  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah peringatkan akan nikmat yang banyak yang dianugerahkan kepada bani Israel, kemudian mereka ingkar & kufur akan nikmat itu;

    ii- Maka Allah SWT sebut dalam ayat ini kisah Nabi Ibrahim, bapa segala anbiya’ yang yahudi dakwan ikut mereka!
    Bagaimana boleh sedangkan Ibrahim adalah datuk moyang mereka, yang sebelum Ishak & Ya’kub lagi.
    Sedangkan nama bani Israel bermula dari Nabi Ya’kub AS.
    Maka jika benar kamu dakwa kamu ikut nabi Ibrahim maka ikutlah ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kerana dia ikut ajaran Nabi Ibrahim AS!
  1. Nota 46: Yakni doa Nabi Ibrahim untuk melantik dari anak cucu keturunannya sebagai pemimpin orang yang beriman diperkenankan oleh Allah.
    Tetapi orang yang zalim kufur derhaka keras kepala dari keturunannya akan tertolak kerana mereka tidak layak menjadi pemimpin & tidak layak untuk menjadi contoh kepada pengikut-pengikutnya!

AYAT 125- {DAN (INGATLAH) KETIKA KAMI JADIKAN RUMAH SUCI (BAITULLAH) ITU TEMPAT TUMPUAN BAGI UMAT MANUSIA (UNTUK IBADAT HAJI) DAN TEMPAT YANG AMAN; DAN JADIKANLAH OLEH KAMU MAKAM IBRAHIM ITU TEMPAT SEMBAHYANG. DAN KAMI PERINTAHKAN KEPADA NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL (DENGAN BERFIRMAN): “BERSIHKANLAH RUMAHKU (KAABAH DAN MASJID AL-HARAAM DARI SEGALA PERKARA YANG DILARANG) UNTUK ORANG-ORANG YANG BERTAWAF, DAN ORANG-ORANG YANG BERIKTIKAF (YANG TETAP TINGGAL PADANYA), DAN ORANG-ORANG YANG RUKUK DAN SUJUD”.} (AL-BAQARAH 2:125)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah jadikan manusia akan ikut nabi Ibrahim untuk mengerjakan haji. Lalu Allah beri kemuliaan kepada nabi Ibrahim untuk bina Ka’bah.
    Kemudian Allah bawa ayat ini untuk menyatakan kepada ahli kitab bahawa mereka tidak ikiutpun kitab mereka, bahkan mereka amat keras kepala dalam isu pertukaran arah kiblat.

    iii- Allah bawa ayat ini bahawa telah jadikan Baitullah sebagai tempat kerinduan & keamanan umat Islam sepanjang zaman.
    Mereka akan ingin pergi lagi kepadanyna walaupun telah datang beberapa kali.
    Allah akan beri keamanan kepada diri & harta kita. Hatta haiwan & benda-benda kaku juga akan aman di Makkah.
  1. Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya aman ini ialah aman atau selamat harta & diri dan keluarga daripada dirampas atau dibunuh apabila memasuki Makkah.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan ayat seterusnya:
    i- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.} (Al-Baqarah 2:126)

    ii- {Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh)? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?} (Al-‘Ankabuut 29:67)

    iii- {Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.} (Ali-‘Imraan 3:97)

    Boleh baca tentang perbincangan khas tentang hukum & kelebihan tanah Haram Makkah dalam buku ini: https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Antara keistimewaanya ialah Allah perintahkan untuk mejadikan Maqam Ibrahim sebagai satu tempat solat!
    Ia termasuk dalam perkerjaan haji & umrah, setelah menunaikan tawaf kita disunatkan untuk solat sunat tawaf di belakangnya jika ada peluang. Jika tidak boleh undur jauh.
  1. Apakah Maqam Ibrahim ini { مَّقَامِ إِبْرَٰهِـۧمَ}? Iaitu sekeping batu tempat Ibrahim AS berdiri ketika membina Ka’bah bersama anaknya nabi Ismail AS. Terdapat kesan tapak kakinya berpijak atas batu itu, batu menjadi lembut dan melekat di situ.
    Hatta orang Arab jahiliyyah tengok kesan kaki itu & mengatakan bahawa kaki Rasulullah SAW dengan kesan kaki nabi Ibrahim itu adalah sama!
  1. Dijadikan ia sebagai salah satu tempat kerja haji seperti Arafah, Muzdalifah, tempat melontar dan sebagainya.
    Dijadikan tempat solat & berdoa di belakangnya selepas tawaf, solat sunat tawaf.
    Sebagai tanda penyatuan & pernghormatan terhadap Nabi Ibrahim AS.
  1. Di Ka’bah itu terdapat dua batu yang berkait dengannya:
    i- Hajaral Aswad yang mempunyai kelebihan yang tersendiri, sunat disalami & dikucup serta digosok.

    ii- Batu Maqam Ibrahim. Batu pelapik yang ada kesan tapak kaki Nabi Ibrahim AS. Hanya boleh dilihat saja bukan untuk digosok & dicium, hanya sebagai tanda tempat solat!
    Alhamdulillah Makkah & Madinah ini masih selamat daripada perkara-perkara khurafat, terdapat jemaah yang pergi ke Makkah atau Madinah mencari tiang jin dan lain-lain kisah israiliyyat.
  1. Hadis tentang kelebihan Umar Al-Khattab RA: Diriwayat daripada Anas Bin Malik, katanya: Umar Bin Al-Khattab RA berkata:
    وَافَقْتُ رَبِّي فِي ثَلاَثٍ: فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللهِ، لَوِ اتَّخَذْنَا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى، فَنَزَلَتْ: {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى} وَآيَةُ الحِجَابِ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، لَوْ أَمَرْتَ نِسَاءَكَ أَنْ يَحْتَجِبْنَ، فَإِنَّهُ يُكَلِّمُهُنَّ البَرُّ وَالفَاجِرُ، فَنَزَلَتْ آيَةُ الحِجَابِ، وَاجْتَمَعَ نِسَاءُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الغَيْرَةِ عَلَيْهِ، فَقُلْتُ لَهُنَّ: عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبَدِّلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ، فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ
    Maksudnya: “Pendapat aku seiring dengan perintah Tuhanku dalam tiga perkara.
    (Pertama) Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya kalau kita jadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.’ Maka turunlah ayat ini (yang bermaksud): ‘Dan jadikanlah Maqam Ibrahim itu sebagai tempat solat.’ [Surah Al-Baqarah: 125]
    (Kedua) Berhubung dengan ayat hijab, aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau suruh isteri-isteri engkau berhijab, kerana orang baik dan orang jahat semuanya boleh bercakap dengan mereka.’ Maka turunlah ayat hijab.
    Dan (ketiga) para isteri Nabi SAW berkumpul kerana cemburu kepada Baginda. Aku pun berkata kepada mereka: ‘Mungkin jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu.’ Maka turunlah ayat ini.”
    [HR al-Bukhari (402)].
  1. Dalam hadis riwayat Jabir RA yang panjang tentang Haji Nabi SAW: Kata Jabir Bin Abdillah RA:
    قالَ جَابِرٌ رَضِيَ اللَّهُ عنْه: لَسْنَا نَنْوِي إلَّا الحَجَّ، لَسْنَا نَعْرِفُ العُمْرَةَ، حتَّى إذَا أَتَيْنَا البَيْتَ معهُ، اسْتَلَمَ الرُّكْنَ فَرَمَلَ ثَلَاثًا وَمَشَى أَرْبَعًا، ثُمَّ نَفَذَ إلى مَقَامِ إبْرَاهِيمَ عليه السَّلَام، فَقَرَأَ: {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى} [البقرة: 125]، فَجَعَلَ المَقَامَ بيْنَهُ وبيْنَ البَيْتِ، فَكانَ أَبِي يقولُ -وَلَا أَعْلَمُهُ ذَكَرَهُ إلَّا عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ-: كانَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ}. ثُمَّ رَجَعَ إلى الرُّكْنِ فَاسْتَلَمَهُ،
    Kata Jabir RA berikutnya: “Semua kami yang turut serta bersama baginda tidak meniatkan melainkan hendak melaksanakan haji semata-mata (haji Ifrad). Tidak kami ketahui ibadah umrah (dalam musim haji). Sehinggalah kami sampai di Kaabah bersama baginda. Nabi SAW melakukan Istilam di al-Rukun (Hajaral-Aswad) dan mula melakukan ramal (berlari anak) pada tiga pusingan (awal) dan berjalan biasa pada baki empat pusingan lagi. Setelah itu (selesai dari tawaf) baginda menuju ke maqam Ibrahim AS sambil membaca: وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى Maksudnya: “Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat solat.” [Al-Baqarah: 125]. Baginda menjadikan maqam Ibrahim berada di antara baginda dengan Kaabah. Kata bapaku (ungkapan ini daripada Ja’far bin Muhammad): “Tidak aku ketahui, beliau (Jabir RA) menyebutnya melainkan dari Nabi SAW: Baginda membaca dalam dua rakaat tersebut Qulhuwallahu Ahad dan Qul Ya ayyuhal Kafirun. Setelah itu baginda kembai ke al-Rukn (Hajarul Aswad) dan melakukan istilam. [HR Imam Muslim].
  1. Di akhir ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada nabi Ibrahim & nabi Ismail AS dengan wasiat pesanan yang kuat supaya membersihkan Masjidil-Haram dari segala kekufuran, maksiat, berhala, najis, dari kotaran dan binalah rumah ini semata-mata kerana Allah Azza wa Jalla.
  1. Iaitu sebagai perserdiaan untuk: Orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf yang tetap tinggal padanya, dan orang-orang yang rukuk dan sujud.
  1. Umat Islam kena jaga kesucian Baitulah, Masjidil-Haram & semua masjid hatta masjid tempat kita pun wajib di jaga kesucian & kebersihannya dari segala perkara yang tidak baik terutamanya dari syirik.
  1. Tetapi malangnya masjid hari ini telah dicemari oleh mereka yang mendakwa pencinta Nabi SAW, dengan membawa gendang muzik ke dalam masjid. melompat menari! Kita katakan ini termasuk dalam mencemarkan masjid!

AYAT 126- {DAN (INGATLAH) KETIKA NABI IBRAHIM BERDOA DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH (NEGERI MAKKAH) INI, NEGERI YANG AMAN SENTOSA, DAN BERIKANLAH REZEKI DARI BERBAGAI JENIS BUAH-BUAHAN KEPADA PENDUDUKNYA, IAITU ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT DI ANTARA MEREKA”. ALLAH BERFIRMAN:” (PERMOHONANMU ITU DITERIMA) TETAPI SESIAPA YANG KUFUR DAN INGKAR MAKA AKU AKAN BERI JUGA IA BERSENANG-SENANG MENIKMATI REZEKI ITU BAGI SEMENTARA (DI DUNIA), KEMUDIAN AKU MEMAKSANYA (DENGAN MENYERETNYA) KE AZAB NERAKA, DAN (ITULAH) SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI”.} (AL-BAQARAH 2:126)

  1. Ayat ini menceritakan tentang doa nabi Ibrahim AS kepada kebaikan untuk Makkah. Nabi Ibrahim AS ini seorang yang suka & sentiasa berdoa.
  1. Hadis tentang hukum & kelebihan Makkah:
    i- Rasulullah SAW bersabda: إنَّ إبْراهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ ودَعا لأَهْلِها
    “Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuk penduduknya. Dan aku mengharamkan Madinah di antara dua tanah hitamnya , jangan dipotong pokoknya dan jangan ditangkap bintang perburuannya.” [HR Muslim No.1362].

    ii- Doa Rasulullah SAW juga: عن عبد الله بن زيد رضي الله عنه, أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إنَّ إبْراهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ ودَعا لأَهْلِها، وإنِّي حَرَّمْتُ المَدِينَةَ كما حَرَّمَ إبْراهِيمُ مَكَّةَ
    Dari Abdullah bin Zaid RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim AS telah menjadikan Makkah sebagai tanah haram dan mendoakan penduduknya, dan aku telah menjadikan Madinah sebagai tanah haram sepertimana Nabi Ibrahim AS telah menjadikan Makkah sebagai tanah haram, dan aku berdoa untuk (keberkatan) cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim as berdoa untuk Mekah.” [HR Muslim (1360)].
  1. Sebuah lagi buku kembar buku Makkah iaitu buku Madinah yang amat patut dimiliki untuk mereka yang mahu menunaikan umrah atau haji, hatta sebagai tambahan ilmu:
    https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Doa Nabi Ibrahim lagi agar Allah rezekikan dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduk Makkah yang beriman.
    Sedangkan bumi Makkah tiada air. Tetapi Allah jadikan bumi Taif sebuah bandar yang berdekatan Makkah (60-70 km) sebagai sebuah tanah yang subur, ditumbuhi pelbagai pokok buahan & sayuran kemudian diimport masuk ke Makkah.
  1. Firman Allah SWT :
    {Dan mereka (yang kafir) berkata: “Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)”. Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).} (Al-Qasas 28:57)
  1. Allah jawab bahawa sebahagian doanya diterima dan ada yang tidak diterima.
    Yakni Allah terima doanya untuk menjadikan dari zuriatnya pemimpin di kalangan orang mukmin.
    Tetapi tidak pada doa minta rezeki yang terbatas untuk orang mukmin sahaja!
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Ibrahim meminta rezeki hanya untuk orang mukmin sahaja;

    ii- Allah peringatkan bahawa rezeki-Nya yang diperuntukkan atas dunia ini adalah untuk semua manusia sama ada kafir atau mukmin. Bahkan orang kafir ada yang lebih luas rezekinya atas dunia ini!
  1. Ini kerana rezeki atas dunia ini adalah kecil & hanya sedikit berbanding dengan rezeki di akhirat yang memang hanya khas untuk orang mukmin!
    Kemudian mereka orang kafir memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.}
    Yakni atas dunia mewah & senang tetapi di akhirat mereka adalah orang yang celaka & binasa!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    i- {Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.} (Muhammad 47:12)

    ii- {Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
    Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.} (Luqman 31: 23-24)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 124- {Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan),}-

    dalam ayat ini Allah muliakan nabi Ibrahim dengan menisbahkan Zat-nya yang mulia kepada nabi Ibrahim iaitu Tuhannya { رَبُّهُۥ }.
    Menunjukkan kelebihan nabi Ibrahim AS dan Allah SWT juga melantiknya sebagai Khalilullah (kekasih Allah).
    Sebab apa? Ini kerana nabi Ibrahim AS adalah seorang yang patuh, yang akur & taat kepada Allah maka Allah berikan jawatan yang besar kepadanya iaitu Khalilullah.
    Kita juga jika mahu menjadi orang yang mulia , mahu jadi kekasih Allah kita kena tunaikan tanggungjawab, sempurnakan tugas yang Allah berikan kepada kita iaitu tunaikan Rukun Islam yang lima perkara & percaya kepada Rukun Iman yang enam perkara kesemuanya!
    Bila kamu sempurna jalankan tugasmu, maka Aku beri kamu tugas jadi Imam, jadi pemimpin kepada manusia yang lain!
  1. Ayat 124- {Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan),}-

    Allah beri beberapa ujian kepada nabi Ibrahim AS.
    Begitulah Allah SWT apabila nak lihat tahap keimanan dan kesabaran manusia maka diberinya ujian.
    Kadang-kadang Allah nak beri pahala yang banyak kepada kita, tetapi kita tak akan sampai ke tahap itu dengan amal ibadat yang kita buat, maka diberinya kita ujian.
    Ada orang yang sakit bertahun-tahun, anak isteri atau suaminya sabar dalam menjaga orang sakit pula tanpa mengeluh maka Allah akan beri pahala yang banyak!
    Ujian Nabi Ibrahim begitu besar apabila dapat anak yang ditunggu-tunggu, disuruh tinggalkan di Makkah yang tiada manusia pada masa itu.
    Kemudian apabila Ismail besar remaja diperintahkan pula untuk menyembelihnya!
    Allahu Akbar tidak akan ada orang yang mampu taat ujian yang begitu berat kecuali orang yang berjiwa besar seperti nabi Ibrahim & anaknya Ismail
    Tetapi kerana dia sabar Allah angkat darjatnya sehingga ke hari ini umat Islam seluruh dunia menyebut namanya dalam selawat bersama dengan nabi Muhammad SAW dalam setiap solat kita!
    Maka macamana tak besar & tinggi darjat nabi Ibrahim- kerana dia telah melalui ujian yang amat besar & dia telah lulus dalam menghadapinya, maka Allah angkat darjatnya!
    Maka kita hari ini jika nak jadi orang besar & hebat, jadilah seperti Nabi Ibrahim yang begitu tabah & sabar menghadapi ujian dari Allah!
  1. Ayat 124- {(Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”.} & Ayat 125- {dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang.}-

    Nabi Ibrahim dilantik menjadi imam bagi manusia & tempat pijak kakinya { مَّقَامِ إِبْرَٰهِـۧمَ} menjadi tempat solat {مُصَلًّۭى ۖ}. Nabi Ibrahim diangkat darjatnya sehingga tempat pijak kakinya, Maqam Ibrahim masih diberi tempat- disebut dalam Al-Quran dan menjadi tempat solat sehinggalah hari Kiamat. Ini kerana ia juga termasuk dalam simbol penyatuan umat Islam. Orang yang pergi ke Makkah solat di situ, orang yang jauh solat mengarah kepada Masjidil-Haram, mereka yang berada di Makkah pula menghadap Ka’bah!
    Hikmah Allah jadikan Ka’bah itu sebab tempat arah untuk dihadap solat & disebutkan khas juga Maqam Ibrahim sebagai tempat solat untuk menaikkan darjat nabi Ibrahim AS.

    Kata ulama’ tadabbur : Orang yang nak jadi ketua kena naik dengan sebab keimanannya, ilmu kefahamannya, amalan & kebaikannya. Bukan hanya semata dengan sebab keturunan jika layak.
  1. Ayat 126- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”.}-

    Nabi Ibrahim berdoa minta Allah berikan rezeki kepada orang yang beriman sahaja.
    Tetapi Allah jawabnya dengan mengatakan tidak- Dia akan berikan rezeki-Nya kepada semua atas dunia ini!
    Tetapi ingat orang kafir hanya dapat makan & kaya di atas dunia ini saja, tetapi orang yang beriman akan dapat rezeki yang berkekalan sehingga ke hari akhirat.
    Antara rezeki yang besar yang Allah beri kepada orang beriman ialah jawatan Al-Imamah iaitu mempimpin manusia!
    Orang kafir boleh jadi pemimpin juga atas dunia ini tetapi setakat itu sajalah. Apabila mati cerita lain!

    Orang Islam yang jadi pemimpin jika buat kerja dengan amanah & ikhlas- besar pahalanya di akhirat kelak.
    Sehingga Rasulullah SAW masukkan mereka sebagai golongan pertama yang akan dapat duduk di bawah bayangan Arasy pada hari Kiamat kelak iaitu dengan syarat menjadi Imam yang adil!
    Allah ajar adab kepada kita agar jangan sempitkan rezeki atas dunia ini.
    Allah ajar adab kepada nabi Ibrahim bahawa rahmat-Nya hanya untuk orang beriman tetapi rezeki makan minum harta kekayaan dan lain-lain adalah untuk semua manusia atas dunia ini beriman atau tidak termasuk haiwan.
  1. Doa Nabi Ibrahim lagi : Ayat 126- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa.}-

    Apakah maksudnya bumi yang aman { بَلَدًا ءَامِنًۭا} ini? Ada beberapa pendapat ulama’ tentang maksud bumi yang aman ini:
    i- Aman dari api neraka. Sesiapa yang masuk Makkah beriman kepada Allah.
    mereka dapat mengerjakan haji & umrah dalam keadaan aman maka dia akan aman dari azab Allah!
    Ya Allah jadikan haji kami, haji yang mabrur & umrah kami, umrah yang mabrurah.

    Hadis- Sabda Rasulullah SAW: “Haji yang mabrur tiada balasan lain kecuali syurga.” [HR Ahmad].

    ii- Aman dari dibunuh & dikhianati oleh penduduk Makkah atau orang yang nak balas dendam kepada mereka.
    Orang kafir jahiliyah dulu tidak akan bunuh orang di tanah Haram kecuali dibawa keluar dulu.

    iii- Aman dari dijatuhkan hukuman kerana undang-undang hudud tidak akan dilaksanakan dalam tanah Haram kena bawa keluar dulu, mengikut pandangan sebahagian ulamak.
    Tetapi sekarang hudud dilaksanakan dalam tanah Haram.

    iv- Aman dari peperangan kerana Haram berperang di dalamnya sehingga ke hari Kiamat.
    Hanya dibenarkan seketika beberapa saat untuk Rasulullah SAW semasa Pembukaan Makkah.

    Kata Ibnu Al-Arabi pendapat yang sahihnya ialah yang kedua; iaitu sesiapa yang masuk Makkah maka ia akan aman dari dikhianati atau dikhianati oleh orang yang ada di Makkah, pada zaman orang menghormati tanah Haram dulu!
    Sekarang ini semua boleh jadi scammer atau penipu ada di mana-mana.
    Kecuali orang yang soleh, baik & ikhlas mereka inilah yang selamat Insya’ Allah!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs