Surah Al-Baqarah : Ayat 34-35

MALAIKAT MENGHORMATI ADAM, IBLIS ANGKUH & ADAM DALAM SYURGA DAN LARANGANNYA.

Full video : https://youtu.be/Os-XzUxNZq4?si=tmJh5y_1WMYdeEjZ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 34 & 35 bagi tafsir surah Al-Baqarah, surah yang kedua & juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan kepada kita tentang satu penghormatan, Allah SWT muliakan makhluk-Nya Nabi Adam AS dengan mengarahkan malaikat sujud sebagai tanda menghormati Adam.
  1. Malaikat yang mulia taat setia kepada Allah, melakukannya tanpa banyak soal, tetapi muncul satu makhluk yang derhaka iaitu iblis yang angkuh, sombong & keras kepala lalu dia kafir kepada Allah!
  1. Kemudian Allah perintahkan Adam duduk dalam syurga dan larangannya.
    Iblis yang berdendam tadi menjalankan tipu-dayanya untuk khianat terhadap Adam AS.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 34- {DAN (INGATLAH) KETIKA KAMI BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT: “TUNDUKLAH (BERI HORMAT) KEPADA NABI ADAM”. LALU MEREKA SEKALIANNYA TUNDUK MEMBERI HORMAT MELAINKAN IBLIS; IA ENGGAN DAN TAKBUR, DAN MENJADILAH IA DARI GOLONGAN YANG KAFIR.} (AL-BAQARAH 2:34)

  1. Dan ingatlah {وَإِذْ} ketika Kami berfirman kepada malaikat.
    Allah menggunakan kalimah Kami { قُلْنَا} walaupun satu untuk menunjukkan keagungan & kebesaran-Nya.
  1. Iaitu memberi perintah kepada malaikat untuk tunduk sujud memberi penghormatan kepada Adam.
    Ini bukan sujud ibadat, hanya sebagai satu penghormatan- kerana sujud sesama makhluk dilarang sama sekali!
  1. Lalu semua malaikat tunduk memberi penghormatan kecuali Iblis!
    Dia enggan serta sombong & keras kepala. Lalu jadilah ia dari golongan kafir.
    Beginilah kebiasaannya, 3 peringkat ini akan berlaku: Enggan kemudian sombong lalu lawan!
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah mengajar nama-nama semua benda kepada nabi Adam AS.
    Kemudian Allah SWT tanya pula kepada malaikat, malaikat mengaku tak tahu!
    Ini adalah kemuliaan dari sudut diberi ilmu pengetahuan yang malaikat pun tak tahu lagi.

    ii- Ayat ini pula menunjukkan satu lagi kemuliaan nabi Adam AS, iaitu Allah SWT perintahkan malaikat sujud kepadanya sebagai satu penghormatan.
    Kemudian diberi jawatan menjadi khalifah di muka bumi. Nak jadi khalifah kena ada ilmu.
    Allah SWT telah berinya persiapan ilmu sebagai kemuliaan yang pertama!
    Inilah dua kemuliaan Nabi Adam!
  1. Firman Allah SWT tentang isu ini juga:
    i- {Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam;} (Al-Israa’ 17:70)

    ii- {Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).} (At-Tiin 95:4)
  1. Yakni Allah SWT telah memuliakan jenis kaum manusia bermula dari datuknya nabi Adam.
    Kemudian seluruh anak cucunya yang bertaqwa semuanya akan mendapat kemuliaan Allah SWT telah berfirman:
    {Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).} (Al-Hujuraat 49:13)
  1. Allah telah berfirman kepada malaikat: {“Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.”}
    Sujud ini adalah satu perkara yang khas.
    Ulama’ kata sujud ini dua kategori:
    i- Sujud ibadat, khas hanya untuk Allah SWT sahaja!

    ii- Sujud penghormatan & memuliakan orang.
  1. Sujud ibadat ini pula terbahagi kepada dua juga, ia ada dua cara:
    a- Sama ada letak dahi atas muka bumi sebagaimana di dalam solat.

    b- Sujud dengan makna taat, mengakui, akur kepada segala perintah Allah SWT.
    Dua jenis ini tidak boleh hanya kepada Allah SWT semata-mata!
    Buat juga boleh menjadi dosa besar atau membawa kepada syirik.
  1. Juga sujud sebagai penetapan dari Allah SWT seperti sujudnya tumbuh-tumbuhan, binatang dan semua benda-benda baik di langit mahupun di bumi, termasuk di dalamnya sujud para malaikat.
    i- Allah SWT berfirman, ”Dan kepada Allah sahajalah bersujud segala apa yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedangkan mereka tidak menyombongkan diri.” (An-Nahl: 49).

    ii- {Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?} (Al-Hajj 22:18)
  1. Manakala sujud penghormatan & memuliakan orang adalah seperti:
    i- Sujudnya malaikat kepada Adam AS

    ii- Sujudnya nabi Ya’kob & adik-beradik Yusuf kepada Yusuf AS sebagai tanda hormat.
  1. Mengikut pandangan ulama’ ahli tafsir, hadis & tauhid, perbuatan ini dibolehkan pada zaman dahulu sehingga kepada zaman Rasulullah SAW. Itupun bukan dengan niat ibadat, hanya dengan sebab penghormatan.
    Apabila Rasulullah SAW datang Baginda menutup semua pintu-pintu yang boleh membawa kepada kesyirikan ini!
    Jika tidak pasti hari ini akan berlaku benda-benda karut begini bagi yang taksub kepada guru & syeikh mereka!

    ii- Hadis: Unta yang lapar & kepenatan dengan kerja berat mengamuk dan mengadu kepada Rasulullah SAW lalu Baginda menenangkannya.
    Unta itu pun tunduk sebagai hormat kepada Rasulullah SAW.
    [HR Abu Daud].

    iii- Para sahabat lalu berkata kepada Baginda SAW: Kami yang ini lebih berhak untuk sujud kepada Tuan daripada unta itu.
    Rasulullah SAW lalu bersabda: لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا
    Maksudnya: “Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.”
    [HR Ahmad].
    Hatta untuk membongkok seperti rukuk pun di larang!
  1. Maka sepakat ahli tafsir mengatakan:
    i- Sujud kepada nabi Adam ini adalah bukan sujud ibadat tetapi satu sujud sebagai tanda penghormatan!

    ii- Begitu juga sujud kepada nabi Yusuf oleh ibu bapa & adik beradiknya!
  1. Maka semua malaikat itu sujud mengikut perintah Allah kecuali iblis!
    Malaikat & iblis adalah dua jenis roh yang berhubung dengan manusia.
    Kita tak nampak mereka & tidak tahu hakikatnya kecuali beriman dengan apa yang dikatakan oleh Al-Quran & Hadis Rasulullah SAW.
  1. Hakikat iblis, ulama’ ada dua pandangan:
    i- Iblis daripada jenis jin.
    Yakni makhluk pertama yang Allah cipta adalah malaikat & jin.
    Jin dicipta daripada api manakala malaikat daripada nur cahaya.
    Iblis adalah dari golongan jin bukan malaikat kerana Allah SWT telah berfirman:{ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلْجِنِّ}- {Lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.} (Al-Kahfi 18:50)

    ii- Ada juga yang berpendapat iblis ini adalah dari kalangan malaikat.
    Kerana arahan ini adalah untuk para malaikat- maka ada sekumpulan dari mereka yang tidak mahu sujud maka mereka adalah dari kalangan malam.
    Iblis ini apabila tidak mahu sujud lalu mereka derhaka & menjadi syaitan!
  1. Pendapat yang rajih (terpilih) adalah dari kalangan jin kerana jelas dalil dari:
    i- Ayat Al-Quran di atas. {Lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.} (Al-Kahfi 18:50)

    ii- Iblis juga telah derhaka kepada Allah SWT sedangkan Allah juga telah nyatakan bahawa malaikat itu adalah makhluk yang tidak pernah derhaka kepada-Nya: {Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.} (At-Tahriim 66:6)
  1. Iblis adalah bapa syaitan yang berasal dari kalimah (إبلاس) – iblas yang bermaksud orang yang putus-asa, sangat duka cita.
    Ini kerana dia derhaka & tak dengar kata maka ia adalah makhluk yang celaka & telah dilaknat oleh Allah sehingga hari Kiamat, lalu dia menjadi dari kalangan syaitan-iaitu makhluk yang derhaka kepada Allah SWT.
    Syaitan pula adalah orang yang derhaka dari kalangan manusia atau jin.
  1. Ulama’ bebebeza pandangan tentang adakah sebelum iblis, ada makhluk yang kafir terhadap Allah SWT?
    Ulama’ kata tidak ada; Iblislah kumpulan pertama yang kufur terhadap Allah SWT.
  1. Kenapa pula Iblis ini kufur?
    Sebab jahil atau keras kepala?
    i- Ada kata dengan sebab keras kepala

    ii- Ada juga yang kata sebab jahil!
    Kita kata tidak jahil macamana kerana arahan Allah SWT jelas & mereka enggan!
  1. Kata Imam Al-Qurtubi : Apabila seseorang itu ada kemahiran yang pelik & ajaib seperti dapat berjalan atas air, tahu benda ghaib & seumpamanya; apakah dia wali yang kita perlu hormat kepadanya?

    Jawapan: Tidak, jangan percaya lagi untuk mengatakan seseorang itu wali atau tidak; kita kena lihat macamana dia mati- dia hidup jaga Syari’ah, patuh kepada hukum Allah SWT & Sunnah Rasulullah serta dia ada karamah; kemudian mati pula dalam keadaan beriman & husnul-Khatimah.
    Jika sebaliknya dia bukan wali Allah!
    Wali ialah orang yang taat & patuh kepada Syari’ah Allah SWT dan mati dalam keadaan beriman yang boleh kita nampak secara zahirnya.

AYAT 35- {DAN KAMI BERFIRMAN: “WAHAI ADAM! TINGGALLAH ENGKAU DAN ISTERIMU DALAM SYURGA, DAN MAKANLAH DARI MAKANANNYA SEPUAS-PUASNYA APA SAHAJA KAMU BERDUA SUKAI, DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI POKOK INI; (JIKA KAMU MENGHAMPIRINYA) MAKA AKAN MENJADILAH KAMU DARI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-BAQARAH 2:35)

  1. Kemudian Allah berfirman kepada nabi Adam AS dengan menyeru namanya {Wahai Adam!}:
    i- Tinggallah kamu & isteri kamu di dalam syurga.

    ii- Nikmatilah segala nikmat yang ada di dalamnya, makan minum sepuasnya.

    iii- Tetapi janganlah kamu hampiri pokok ini.
    Bila ada sekatan pasti ada cabaran!
    Allah kata kamu boleh makan semua benda cuma jangan hampiri pokok ini!

    iv- Jika kamu langar larangan ini kamu akan menjadi golongan orang-orang yang zalim. Sebagaimana iblis yang derhaka & telah dilaknat tadi!
  1. Syurga manakah yang Adam & isterinya berada ini?
    i- Kata ulama’ ia adalah syurga yang kekal (جنة الخلد) yang ada di langit.
    Kata Ibnu Kathir RHM. inilah pandangan kebanyakan ulama’.

    ii- Ada juga yang kata syurga khas untuk Adam, bukan yang disediakan untuk orang mukmin yang lain nanti.
    Kita berpegang kepada pandangan majorit ulama’ yang mengatakan syurga itu syurga yang sudah ada, yang Allah sediakan untuk kita semua juga.

    Bagaimana pula Rasulullah SAW boleh lihat keadaan orang yang disiksa di dalam neraka sedangkan tiada lagi manusia yang masuk neraka?
    Jawabnya: Baginda Nabi SAW telah diperlihatkan gambaran, simulasi golongan yang kena azab & jenis siksaannya! Wallahu A’lam.
  1. Banyaklah cerita Israiliyyat yang tidak sahih & karut tentang peristiwa yang berlaku antara nabi Adam & iblis di dalam syurga ini. Kebanyakan ceritanya adalah satu fitnah dan mencarik kehormatan nabi Adam AS & isterinya.

    Para ustaz & penceramah janganlah bawa & ambil cerita Israiliyyat & hadis-hadis palsu yang tidak sahih ini!
  1. Satu Kitab yang telah diterjemahkan & dicetak oleh JAKIM yang patut dibaca oleh semua penceramah:
    Kisah Israiliyat & Hadis Palsu dalam Kitab-kitab Tafsir tulisan Muhammad Abu Syahbah.
    Link terjemahannya:
    https://www.islam.gov.my/…/Israiliyyat_dan_Hadith_Palsu…
    Nama Arabnya:
    الإسرائليات والموضوعات في كتب التفسير.
  1. Untuk membaca kisah ghaib & pelik yang sahih boleh baca kitab-kitab ini:
    i-51 Hadis Sahih Kisah Ghaib. https://dartaibah.com/?page_id=179…

    ii-Tafsir Surah Al-Jin. https://dartaibah.com/?page_id=179…
    Yang menariknya kedua-dua Kitab ini ada QR code untuk discan & terus bersambung kepada kuliah AAM yang berkaitan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 34- {Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat:}-

    Allah SWT kata: Kami kata {قُلْنَا}, iaitu guna kata ganti nama untuk ramai-kami (نحن). Sedangkan Allah SWT itu Esa & Tunggal?
    Jawapan:
    Ini adalah uslub bahasa Arab dan gaya bahasa lain juga, menggunakan kalimah jamak untuk membesarkan.
    Kerana kebiasaannya raja-raja, orang besar & pembesar yang mulia menggunakan uslub jamak ini untuk membahasakan dirinya seperti kami, beta, kita dan seumpamanya.
    Bukan bererti Tuhan itu ramai atau banyak seperti yang ditafsirkan oleh mereka yang pening kepala, terpesong & sesat!
  1. Ayat 34- {Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”.}-

    Ini juga menunjukkan akan kemuliaan & ketinggian kedudukan nabi Adam AS ke atas malaikat kerana Allah perintahkan malaikat untuk sujud hormat kepadanya.
    Yakni yang disujud lebih tinggi kedudukan dari yang bersujud kepadanya.

    Persoalan:
    Jadi kenapa dalam kisah nabi Yusuf AS seolah sebaliknya: ibu bapanya bersujud kepadanya- sedangkan kita diperintahkan untuk menghormati & memuliakan ibu bapa?
    Jawapan:
    Untuk menunjukkan kemuliaan nabi Yusuf sebagai satu tribulasi terhadap Yusuf yang telah melalui pelbagai ujian dan cabaran yang begitu besar & getir.

    Juga menyatakan penyesalan seluruh keluarganya yang terlibat dalam konspirasi untuk membunuh Yusuf kecuali ayahnya Nabi Ya’kob dan adiknya Bunyamin.
  1. Meninggalkan perkara yang diperintahkan untuk dibuat adalah lebih dahsyat daripada melakukan apa yang dilarang.

    (ترك المأمور أشد من فعل المحظور).
    Dosa nabi Adam melakukan yang dilarang {Jangan pergi dekat pokok itu} akibat melanggarnya Allah SWT keluarakan Adam dari syurga tetapi diberi ruang untuk bertaubat & menerima taubatnya.

    ii- Tetapi berbeza dengan iblis akibat dari sombong angkuh tidak mahu buat apa yang Allah perintahkan maka akibatnya lebih besar & hukuman yang lebih berat.
    Akibatnya dilaknat Iblis syaitan ini sehingga ke hari Kiamat!
    أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
    Keduanya adalah salah & buruk- tetapi lebih berat antara keduannya ialah tidak buat apa yang diperintahkan.
  1. Ayat 35- {dan janganlah kamu hampiri pokok ini;}-

    Allah larang nabi Adam AS dari mendekati salah satu pokok yang ada di dalam taman syurga. Ini adalah satu ujian untuk nabi Adam & isterinya.
    Begitulah kebiasaannya ujian ini adalah dengan sesuatu yang dekat dengan kita.
    Seperti larangan dalam haji- semua larangannya adalah yang dekat dengan kita seperti isteri & apa yang ada di badan kita sendiri seperti buku & kuku.
    Semoga kita berjaya menghadapi cabaran & ujian sebegini dalam hidup.
    {(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.}- Allah juga kata jika Adam melanggar perintah-Nya itu maka dia akan menjadi orang yang zalim!

    Kata ulama’ : zalim itu ada dua kategori:
    i- Sama ada kita menzalimi orang lain dengan buat jahat ke atasnya.

    ii- Atau menzalimi diri sendiri dengan buat dosa & maksiat; iaitu melanggar hukum Syari’ah Allah SWT!
    Maka dalam kes nabi Adam ini, dia telah menzalimi dirinya sendiri lalu sebagai hukumannya dia telah dikeluarkan dari syurga yang penuh nikmat!
  1. Ayat 34- {Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.}-

    Apabila Allah perintahkan untuk sujud kepada nabi Adam AS iblis enggan & sombong angkuh!
    Kaedah bahasa Arab: Apabila bertambahnya bilangan huruf akan bertambahnya makna!
    Dari 3 huruf {أَبَىٰ}- enggan, kepada 7 huruf {وَٱسْتَكْبَرَ} sombong, angkuh & takabbur.

    Ada orang yang apabila kita suruh atau larang dia tak buat tapi diam sahaja.
    Tetapi ada juga yang sudahlah tak mahu buat- jawab atau lawan pula dengan sombong & anguh maka pastilah lebih besar perlawanannya!
    Iblis ini dilaknat kerana dua kesalahan & dosanya:
    i- Pertama tak mahu, enggan buat- {أَبَىٰ}

    ii- Kemudian dia sombong & angkuh pula {وَٱسْتَكْبَرَ}.
    Katanya: Aku tidak akan sujud kepada Adam, aku dibuat daripada api yang mulia, sedangkan dia hanya dari tanah yang hina!
    Iblis ini amat jahat, ia berdendam & bermusuh dengan manusia; maka kita kena kenal & tahu sifatnya betul-betul baru kita tahu cara untuk selamat dari godaan & hasutannya!
    Lihat rakaman penuh kuliah ini di: https://youtu.be/Os-XzUxNZq4?si=LAhTt22gC4Q9nENm

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs