Surah Al-Baqarah : Ayat 144-147

NABI SAW INGIN KIBLAT KE KA’BAH, MENDAPAT KEIZINAN & AHLI KITAB DAH KENAL TAPI TAK MAHU.

Full video : https://youtu.be/tROJ2r1A2nk?si=35ZgLA8BqAcyoVFl

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 144 sehingga ayat 147 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Nabi SAW ingin menghadap Kiblat ke arah Ka’bah di Makkah kerana ia adalah rumah tertua yang dibina untuk beribadat. Juga kerana ia adalah kiblat yang Allah letakkan untuk nabi Ibrahim & Ismail AS.
  1. Alhamdulillah Rasulullah SAW mendapat keizinan dari Allah SWT untuk menukar arah kiblat dari Baitul-Maqdis ke arah Ka’bah di Makkah.
  1. Namun ahli kitab Yahudi & Nasrani yang degil keras kepala dah kenal tapi tetap tak mahu. Inilah yang paling berat atas dunia ini, kenal tak mahu, kenal tak cinta! Inilah jenayah yang dibuat oleh ahli kitab kerana mereka menolak walaupun ilmu & maklumat telah ada di sisi mereka! Tiada keuzuran dengan kejahilan!
  1. Allah SWT juga telah menurunkan ayat sebelum pertukaran kiblat ini untuk memberi peringatan awal kepada Rasulullah SAW agar bersedia membuat persiapan untuk menghadapi satu isu yang akan dimainkan oleh Yahudi, munafiq & kuncu-kuncu mereka
  1. Cerita penuh tentang pertukaran kiblat ini & lain-lain sejarah tentang Madinah boleh dibaca dalam buku Madinah:
    https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
    i- Rasulullah SAW apabila diperintah untuk menghadap kiblat ke arah Baitul-Maqdis. Baginda sangat ingin agar kiblatnya balik menghadap ke arah Ka’bah di Makkah. Kerana ia adalah kiblat datuknya nabi Ibrahim AS. serta orang Arab juga sudah biasa & sinonim dengan Ka’bah, mereka amat kenal & menghormatinya. Maka untuk mendapat sokongan & dokongan mereka dalam agama ini pastilah lebih mudah jika kiblat ke arah Ka’bah.

    ii- Manakala kaum Yahudi pula adalah satu bangsa yang degil keras kepala & tidak memberi kesan kepada mereka untuk berlunak. Bahkan mereka memerli Rasulullah SAW mengingkari Nabi SAW tak suka kiblat Yahudi kerana itu Baginda sering mendonggakkan mukanya ke langit mengharapkan agar kiblat ditukar ke arah Ka’bah.

    ii- Lalu Allah SWT menurunkan ayat 142 agar Rasulullah SAW bersedia untuk menghadapi kecaman, provokasi ejekan & troll yang akan dimainkan oleh puak Yahudi! Allah beri amaran bahawa orang bodoh pasti akan mengkritik & mencemuh!

    iii- Kemudian diturunkan ayat ini sebagai arahan mu’tamad tentang pertukaran kiblat umat Islam ke arah Ka’bah di Makkah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 144- {KERAP KALI KAMI MELIHAT ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD), BERULANG-ULANG MENENGADAH KE LANGIT, MAKA KAMI BENARKAN ENGKAU BERPALING MENGADAP KIBLAT YANG ENGKAU SUKAI. OLEH ITU PALINGKANLAH MUKAMU KE ARAH MASJID AL-HARAAM (TEMPAT LETAKNYA KAABAH); DAN DI MANA SAHAJA KAMU BERADA MAKA HADAPKANLAH MUKA KAMU KE ARAHNYA. DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG TELAH DIBERIKAN KITAB, MEREKA MENGETAHUI BAHAWA PERKARA (BERKIBLAT KE KAABAH) ITU ADALAH PERINTAH YANG BENAR DARI TUHAN MEREKA; DAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI LALAI AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:144)

  1. Nota tafsir : Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah, dan sesudah Baginda dan orang-orang Islam diperintahkan berkiblat ke Baitul-Maqdis, maka kelihatan Baginda selalu mengadah (mendongak) ke langit dan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dibenarkan peralihan kiblat ke Baitullah, di Makkah Al-Mukarramah, kiblat nendanya (datuknya) Nabi Ibrahim AS. yang menghadap ke arah Ka’bah.
  1. Kemudian Allah SWT turunkan ayat ini: { فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا}- maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai.
  1. Sabab nuzul ayat:
    i- Riwayat Al-Bara’ RA bahawa semasa di Madinah Rasulullah SAW diperintahkan untuk solat menghadap ke arah Baitul-Maqdis selama 16 atau 17 bulan sedangkan Baginda suka sekiranya boleh menghadap ke arah Ka’bah. Kemudian Baginda mendapat perintah untuk tukar semula kiblat ke arah Ka’bah di Makkah. Kata ahli sejarah solat yang pertama kali dilakukan selepas perpindahan kiblat tersebut adalah solat Asar di Masjid Nabi.

    Kata Al-Bara’ lagi timbul persoalan: “Ada beberapa orang yang telah meninggal, sedangkan mereka solat dengan menghadap ke Baitul-Maqdis.
    Maka para sahabat menanyakan tentang keadaan mereka dalam hal tersebut.” Maka turunlah ayat Quran ini.
    [HR Imam At-Tirmizi dari Ibnu Abbas, dan dinyatakannya hadis sahih].

    ii- Kemudian sebagaimana yang telah disebut dalam siri lepas betapa mulia, lembutnya hati & patuh taat kaum mukmin kepada perintah Allah & Rasulullah SAW. Apabila mendengar tentang pertukaran kiblat ini mereka terus menerimanya tanpa banyak soal & karenah!

    Hadis- Dari riwayat Abdullah Bin Umar RA: Sewaktu orang bersolat Subuh di Masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah telah diarahkan menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu. [HR Bukhari].
    Pada waktu itu ahli Quba’ tak tahu lagi tentang pertukaran kiblat, tetapi apabila ada orang yang memberitahunya mereka terus patuh & taat tanpa banyak soal & pertikaian. Mereka percaya & thiqah sesama mereka.
  1. Allah menyatakan bahawa Dia tahu Rasulullah sering mendongak wajahnya ke langit dengan mengharapkan agar wahyu turun mengarahkan kiblat di tukar ke arah Ka’bah.
  1. Lalu Allah SWT menurunkan wahyu membenarkan agar ditukar kiblat ke arah Ka’bah, berpaling ke arah kiblat yang mereka redhai { تَرْضَىٰهَا} yakni tenang & suka kepadanya.
  1. Allah perintahkan untuk kita palingkanlah muka (badan) ketika solat ke arah Masjid Al-Haraam iaitu tempat letaknya Kaabah di mana saja kita berada.
    Allah sebut Masjidil Haram kerana ia lebih besar arahnya.
  1. Kenapa Allah gunakan kalimah (تَرْضَىٰهَا )- bukan (تحبها); Kata Syeikh Ibnu Asyur RHM:
    i- Kerana kalimah redha lebih tinggi daripada kalimah suka kerana ia membawa ketenangan hati, kegembiraan & kesukaan.

    ii- Untuk menyatakan bahawa Nabi SAW suka untuk menghadap ke arah Ka’bah bukan Baitul-Maqdis.
    Ini berdasarkan Ka’bah adalah satu rumah ibadat yang dibina untuk ibadat kepada Allah. Juga sebagai satu niat yang begitu murni untuk menyatukan tauhid kepada Allah SWT & menyatukan seluruh umat Islam dalam dunia ini kepada satu arah.

    iii- Menghadap ke arah Ka’bah adalah satu isyarat bahawa agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah satu agama yang tersendiri- yang bebas dari agama yang dibawa oleh Yahudi & Nasrani!
    Walaupun pada asalnya agama mereka murni tetapi ia telah terbatal dengan diutuskan Rasulullah SAW & Al-Quran menasakhkan kitab-kitab terdahulu.
  1. Dimana saja kamu berada, di timur barat, bumi langit, arahkanlah wajahmu ke arah Ka’bah.
    Kerana itu kata ulama’ jika kita berada di bumi atau langit pun hadaplah ke arah Ka’bah.
    Yakni apabila di atas kapal terbang atau atas bangunan tinggi tak perlu meniarap kerana nak hadap ke arah Ka’bah.
    INIlah pentingnya Allah guna perkataan {شَطْر } ini iaitu ke arah, jika tidak penat kita.
    Walaupun atas langit (kapal terbang) hadap saja ke arah Ka’bah kerana arah udaranya juga tinggi menaik.
  1. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka;} Yakni orang yahudi & nasrani tahu arahan menukar kiblat ke Ka’bah ini adalah benar dari perintah Allah SWT. Bukan suka-suka atau pandai-pandai Rasulullah SAW!
    Ada dalam kitab mereka bahawa kiblat orang Islam itu ialah Ka’bah. Mereka tahu kebenaran tetapi tetap mahu mempermainkan isu ini untuk menyakiti & mengejek Rasulullah SAW. & orang mukmin.
  1. Maka Allah SWT beri amaran kepada mereka beranilah kamu buat perbuatan jahat itu, ingatlah bahawa sesungguhnya Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. Allah akan tetap ambil tindakan atas segala perbuatan kamu itu.

AYAT 145- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ENGKAU BAWAKAN KEPADA ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG TELAH DIBERIKAN KITAB, AKAN SEGALA KETERANGAN (YANG MENUNJUKKAN KEBENARAN PERINTAH BERKIBLAT KE KAABAH ITU), MEREKA TIDAK AKAN MENURUT KIBLATMU, DAN ENGKAU PULA TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENURUT KIBLAT MEREKA; DAN SEBAHAGIAN DARI MEREKA JUGA TIDAK AKAN MENURUT KIBLAT SEBAHAGIAN YANG LAIN. DEMI SESUNGGUHNYA! KALAU ENGKAU MENURUT KEHENDAK HAWA NAFSU MEREKA SETELAH DATANG KEPADAMU PENGETAHUAN (YANG TELAH DIWAHYUKAN KEPADAMU), SESUNGGUHNYA ENGKAU, JIKA DEMIKIAN, ADALAH DARI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-BAQARAH 2:145)

  1. Allah SWT bersumpah: Sesungguhnya jika kamu bawa kepada yahudi & nasrani itu segala bukti & dalil, kamu tegakkan hujjah di hadapan mereka bahawa pertukaran kiblat ini adalah perintah Allah yang haq. Mereka tetap akan ingkari & tidak akan ikut kiblat kamu!
  1. Kemudian Allah bersihkan Rasulullah SAW daripada sangkaan akan ikut arahan & ajakan yahudi: dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; Sebagaimana yahudi itu degil keras kepala, Rasulullah SAW juga sangat mantap imannya & akan tetap teguh ikut perintah Allah SWT semata!
  1. Kemudian yahudi & nasrani itu sesama mereka juga berkelahi, mereka tidak akan ikut kiblat yang lain, masing-masing berkeras kepala & ikut nafsu.
    Kita nampak saja mereka seolah bersatu tetapi hati mereka berpecah sebenarnya.
    Masing-masing ada agenda & kehendak hawa nafsu yang tersendiri.
  1. Ayat ini menenangkan hati Rasulullah SAW & semua orang yang beriman bahawa mereka berada atas kebenaran yang haq.
    Walaupun sesiapa cuba menyalahi mereka, Rasulullah & orang beriman tetap atas arahan.
  1. Setelah datang kepada kamu perintah yang jelas dari Allah supaya menghadap ke arah Ka’bah tetapi jika kamu ikut juga yahudi yang ikut nafsu nak menghadap ke arah Baitul-Maqdis, maka kamu adalah sebahagian orang yang zalim, yang mengikut hawa nafsu!
  1. Sekali ditegaskan bahawa itulah perangai yahudi, perangai yang amat buruk. Tahu kebenaran tetapi tetap tak mahu ikut!

AYAT 146- {ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG KAMI BERIKAN KITAB ITU MENGETAHUI SERTA MENGENALINYA (NABI MUHAMMAD DAN KEBENARANNYA) SEBAGAIMANA MEREKA MENGENAL ANAK-ANAK MEREKA SENDIRI. DAN SESUNGGUHNYA SEBAHAGIAN DARI MEREKA BERUSAHA MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN ITU, SEDANG MEREKA MENGETAHUI (SALAHNYA PERBUATAN YANG DEMIKIAN).} (AL-BAQARAH 2:146)

  1. Kaum Yahudi & Nasrani ahli kitab itu mengenal Rasulullah SAW lebih daripada mereka kenal anak mereka sendiri kerana telah jelas di dalam kitab Taurat dan Injil, sifat & perbadi Rasulullah SAW yang benar.
    Mereka juga tahu menghadap ke arah Ka’bah adalah perintah Allah yang benar.
  1. Inilah manusia yang celaka, tahu tapi tak ikut, tahu tak nak buat!
    Mereka sembunyikan sifat Rasulullah yang benar & tentang Ka’bah sebagai kiblat.
  1. Tanggungjawab para pendakwah begitu besar. Tahu kebenaran tapi tak buat atau tidak sampaikannya. Lebih besar dosanya daripada orang yang benar-benar jahil dan tak tahu. Ini kerana mereka sesat dalam ilmu!

AYAT 147- {KEBENARAN (YANG DATANGNYA KEPADAMU DAN DISEMBUNYIKAN OLEH KAUM YAHUDI DAN NASRANI) ITU (WAHAI MUHAMMAD), ADALAH DATANGNYA DARI TUHANMU; OLEH ITU JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG RAGU-RAGU.} (AL-BAQARAH 2:147)

  1. Yang benar itu datang dari Allah, yang palsu itu adalah mainan yahudi, jangan kamu mudah koyak dengan permainan atau troll si Yahudi yang sentiasa inginkan keburukan untuk umat Islam.
  1. Maka jangan sesekali kamu terperangkap dengan dakyah mereka lalu kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 144- {Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit,}-

    Allah kata Dia melihat Rasulullah sering mendongak ke langit!
    Rasulullah SAW juga mengharapkan wahyu dari langit turun.

    Kata ulama’ ini kita nak mengisbatkan ketinggian Allah SWT. Ia juga menunjukkan bahawa langit adalah kiblat doa & adalah satu perkara yang bukan tidak baik untuk kita mendongak ke langit & berdoa.
    Tetapi ingat, ketika solat. Tak boleh mendongak ke langit bahkan kena tengok ke tempat sujud. Bukan tengok ke atas atau melilau ke sana sini dalam solat!
  1. Ayat 144- {Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.}-

    Kenapa Allah SWT guna perkataan Masjidil-Haram bukan Ka’bah?
    Jawapan:
    i- Ini adalah satu keringanan yang amat besar Allah beri kepada umat ini!
    Jika Allah sebut Ka’bah maka ia adalah ain Ka’bah itu sendiri, maka ia adalah satu kesusahan yang besar.

    ii- Allah sebut {شَطْرَ} ke arah, maka di mana saja kita berada atas dunia ini, timur barat utara Selatan, atas bumi atau langit; kita hadapkanlah ke arah Masjidil-Haram atau Makkah.
    Ka’bah berada di dalam Masjidil-Haram yang terletak di Makkah.
    Yakni dari tempat yang jauh memadai kita hadap ke arah Makkah, yang di Makkah hadap ke arah Masjidil Haram, yang berada di dalam Masjidil- Haram pastilah hadap ke arah Ka’bah terus!
    Alhamdulillah kiblat kita umat Muhammad SAW ini boleh di hadap dari semua tempat dari atas dunia ini.
    Itulah kelebihan Makkah sehingga ia di panggil Ummul-Qura (ibu dunia).
    Manakala kiblat Nasrani ialah ke arah timur (مشرق) & Yahudi ke arah barat (مغرب).
    Kita dari mana saja timur barat, hadap ke arah Ka’bah. Inilah kesatuan umat Islam, umat yang terbaik umat yang terpilih { أُمَّةًۭ وَسَطًۭ}.
  1. Ayat 146- {Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.}-

    Mereka ahli kitab Nasrani & Yahudi kenal Rasulullah SAW & tahu bahawa dia adalah benar rasul yang terakhir!
    Tetapi sayangnya mereka kenal tapi tak ikut & kenal tapi tak cinta.
    Ada yang sangka mereka tak ikut kerana tak tahu atau tak kenal!
    Tidak sekali, Allah telah nafikannya, hakikatnya mereka tahu & kenal!

    Sebab mereka tak ikut adalah kerana:
    i- Perasaan hasad dengki kepada Rasulullah SAW.
    Sifat ini adalah punca kerosakan yang utama. Sebagaimana Iblis laknatullah yang hasad kepada nabi Adam sehingga tercampak keluar dari syurga!
    Lalu Yahudi & Nasrani juga adalah bangsa yang dilaknat kerana mereka derhaka ingkar tak mahu ikut perintah Allah.

    ii- Nak jaga kepentingan survival puak dia. Mereka takut kuasa besar dunia ini berpindah ke tangan orang Islam.
    Allah tegaskan di sini bahawa yahudi tak ikut bukan kerana dia tak tahu tetapi tak ikut kerana keras kepala & degil.
    Kerana sebab tadi mereka bukan saja tak ikut tetapi perangai buruk juga sembunyikan kebenaran!
    Allah juga kata siapa tak ikut kebenaran maka dia telah ikut hawa nafsu!
    Semoga kita dijauhkan dari sifat yang buruk ini!
  1. Ayat 145- {Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.}-

    Allah kata jika kamu menurut hawa nafsu juga selepas diberi ilmu pengetahuan iaitu wahyu. Kamu akan menjadi golongan yang zalim.
    Allah SWT amat berlemah lembut & kasihan belas terhadap hamba-Nya.
    Allah tidak akan jatuhkan hukuman, tidak akan datangkan azab, tidak akan binasakan hamba-Nya kecuali di bawa hujjah seperti diutus rasul.
    Jadi jika kita nak menuduh atau menyalahkan orang; kena bawa ilmu & berhujjah, jika masih tak dengar kata maka barulah boleh kita kata dia salah.
    Di akhir ayat Allah kata jika kamu ikut juga mereka, kamu akan menjadi sebahagian daripada mereka- { إِنَّكَ إِذًۭا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ maka kamu adalah dari golongan orang-orang yang zalim.}
    Allah tak kata terus kamu adalah orang -orang yang zalim. Inilah yang kita takut sekarang, bimbang kita tahu kebenaran tetapi tak ikut, maka kita juga terjebak termasuk dalam golongan yang zalim kepada diri sendiri ini.
  1. Ayat 147- {Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.}-

    Allah kata kebenaran itu datang dari Allah maka kamu jangan ragu wahai Nabi Muhammad SAW!
    Allah sayang kepada Nabi SAW, Allah kata kebenaran itu datang dari Tuhanmu { ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ}.
    Allah mahu kuatkan pegangan Rasulullah SAW untuk melawan yahudi!
    Yang benar itu datang dari Tuhan kamu, dari Allah!
    Jangan kamu ragu akan kebenaran pegangan kamu yang diberi perintah oleh Tuhanmu.
    Kamu kena bertegas yang Muhammad, jangan sekali-kali kamu termasuk dalam golongan yang ragu & syak, mudah koyak & terpengaruh dengan mainan provokasi orang kafir!
    Apa yang Allah perintah itu pastilah benar. Yang benar itu dari Allah Azza wa Jalla { ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ}.
    Masalahnya sekarang sekali kena main oleh ahli undang-undang kafi,- yang benar itu pula pelik, undang-undang Allah yang pelik. Apa haram riba & rasuah, macamana nak berniaga? Kenapa hudud, sangat keras & zalim!
    Maka iman kita kena mantap jangan terpengaruh orang yang terseleweng dari jalan kebenaran.

    Alhamdulillah tamatlah pengajian
    Masyarakat kita tak boleh jumpa benda pelik dia akan ragu-ragu & waswas selalu!
    Padahal dia telah belajar ilmu tentang cara solat & niat solat lama dah.

    Isu semasa: Tentang niat banyak-banyak untuk satu solat, satu kecelaruan.
    Tak perlu cari & belajar benda pelik- berpeganglah dengan apa yang kita belajar sebelum ini- jangan mudah koyak & goyah, sekali datang video pelik habis celaru & pening.

    Kerana itu nasihat AAM : Jika kita nak belajar ilmu feqah seperti solat dan lain-lain- kita kena bertalaqqi, kita belajar dengan kitab & guru yang dipercayai, kemudian datang apa saja video yang pelik kita ketepikan.
    Allah SWT Maha Kaya & Pemurah. Pahala akan diberi ikut keadaan & suasana ikut amal perbuatan kita.

Semoga bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs