Surah Al-Baqarah : Ayat 28-29

BANTAHAN TERHADAP KAFIR TOLAK KEBENARAN, DUA KALI MATI & SEMUA KEMUDAHAN DISEDIAKAN.

Full video : https://youtu.be/WVOSn6F8QQI?si=9bu1M1wd1X9iIuqO

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dengan siri seterusnya bagi surah Al-Baqarah dalam ayat 28 & 29.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT ialah mencipta manusia & mematikannya, hidup balik selepas itu & tidak akan mati lagi.
    Serta Allah juga yang mencipta langit & bumi!
  1. Ayat ini sekaligus menjadi bantahan terhadap puak kafir yang menolak kebenaran, mereka tahu kebenaran Rasulullah SAW tetapi keras kepala tidak mahu terima juga semata-mata nak berlawan dengan Allah SWT & Rasulullah SAW.
  1. Allah sebut tentang kejadian manusia yang dulunya tidak ada, kemudian selepas ini tidak akan ada pula, mati & masuk ke dalam tanah, iaitu akan mengalami dua kali mati.
  1. Kemudian pada suatu masa kelak, entah bila, bila berlaku Kiamat, kamu akan dihidupkan kembali keluar daripada perut bumi, dibangkitkan di hadapan Allah untuk hari pengadilan & pembalasan (الحساب والجزاء) yang akan dipertanggung-jawabkan semua perkara yang kita telah buat atas dunia ini!
  1. Ya Allah tetapkan hati kami atas keimanan. Ini kerana manusia ini dia suka apabila dia sesat, dia akan menyesatkan orang lain, apabila dia salah dia akan cari geng-geng. Sebab apa? Kerana dia tidak mahu sunyi.
  1. Firman Allah SWT:
    {Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka.} (An-Nisaa’ 4:89)
    Inilah puak kafir yang tidak mahu disiksa keseorangan mahu orang lain kena azab sepertinya juga apabila dicampak ke dalam kubur & neraka nanti.
  1. Allah gunakan hujjah nikmat dan semuanya supaya mereka berfikir & sedar apa yang telah mereka lalukan itu salah, kamu lawan Allah & rasul dengan bukti yang jelas di depam mata kamu, tetapi kamu tetap degil keras kepala- maka ini adalah satu kerugian yang amat besar di akhirat nanti!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 28- {BAGAIMANA KAMU TERGAMAK KUFUR (MENGINGKARI) ALLAH PADAHAL KAMU DAHULUNYA MATI (BELUM LAHIR), KEMUDIAN IA MENGHIDUPKAN KAMU; SETELAH ITU IA MEMATIKAN KAMU, KEMUDIAN IA MENGHIDUPKAN KAMU PULA (PADA HARI AKHIRAT); AKHIRNYA KAMU DIKEMBALIKAN KEPADANYA (UNTUK DIBERI BALASAN BAGI SEGALA YANG KAMU KERJAKAN).} (AL-BAQARAH 2:28)

  1. Ayat ini mengajar kepada kita beberapa perkara untuk memberi keinsafan & kesedaran.
  1. Munasabah ayat dengan yang sebelummnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut sifat orang jahat (fasiq) dan pendirian puak kafir terhadap Al-Quran bukan dari Allah, hanya rekaan Nabi SAW dan lain-lain pendustaan.

    ii- Maka dalam dua ayat ini Allah SWT tujukan khas kepada puak kafir tulen; dengan cara mengingkari sikap mereka dan takjub rasa pelik dengan pendirian mereka, dan mencela perbuatan mereka.

    iii- Iaitu dengan cara Allah sebut dalil-dalil yang mengajak mereka supaya beriman kepada Allah SWT;
    a- Iaitu nikmat Allah dulu kamu tiada sekarang ada, serta kamu kena ingat bahawa wujudnya kamu atas dunia ini akan berakhir dengan mati.
    Mati itu akhir perjalanan hidup seorang manusia atas dunia tetapi bukan berakhir segala-galanya.
    Mati adalah transit ke alam kubur sebelum akhirat.

    b- Allah ungkit lagi dicipta bagi kamu bumi sebagai hamparan, disediakan rezeki makanan & minuman; tetapi kamu masih lagi juga tidak mahu beriman & kufur.
    Maka betapa ruginya kamu wahai manusia!
  1. Tafsiran ayat Allah mengingkari sikap orang kafir yang kufur terhadap Allah SWT serta pelik dengan kekufuran mereka sedangkan dalil-dalil adanya Allah & kuasa Allah yang Maha Agung itu jelas.
  1. Kerana itu Allah sebut bahawa dia telah matikan manusia itu sebanyak dua kali, iaitu sebelum kita ada dikira mati.
  1. Peringkat kehidupan manusia :
    i- Dari tiada kepada ada, iaitu sebelum dilahirkan ke dunia ini. Mati sebelum bernyawa.

    ii- Dilahirkan keluar dari perut ibu (kehidupan pertama) & hidup atas dunia ke sana ke mari tetapi tidak kenal Tuhan, tidak mahu mencari Allah, maka inilah manusia yang rugi!

    iii- Kemudian kamu akan mati yang kedua iaitu apabila tercabut nyawa atas dunia ini!
    Bila malaikat maut datang mencabut nyawa kamu maka berakhirlah ajal kamu di alam dunia.

    iv- Kemudian Allah hidupkan kamu balik dalam kubur, ia dinamakan alam Barzakh atau alam Kubur (kerana orang yang mati biasanya dikuburkan).
    Ada juga yang tidak ditanam tetapi semuanya akan berada di alam Kubur atau Barzakh.
    Semua yang mati sama ada yang ditanam atau tidak, akan hidup semula di alam barzakh ini. Yang mati terbakar, hilang dalam laut dan semuanya.
    Malaikat akan menemuinya dan akan mengalami soal jawab & azab atau nikmat kubur semuanya.

    v- Kemudian apabila tiba hari Kiamat kelak, semua manusia akan dibangkitkan keluar dari kubur.
    Iaitu kamu akan dikembalikan kepada Allah untuk menghadapi hari perhitungan & pembalasan.
  1. Inilah keadilan Allah SWT yang mencipta manusia supaya orang yang baik akan menerima hasilnya manakala orang yang jahat akan menerima hukumnya!
  1. Firman Allah SWT:
    {Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!} (Az-Zalzalah 99: 7-8)
  1. Maka atas dunia ini jangan keras kepala tidak mahu minta ampun kepada Allah & bermaafan sesama manusia atas dunia ini lagi, kerana bukan senang dan mudah pengadilan di akhirat kelak!
  1. Firman Allah SWT:
    {Mereka menjawab: “Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?”} (Ghaafir 40:11).

    Mati yang pertama sebelum bernyawa, mati yang kedua selepas diberi nyawa;
    Hidup yang pertama selepas diberi nyawa, hidup yang kedua selepas bangkit dari kubur!

    Ya Allah hidupkan kami dalam kebaikan & matikan kami dengan husnul-khatimah!

AYAT 29- {DIA LAH (ALLAH) YANG MENJADIKAN UNTUK KAMU SEGALA YANG ADA DI BUMI, KEMUDIAN IA MENUJU DENGAN KEHENDAKNYA KE ARAH (BAHAN-BAHAN) LANGIT, LALU DIJADIKANNYA TUJUH LANGIT DENGAN SEMPURNA; DAN IA MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-BAQARAH 2:29)

  1. Allah ciptakan untuk kamu dengan limpah kurnia & kemurahannya semua {جَمِيعًۭا} yang ada atas bumi ini untuk manusia ambil manfaat & berseronok dengannya!
  1. Serta jangan lupa mengambil i’tibar pengajaran dengan kesalahan orang yang terdahulu.
    Jangan ulang jika tidak mahu ditimpa bala sebagaimana orang yang terdahulu yang apabila mereka tidak dengar kata & keras kepala!
  1. Allah beri tawaran istimewa kepada kita supaya kita ikut, ambil & taat.
    Jika kita tidak mahu terima maka rugilah kita! Ini adalah ayat Allah ungkit nikmat supaya kita sedar!
  1. Allah beri rezeki untuk makan & minum dari tumbuhan & haiwan.
    Haiwan hidup untuk makan & dimakan.
    Manusia makan untuk hidup, jangan hidup untuk makan seperti haiwan! tak sempat solat jemaah, baca Al-Quran kerana sibuk cari makan!
  1. Selesai bahagian bumi, Allah SWT dengan kehendak & kuasa-Nya mencipat langit dan segala isi kandungannya pula.
  1. Kata ulama’ : Dalam bahasa Arab perkataan tujuh atau 70 { سَبْعَ} biasanya disebut untuk menunjukkan banyak. Bagaimana lapisannya wallahu a’lam.
  1. Hadis yang sahih bahawa Rasulullah SAW naik dari satu langit ke satu langit pada malam Isra’ & Mikraj: “Apabila berlakunya Mikraj iaitu Nabi naik ke langit. Nabi naik dari langit pertama hinggalah ke tujuh. Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam, langit 2 (Nabi Isa & Yahya), langit ke 3 (Nabi Yusuf), langit ke 4 (Nabi Idris), langit ke 5 (Nabi Harun), langit ke 6 (Nabi Musa), langit ke 7 (Nabi Ibrahim) dan seterusnya Nabi sampai ke Sidratul Muntaha.” [HR Muslim].
  1. Bumi juga dikatakan tujuh lapis juga, macam mana susunannya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui, kita orang beriman terima apa yang Allah nyatakan!
  1. Makna (ٱسْتَوَىٰٓ) ialah menurut ulama’:
    i- Menuju ke arah iaitu Allah SWT menuju ke arah langit {ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ} untuk menciptanya.
    Ramai ulama’ seperti Al-Wahidi, Ibnu Kathir, As-sa’di dan lain-lain berpendapat maknanya begitu.

    ii- Ada juga yang berpendapat (ٱسْتَوَىٰٓ) dengan makna (على وارتفع) tinggi dan ke atas.
    Ini pendapat Ibnu Abbas & ramai ulama’ tafsir salaf yang berpendapat sedemikian.
  1. Kita sebagai orang yang beriman, sebagaimana ulama’ salafus-soleh terima dengan apa yang Allah SWT sebut & tidak pening-pening untuk mentakwilnya dengan berpegang kepada kaedah:
    {لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ.}
    iaitu {“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan DIA.”} [As-Syura 42: 11].
  1. Allah ciptakan langit itu dengan begitu teliti & teratur, Allah SWT Maha Mengetahui tentang apa yang dicipta-Nya, tahu apa yang Dia nak buat & ilmu Allah SWT meliputi semua makhluk yang dicipta-Nya sama ada yang besar atau yang kecil.
  1. Sabda Rasulullah SAW: لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
    “Seandainya dunia ini ada nilai di sisi Allah walau hanya menyamai nilai sebelah sayap nyamuk, nescaya Allah Ta’ala tidak akan memberi minum kepada orang kafir seteguk air pun.” (HR. At-Tirmizi no. 2320)
    Kamu nak minum air? Beriman dulu! Nak makan? Beriman dulu, tetapi sekarang ini Allah bagi mereka bebas makan minum setara mana mereka nak, bahkan ada yang lebih kaya & senang daripada orang mukmin!
  1. Firman Allah SWT dalam ayat-ayat ini menjelaskan lagi:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya!” Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam.} (Fussilat 41:9)

    Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.} (Fussilat 41:10)

    Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut, patuh dengan sukarela.”} (Fussilat 41:11)

    Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing.
    Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.} (Fussilat 41:12)

    Kerana itu bila ada orang yang gopoh, nak cepat, nak segera dalam sesuatu perkara. Kita katakan kepada mereka sabar dan berhemahlah!
    Lihatlah! Allah Yang Maha Berkuasa itu mencipta langit & bumi dalam ENAM masa, sedangkan boleh sehaja Allah mencipta segalanya dalam sekelip mata, Kun fayakun!
    Ini kerana Allah nak didik manusia supaya tidak gopoh, sabar, berhati-hati & jangan kelam kabut, jangan belorat kata orang Kelate.
  1. Firman Allah SWT:
    {Dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu}- Pegangan kita ahli Sunnah wal-Jamaah; bahawa Allah SWT itu Mengetahui setiap sesuatu sama ada yang kecil atau yang besar. Yang besar seperti langit & bumi manakala yang kecil seperti kuman, hama, agas dan seumpamanya; Ilmu Allah meliputi segalanya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 28- {Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah}-

    Kenapa (bakpo) kamu kafir? Allah mencela puak kafir, kenapa kamu kufur dengan nikmat kurniaan Allah?
    Ulama’ lughah kata ayat ini soal;
    i- Allah SWT tanya keadaan (istifham = ayat tanya) sekaligus mencela puak kafir kerana tidak beriman.

    ii- Atau soalan ingkar, kenapa kamu kafir?
    Lalu takjub pelik dengan keadaan mereka yang mendapat nikmat dari Allah tetapi tetap kufur.
    Allah juga guna lafaz khitab, percakapan yang dituju terus kepada orang yang hendak ditanya itu (kata ganti nama kedua- kamu).
    Allah tujukan soalan ini kepada golongan kafir secara direct, tidak kluk-klek (kias-kias) kamu kah yang buat? Kamukah yang kufur?
  1. Ayat 28- {Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir),}-

    Sedangkan kamu dulu mati.
    Yakni walaupun tak pernah hidup dikira mati juga!
    Manusia di kira mati sebelum dia diberi nyawa dulu, kemudian hidup & lahir di dunia.

    Kerana itu janin yang gugur sebelum ditiup nyawa (umur sekian-sekian) dita tidak dikira benda hidup kerana dia belum lagi bernyawa, maka dia tidak berhuklum dengan hukum bagi hidup, iaitu tidak perlu dimandikan, dikafan serta tidak mewarisi & diwarisi.
  1. Ayat 29- {Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi,} semuanya {جَمِيعًۭا}-

    Atas muka bumi ini Allah cipta untuk kamu!
    Kata ulama’ usul : semua {جَمِيعًۭا} benda atas muka bumi ini asalnya halal; airnya, tumbuhannya, haiwannya kecuali apa yang telah dikecualikan oleh Allah SWT seperti bangkai, haiwan liar, darah dan seumpamanya.
    Pokok & buah juga semuanya halal kecuali yang beracun & membawa darurat.

    Manakala hidupan laut pula, sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA: “Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berlayar di lautan sambil membawa sedikit air, jika kami berwuduk dengan air tersebut kami akan kehausan. Bolehkah kami berwuduk dari air laut?” Rasulullah SAW menjawab: “Airnya suci dan bangkainya halal.” [HR at-Tirmizi].
    Yakni asal zatnya semua halal, cuma berbeza pula hukum dari segi keadaan, seperti milik orang dan lain-lain.
  1. Ayat 29- {lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna;}-

    Betapa sempurnanya penciptaan langit dan seluruh alam ini.
    Allah ciptakan semua itu dengan penuh teliti, tersusun, indah, lawa & penuh hikmah!
    Kita tidak pernah dengar langit bocor atau berlubang, bintang jatuh kerana tercabut, matahari & bulan tertukar arah dan lain-lain kerosakan atau kepincangan.
  1. Ayat 29- {dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}-

    Maka apabila kita tahu bahawa Allah SWT Maha Mengetahui semua maka kita berbuatlah dengan cara yang kita tahu bahawa Allah tahu!
    Manusia buat perkara apa sekalipun tidak dapat disembunyikan dari pengetahuan Allah dan kita tahu Allah Maha Mengetahui akannya.
    Secara zahir atau tersembunyi semuanya dalam pengetahuan Allah!
    Maka yang zahir jangan buat yang batin pun jangan buat!

    Hikmah Allah tutup ayat ini dengan menyatakan bahawa Allah tahu semuanya untuk mengingatkan manusia, kamu gunalah semua nikmat yang Aku sediakan ini tetapi ingat jangan buat perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan-Ku!

    Perbezaan antara ingat kepada mati & takut kepada mati:
    i- Takut mati tidak mahu mati.

    ii- Ingat kepada mati tidak berani buat maksiat kerana dia tahu kelak dia akan bertemu dengan Allah SWT.
    Ya Allah matikan kami dalam iman tanpa buat maksiat & mungkar!

    Lihat catatan yang lain di;
    www.abuanasmadani.com
    Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs