Surah Al-Baqarah : Ayat 23-25

CABARAN PUAK KAFIR BUAT KITAB SEPERTI AL-QURAN, TAWARAN NERAKA & KHABAR GEMBIRA BAGI ORANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/jo-fNOZ6tU8?si=eskJHxAuhuWVralJ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 23-25 & siri (08) bagi surah Al-Baqarah.
  1. Jika dalam ayat yang lepas adalah seruan Allah SWT kepada seluruh manusia agar menyembah Allah yang mencipta kamu & memberi rezeki kepada kamu!
  1. Dalam siri ini bertukar seruan kepada puak kafir & kaum munafiqin; Allah SWT membawa cabaran kepada puak kafir untuk buat kitab seperti Al-Quran, jika kamu tidak percaya & mendustakan Al-Quran.
  1. Cabaran kedua jika kamu tidak mampu nak buat, bersedialah kamu untuk dicampakkan ke dalam neraka jika kamu tetap tidak mahu beriman.
  1. Kemudian Allah SWT beri khabar gembira kepada Rasulullah SAW bahawa bagi orang mukmin yang beriman & taat; kejayaan bagi mereka.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 23- {DAN KALAU KAMU ADA MENARUH SYAK TENTANG APA YANG KAMI TURUNKAN (AL-QURAN) KEPADA HAMBA KAMI (MUHAMMAD), MAKA CUBALAH BUAT DAN DATANGKANLAH SATU SURAH YANG SEBANDING DENGAN AL-QURAN ITU, DAN PANGGILAH ORANG-ORANG YANG KAMU PERCAYA BOLEH MENOLONG KAMU SELAIN DARI ALLAH, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR.} (AL-BAQARAH 2:23)

  1. Ayat ini Allah SWT tujukan kepada puak kafir & munafiqin yang menaruh syak keraguan kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW!
  1. Allah cabar mereka; Jika kamu tak percaya maka bawalah satu surah sahaja yang sebanding dengan Al-Quran!
  1. Puak Arab ketika itu adalah satu kaum yang amat mementingkan adab sastera, pakar dalam bahasa, mereka sering mengadakan sayembara pertandingan kesusasteraan & hasil karya para pemenang akan digantung pada dinding Ka’bah. Itulah mass media pada waktu itu!
  1. Allah cabar lagi. Jika kamu tidak mampu ciptanya secara sendirian, panggillah semua orang yang kamu rasa boleh menolong kamu selain dari Allah; yang sekepala, sekapal dengan dengan kamu, iaitu yang sama-sama tidak percaya akan Al-Quran ini; untuk menolong kamu memenuhi cabaran ini!
    Jika betul-betul orang yang benar-benar ada kekuatan!
  1. Cabaran ini pastilah mereka tidak dapat penuhinya & tidak ada sesiapa yang dapat membuatnya!
  1. Cabaran ini berulang-ulang kali yang ditujukan kepada mereka dalam surah-surah Al-Quran yang diturunkan di Makkah & juga Madinah, seperti pada ayat-ayat ini juga:
    i- {Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syara’ yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
    (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.} (Yunus 10: 37-38)

    ii- {Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.} (Hud 11:13)

    iii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.} (Al-Israa’ 17:88)

    iv- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya, supaya aku menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu orang-orang yang benar “.} (Al-Qasas 28:49)
  1. Cabaran ini dibuat selepas mereka tidak hirau & tidak dengar selepas diseru & didakwah secara baik.
    Dalam berdakwah & menegakkan kebenaran; apabila bincang tak mahu, berunding tak dengar, nasihat tak makan; maka kita kena lawan & berkeras!

AYAT 24- {MAKA KALAU KAMU TIDAK DAPAT MEMBUATNYA, DAN SUDAH TENTU KAMU TIDAK DAPAT MEMBUATNYA, MAKA PELIHARALAH DIRI KAMU DARI API NERAKA YANG BAHAN-BAHAN BAKARANNYA: MANUSIA DAN BATU-BATU (BERHALA), (IAITU NERAKA) YANG DISEDIAKAN UNTUK ORANG-ORANG KAFIR.} (AL-BAQARAH 2:24)

  1. Tetapi Allah terus beri keputusan; wahai puak kafir!
    Jika kamu tak mampu nak buatnya, bahkan kamu tidak akan terdaya & tidak akan mampu untuk melawannya!
  1. Allah beri amaran pula agar bersedialah untuk memelihara diri kamu dari neraka: Iaitu dengan mengikut segala perintah Allah & menjauhi diri dari segala larangannya!
  1. Ketahuilah neraka itu yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu-batu berhala yang kamu sembah dulu!
    Iaitu nak suruh orang kafir tengok apa yang kamu sembah atas dunia dulu, tidak dapat memberi apa-apa faedah kepada kamu sekarang!
  1. Neraka itu sudah wujud dan disediakan awal-awal buat mereka yang kufur, yang tidak mahu mengakui & tunduk kepada Allah SWT & tidak membenarkan dakwah Rasul-Nya.
  1. Maksud batu {وَٱلْحِجَارَةُ}- kata Ibnu Rajab RHM. : Ramai ulama’ tafsir mengatakan ia adalah batu belerang yang digunakan untuk menyalakan api neraka!
  1. Dikatakan juga terdapat 5 jenis siksaan batu belerang ini yang tidak sama dengan batu-batu lain:
    i- Cepat nyalaannya!

    ii- Busuk baunya.

    iii- Banyak asapnya.

    iv- Apinya melekat ditubuh manusia.

    v- Panasnya amat panas!
    Sebahagian ulama’ salaf seperti Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud RHM dan lain-lain menafsirkan sebagai hijarah ini sebagai batu belerang.
  1. Pendapat kedua: Manakala ada juga ulama’ seperti Ar-Rabi’ Bin Anas RHM. dan lain-lain mengatakan maksud batu ialah berhala-berhala yang mereka sembah dulu.

    Dalil dari firman Allah SWT ini:
    {Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.} (Al-Anbiyaa’ 21:98)
    Kecuali nabi Isa AS, Uzair & para malaikat yang disembah tanpa kerelaan & keredhaan mereka- bukan mereka yang suruh disembah!
  1. Ya Allah selamat & jauhkan kami dari azab neraka-Mu!

AYAT 25- {DAN BERILAH KHABAR GEMBIRA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, SESUNGGUHNYA MEREKA BEROLEH SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI; TIAP-TIAP KALI MEREKA DIBERIKAN SATU PEMBERIAN DARI SEJENIS BUAH-BUAHAN SYURGA ITU, MEREKA BERKATA: “INILAH YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA KAMI DAHULU”; DAN MEREKA DIBERIKAN REZEKI ITU YANG SAMA RUPANYA (TETAPI BERLAINAN HAKIKATNYA), DAN DISEDIAKAN UNTUK MEREKA DALAM SYURGA ITU PASANGAN-PASANGAN, ISTERI-ISTERI YANG SENTIASA BERSIH SUCI, SEDANG MEREKA PULA KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA.} (AL-BAQARAH 2:25)

  1. Munasabah ayat ini dengan sebelumnya:
    i- Allah SWT sebut puak yang keras kepala tidak mahu beriman ini Allah sediakan bagi mereka azab neraka yang bahan bakarnya manusia & segala sembahan mereka dulu!

    ii- Maka dalam ayat yang ke-22 ini Allah s.w.t bawa khabar gembira kepada Rasulullah SAW & orang-orang yang beriman dengan Allah, rasul, dengan Al-Quran & membenarkan dakwah yang di bawa oleh Rasulullah SAW.
  1. Iaitu khabar gembira dengan balasan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang menanti mereka, yang disediakan buat orang yang beriman dan beramal soleh.
  1. Setiap kali mendapat nikmat seperti buah-buahan mereka akan berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; Dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya)”.
  1. Ini kerana bentuk rupanya hampir sama tetapi hakikatnya tidak sama dari segi:
    i- Rasa kelazatan

    ii- Kesan yang tidak baik yang boleh membawa penyakit atau mudharat seperti lebih gula atau seumpamanya!
  1. Bagi ahli syurga disediakan pasangan-pasangan (isteri & suami) yang bersih dari sefi fizikal (rupa buruk, tiada penyakit, peluh, bau tidak baik dan lain-lain) serta dari segi batin (perasaan cemburu, hasad, marah dan lain-lain).
  1. Ahli syurga ini akan berada di dalam syurga kekal selama-Nya!
    Mereka tidak akan mati lagi & tidak putus-putus nikmat-Nya!
    Ya Allah jadikanlah kami dan semua orang-orang yang kami sayangi ini menjadi ahli syurga-Mu & selamat dari neraka & azabnya yang dahsyat.
    اَللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ ألجنَّةَ وَمَا قَرَّب إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ،
    وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِوَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَأ مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ،
    وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَيْتَهُ لِى خَيْرًا
    “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga dan segala hal yang mendekatkan kepadanya, dari perkataan mahupun perbuatan.
    Dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan dari segala hal yang mendekatkan kepadanya, dari perkataan mahupun perbuatan.
    Dan aku mohon kepada-Mu agar Engkau jadikan setiap yang Engkau takdirkan bagiku adalah baik.”
    [HR Ibnu Majah dan Ahmad].

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 23- {Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu,}

    Allah cabar orang kafir untuk buat satu surah sahaja seperti Al-Quran.
    Wahai puak kafir! jika kamu masih keras kepala, rasa bijak, rasa handal maka cuba kamu pula buat satu surah seperti Al-Quran.

    Kata ulama’ tadabbur : Dalam agama Islam kita tidak akan cabar orang kecuali sudah terdesak 7 habis jalan dakwah lain.
    Dakwah kita adalah penerangan dulu tentang kebenaran; jika lawan juga maka barulah kita cabar!

    Sebagai pendakwah Islam jangan kita lemah, kerana kita akan ada kekuatan dari sudut mental & fizikal kerana kita bergantung dengan Allah SWT yang Maha Kaya Yang Maha Berkuasa!
  1. Ayat 24- {(iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.}-

    Dari ayat ini para ulama’ ahli Sunnah membuat kesimpulan dan dalil bahawa neraka itu sudah ada sekarang.
    Yakni sudah siap tersedia menunggu orang kafir, apinya sudah membakar & membahang kepanasannya.

    Banyak hadis-hadis yang menyebut tentang neraka yang sudah ada.
    Sabda Rasulullah SAW:
    i- Panas waktu tengahari adalah dari neraka Jahannam.

    ii- Rasulullah SAW sendiri sudah melihat neraka. Baginda SAW bersabda:
    وَرَأَيْتُ النَّارَ فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ مَنْظَرًا قَطُّ وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ. قَالُوا: لِمَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: بِكُفْرِهِنَّ. قِيْلَ: يَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ قَالَ: يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ وَيَكْفُرْنَ اْلإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلىَ إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ
    “Dan aku melihat neraka. Aku belum pernah sama sekali melihat pemandangan seperti hari ini. Dan aku lihat ternyata kebanyakan penghuninya adalah para wanita.” Mereka (para sahabat) bertanya, “Kenapa para wanita menjadi kebanyakan penghuni neraka, ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Disebabkan kekufuran mereka.” Ada yang bertanya lagi, “Apakah para wanita itu kufur kepada Allah?” Baginda SAW menjawab, “(Tidak, melainkan) mereka kufur kepada suami dan mengkufuri kebaikan (suami). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang isteri kamu pada suatu waktu, kemudian suatu saat ia melihat darimu ada sesuatu (yang tidak berkenan di hatinya) nescaya ia akan berkata, ‘Aku sama sekali belum pernah melihat kebaikan darimu’.” (HR Bukhari).

    Maka kita kata neraka sudah ada!
    اللهم أجرنا من النار، اللهم أجرنا من النار، اللهم أجرنا من النار.
    Kita perbanyakkan doa minta berlindung dari neraka kerana Rasulullah SAW telah bersabda:
    “Tidak ada yang memohon syurga kepada Allah SWT sebanyak tiga kali melainkan syurga akan berkata: “Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga.” Dan tidak ada seorang muslim yang meminta perlindungan kepada Allah dari neraka sebanyak tiga kali melainkan neraka akan berkata, “Ya Allah, selamatkanlah dia dariku (neraka)!” [HR Ahmad, Ibn Majah, Ibn Hibban, dan al-Hakim dengan sanad yang sahih].

    Tetapi dalam masa yang sama anggota & perbuatan kita juga kena jauh & jangan buat perkara yang dapat mendekatkan kepada neraka, bukan hanya mulut yang berdoa minta jauh tetapi perangai & perbuatan tidak seiring dengan doa!
  1. Ayat 25- {Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga..}-

    Ayat ini memberi khabar gembira kepada orang yang beriman tentang balasan syurga-syurga {جَنَّـٰتٍۢ} & nikmat-nikmatnya yang banyak.
    Dalam ayat ini Allah sebut lafaz syurga secara jamak iaitu banyak {جَنَّـٰتٍۢ} sedang neraka disebut dengan lafaz mufrad {ٱلنَّارَ}.

    Yang sahihnya Rasulullah SAW sebut bahawa pintu syurga itu ada 8.
    Persoalan: Kenapa Allah sebut tentang nikmat dalam syurga yang terdiri dari tempat tinggal, makanan & pasangan ini?
    Jawapan:
    Ini kerana tanda kebahagiaan manusia atas dunia ini adalah:
    i- Tempat tinggal, iaitu syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sunga,

    ii- Makanan, disebut di dalam syurga ada buah-buahan dan lain-lain.

    iii- Pasangan yang baik, dalam syurga bagi mereka ada pasangan yang suci!
    Maka dengan adanya tempat tinggal, pasangan & makanan; maka lengkaplah asas kebahagian hidup seorang manusia.
    Hadis- Sabda Rasulullah SAW : “Ada empat perkara yang menjadi tanda kebahagiaan manusia atas dunia ini: Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang elok.” [HR Ibnu Hibban].
    Ini juga ciri-ciri kebahadian atas dunia ini.
  1. Ayat 25- {Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh,}

    Khabar gembira dengan nikmat balasan yang amat besar!
    Allah sediakan balasan kepada orang yang beriman & beramal soleh lebih besar daripada amal yang dia buat!
    Ini kerana kudrat & kemampuan manusia itu terhad, masa & umurnya pendek!
    Tetapi jika kita buat amal soleh & perbuatan baik atas dunia ini: Balasannya syurga yang tidak putus nikmatnya sampai bila-bila & yang tidak terbayang!

    Kerana itu kata ulama’ tafsir: Jika kita lihat orang mukmin dapat kebaikan & buat kebaikan; berikan khabar gembira dengan kita ucapkan tahniah kepadanya agar dia lebih berusaha & rajin meningkatkan amal soleh & kebaikannya.
  1. Ayat 25- {sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.}

    Ahli syurga akan di dalamnya selama-lamanya.
    Sepakat ulama’ ahli Sunnah wal Jamaah bahawa syurga & neraka akan kekal selama-lamanya tidak fana (binasa).
    Hadis apabila ahli syurga sudah masuk syurga & ahli neraka masuk neraka maka di bawa mati (الموت) & disembelih:
    Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:
    يُؤْتَى بِالْمَوْتِ كَهَيْئَةِ كَبْشٍ أَمْلَحَ
    “Kematian akan dibawa dalam bentuk seekor kibas berwarna hitam bercampur putih.
    فَيُنَادِي مُنَادٍ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ
    Lalu seorang penyeru akan menyeru: Wahai penghuni syurga. Lalu penghuni syurga akan mendongak dan melihat.
    فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ
    Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kamu kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka dapat melihatnya.
    ثُمَّ يُنَادِي يَا أَهْلَ النَّارِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ
    Kemudian diseru: Wahai penghuni neraka. Lalu penghuni neraka mendongak dan melihat.
    فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ
    Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka dapat melihatnya.
    فَيُذْبَحُ ثُمَّ يَقُولُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ
    Lalu kibas tadi disembelih. Kemudian penyeru itu berkata: Wahai penghuni syurga, kekallah kamu dan tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, kekallah kamu dan tiada lagi kematian.
    ثُمَّ قَرَأَ {وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ} وَهَؤُلاَءِ فِي غَفْلَةٍ أَهْلُ الدُّنْيَا {وَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ}
    Kemudian baginda membaca: ((Berilah peringatan kepada mereka tentang hari Penyesalan; tatkala keputusan telah diberikan sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak beriman (Maryam : 39))).
    Mereka yang dalam keadaan lalai itu ialah penduduk dunia.”
    [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, hadis no: 4730].
    Ya’ni kekal abadilah semua yang di akhirat itu selama-lamanya.

Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita yang ringkas dalam siri ini.
Bacalah untuk kita kenal Rasulullah SAW kerana tak kenal maka tak cinta, macam mana nak kenal jika tak baca?! Maka carilah kitabnya & baca!
Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs