Surah Al-Baqarah : Ayat 40-43

TUNTUTAN KE ATAS BANI ISRAIL, BENARKAN AL-QURAN, JANGAN JUAL AYAT ALLAH & MENCAMPURKAN HAQ DAN BATIL.

Full video : https://youtu.be/whpk9B-IPh0?si=uyqSNdH73yrNFkK3

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam siri seterusnya iaitu ayat 40 sehingga 43 bagi surah Al-Baqarah.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan beberapa tuntutan ke atas bani Israil, jika benar sebagaimana yang mereka dakwa nak disayangi Allah.
    Jika dakwa kena ada bukti bukan hanya cakap atau dakwaan kosong.
  1. Allah minta supaya mereka membenarkan Al-Quran, kerana isyarat tentang Al-Quran sudah ada dalam Kitab Taurat mereka.
    Jika kamu betul-betul baca Taurat berimanlah dengan dengan sempurna, bukan hanya pilih separuh-separuh.
  1. Allah juga peringatkan kepada para ulama’ bani Israil agar jangan jual ayat Allah atau istilah sekarang tunggang agama!
    Juga agar jangan mencampurkan antara yang haq dan batil.
  1. Walaupun ayat ini memberi peringatan kepada bani Israil ia juga terpakai sebagai peringatan & tuntutan untuk kita umat Islam yang mengaku beriman juga!
    Dakwa cintakan Allah & Rasulullah SAW tetapi perbuatan tidak selari dengan dakwaan.
    Dakwa cinta kena ada bukti!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 40- {WAHAI BANI ISRAIL! KENANGKANLAH KAMU AKAN SEGALA NIKMAT YANG TELAH KUBERIKAN KEPADA KAMU, DAN SEMPURNAKANLAH PERJANJIAN (KAMU) DENGANKU, SUPAYA AKU SEMPURNAKAN PERJANJIANKU DENGAN KAMU; DAN KEPADA AKULAH SAHAJA HENDAKLAH KAMU MERASA GERUN TAKUT, (BUKAN KEPADA SESUATU YANG LAIN).} (AL-BAQARAH 2:40)

  1. Allah menyeru wahai bani Israil. Ini ialah gelaran yang diguna pakai untuk anak cucu keturunan Nabi Ya’kub AS, atau selepas itu dipanggil yahudi dan bahasa yang diguna oleh mereka ialah Ibrani (Hebrew).
    Israil itu ialah gelaran kepada Nabi Ya’kub AS sendiri serta anak cucunya.
  1. Tuntutan pertama ke atas bani Israil ialah supaya ikut datuk nenek mereka yang mencari kebenaran serta ingat nikmat!
  1. Seruan agar mereka ingat segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka lalu mereka akan ingat bersyukur kepada Pemberi nikmat dengan beriman kepada Allah & beriman serta mengikut ajaran Rasulullah SAW, rasul terakhir yang diutus Allah SWT yang datang menyambung dakwah tauhid rasul-rasul sebelumnya, iaitu datuk nenek mereka.
  1. Syukur kepada Allah serta berterima kasih kepada orang yang membantunya.
    Memang semua hak Allah tetapi bantuan atau pertolongan datang melaui manusia itu dengan kehendak Allah!
    Jangan pula sombong & tak kenang jasa!

    Perumpanaan Arab: «سَمِّن كلبك يأكُلك»
    «سَمّن كلبك يأكُلك»، مثل عربي وقول دارج يطلق على من ينكر الإحسان ويقابله بسوء الجزاء، ويقلب له ظهر المجن، فقيل فيه:
    هم سمنوا كلبا ليأكل بعضهم *** ولو عملوا بالحزم ما سمنوا الكلبا.
  1. Tuntutan kedua: Tunaikan janji, takut kepada Allah semata jangan takut kepada makhluk yang cuba menghalangnya!

    Siapa yang cari redha manusia semata akan dimurkai Allah SWT & manusia juga akan benci.
    Manakala siapa yang cari redha Allah akan diredhai Allah & manusia juga akan sukainya!
    Jika ada juga orang yang menentang itu adalah asam garam dakwah, Rasulullah SAW pun sentiasa ada yang menentangnya.
    Kita diberi amanah ilmu wajib menyampaikannya!
  1. Yakni secara khulasahnya tuntutan dalam ayat ini ada 3:
    i- Beriman dengan Allah & rasul

    ii- Menegakkan Syari’ah Allah.

    iii- Menyatakan kebenaran jangan takut.
    Jika kamu tunaikan janji dengan Allah, Allah akan beri haq kamu!
  1. Kemudian di akhir ayat Allah bagi amaran; kamu jangan main-main jika kamu tidak beriman, tidak ikut Al-Quran, tidak ikut peraturan, takutlah kepada Allah & azab siksa-Nya nanti!
    Inilah Uslub Al-Quran seperti biasa ada peringatan/galakan kemudian ada amaran.
    Hendaklah kepada Allah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, bukan kepada sesuatu yang lain!
  1. Ayat ini ditafsirakn dengan 3 ayat juga juga tentang perjanjian kita dengan Allah SWT:
    i- { Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.} (A-li’Imraan 3:187)

    ii- {Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul.”} (Al-Maaidah 5:12)

    iii- {“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.} (Al-A’raaf 7:156)

    {“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.} (Al-A’raaf 7:157)

    Ini semua adalah ayat perjanjian kita dengan Allah SWT yang tidak mungkin untuk kita lupa & lari darinya!
    Jika mungkir jug amaka terimalah akibatnya!

AYAT 41- {DAN BERIMANLAH KAMU DENGAN APA YANG AKU TURUNKAN (AL-QURAN) YANG MENGESAHKAN BENARNYA KITAB YANG ADA PADA KAMU, DAN JANGANLAH KAMU MENJADI ORANG-ORANG YANG MULA-MULA KAFIR (INGKAR) AKAN DIA; DAN JANGANLAH PULA KAMU MENJADIKAN AYAT-AYATKU (SEBAGAI HARGA UNTUK) MEMBELI KELEBIHAN-KELEBIHAN YANG SEDIKIT FAEDAHNYA; DAN KEPADA AKULAH SAHAJA HENDAKLAH KAMU BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:41)

  1. Ini adalah tuntutan yang keempat- Allah SWT perintahkan bani Israil untuk membenarkan Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW serta beriman dengannya!
  1. Yakni iqrar bahawa Al-Quran ini sama dengan kitab mereka Taurat yang mengajak manusia kepada tauhid kepada lah SWT!- dalam Taurat & Injil juga telah disebut tentang Rasul akhir zaman yang akan diutuskan selepas itu dan namanya Ahmad!
  1. Ini juga menunjukkan bahawa kaum yahudi itu akan mendustakan Al-Quran kerana itu Allah perintahkan mereka untuk beriman & membenarkan Al-Quran.
  1. Maka Allah beri peringatan & amaran kepada kaum yahudi yang ada Kitab itu agar jangan lawan & seleweng kerana mereka tahu & ada ilmu!
    Inilah yang paling dahsyat & teruk, tahu kebenaran tetapi tidak terima atau sembunyi atau selewangkannya!
  1. Allah peringatkan lagi kaum yahudi ini (tuntutan kelima) agar:
    i- Jangan menjadi orang yang pertama mengingkari Al-Quran lalu menjadi kafir sedangkan mereka tahu hakikat kebenarannya!

    ii- Jangan menjadi orang yang menjual ayat-ayat Al-Quran demi kepentingan dunia yang sedikit & tidak kekal ini!
    Tinggal iman & taqwa, tidak ikut perintah Allah & rasul semata nak jaga kepentingan dunia!
  1. Apakah maksudnya jual atau tunggang agama ini: iaitu tinggalkan agama & ajaran Al-Quran semata-mata nak kaut habuan dunia!
    Ayat ini walaupun awalnya diturunkan kepada kaum yahudi ia juga peringatan kepada kita:
    Jangan salah guna Al-Quran untuk kepentingan dunia!
    Inilah kita bimbangkan hari ini agamawan & orang alim yang terjebak dengan perangai begini!
  1. Kita kena hati-hati & jujur dengan ilmu masing-masing.
    Jangan sampai mandul akal & otak mempertahankan perbuatan orang yang jelas salah kerana ia adalah dari kumpulan kita!
  1. Ayat tutup ayat ini dengan perintah kamu pegang ayat Aku kemudian kamu bertaqwalah kepada Allah. Takutlah kepada Allah dengan mengikut perintah-Nya & meninggalkan segala larangan-Nya!

AYAT 42- {DAN JANGANLAH KAMU CAMPUR ADUKKAN YANG BENAR ITU DENGAN YANG SALAH, DAN KAMU SEMBUNYIKAN YANG BENAR ITU PULA PADAHAL KAMU SEMUA MENGETAHUINYA.} (AL-BAQARAH 2:42)

  1. Ini adalah tuntutan yang ketujuh!
    i- Jangan kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah!
    Iaitu putar belit kebenaran sehingga yang salah dianggap benar!

    ii- Jangan kamu sembunyikan kebenaran! Inilah yang dilakukan oleh yahudi kepada Rasulullah SAW.
  1. Iaitu kaum yahudi bani Israil ini dilarang daripada menyembunyikan kebenaran iaitu mengenai kedatangan Rasulullah SAW sebagaimana yang jelas diceritakan dalam kitab Injil & Taurat yang ada di tangan mereka!
  1. Dalam surah al-Baqarah ini dan surah-surah lain, Allah SWT kerap menyebut tentang perihal bani Israil;
    i- Ini kerana mereka adalah bangsa yang beragama dan mempunyai kitab yang diturunkah Allah iaitu kitab Taurat.

    ii- Mereka juga adalah golongan yang mula-mula menetang Rasulullah SAW di Madinah walaupun mereka baca kitab itu!

    iii- Kerana ituah seruan Islam ditujukan kepada mereka berulang kali kalau-kalau mereka menerima Islam dan menjadi contoh kepada kaum yang lain.

    iv- Oleh kerana mereka menolak kandungan Kitab Suci Al-Quran & tidak beriman kepada Rasulullah SAW maka tinggalkanlah mereka di dalam kekufuran mereka!

    Kita berlindung dengan Allah SWT daripada kejahatan yang ditunjukkan oleh kaum yahudi ini!
  1. Negara Islam Madinah adalah contoh sebuah negara yang mempunyai pelbagai jenis rakyat, masyarakat majmuk, penduduk asal Madinah (Ansar), kaum yahudi & golongan muhajirin yang datang berhijrah!

AYAT 43- {DAN DIRIKANLAH KAMU AKAN SEMBAHYANG DAN KELUARKANLAH ZAKAT, DAN RUKUKLAH KAMU SEMUA (BERJEMAAH) BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG RUKUK.} (AL-BAQARAH 2:43)

  1. Tuntutan yang kelapan ini adalah tuntutan ibadat. Yang sebelum ini adalah tuntutan tauhid & aqidah.
  1. Antara ibadat yang diwajibkan ke atas bani Israil ialah untuk mendirikan solat & mengeluarkan zakat!
    Atau masuk Islam kemudian ibadat terawal kena buat ialah solat!

    Kata ulama’ ini menunjukkan bahawa umat terdahulu telah diperintahkan untuk menunaikan solat & zakat. Ia sudah ada dalam Syari’at umat terdahulu begitu juga puasa & haji cuma mungkin berbeza dari segi sudut perlaksanaan.
  1. Nabi Isa AS juga diperintahkan untuk bersolat dan berzakat; Sebagaimana katanya dalam firman Allah SWT ini:
    وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا
    {Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.} [Maryam:31]
  1. Allah SWT perintahkan untuk rukuk yakni yang dimaksudkan adalah solat!
    Sebut sebahagian tetapi yang dimaksudkan keseluruhan.
  1. Munasabah ayat
    i- Bermula dari ayat 40 sehingga ayat 142 adalah tentang perihal bani Israil, perangai & tingkah laku mereka.
    Hampir satu juzu’ dari surah Al-Baqarah ini Allah ceritakan tentang sifat mereka kerana Allah SWT nak dedahkan hakikat & tembelang mereka.

    ii- Ayat sebelumnya adalah untuk mengisbatkan kewujudan Allah SWT & perintah untuk menyembah Allah SWT.

    iii- Allah SWT juga telah jelaskan dalam ayat-ayat sebelum ini tentang tiga golongan manusia yang ada atas dunia ini:
    i- Kafir tulen.

    ii- Munafiq yang bermuka-muka.

    iii- Orang mukmin yang hakiki.

    iv- Kemudian bermula ayat ini Allah SWT mula sebut tentang bani Israil, iaitu satu bangsa yang ada Kitab wahyu di tangan mereka!
    Mereka inilah kaum yahudi yang ada kitab & mereka adalah golongan yang sangat memusuhi & membenci Islam & Al-Quran.

    Sedang merekalah yang patut mula-mula beriman dengan Al-Quran kerana telah ada ada disebut secara jelas dalam kitab mereka!
    Tetapi mereka mendustakannya lalu menjadi manusia yang celaka, lawan Allah, lawan Rasulullah & lawan Al-Quran lawan segala perkara yang bercanggah dengan kehendak nafsu mereka!
  1. Jadi dalam ayat-ayat ini kita akan bincangkan janji & seruan Allah kepada mereka- wahai bani Israil, wahai yahudi.
    Adakalanya Allah sebut secara lembut wahai manusia, wahai ahli kitab, adakala dengan cara yang agak keras.
    Ada ketika Allah ungkit nikmat-Nya ke atas mereka, adakalanya memberi ancaman amaran yang berat!

    Semua gaya uslub ini kerana Allah nak gaya, nak ajak mereka supaya kembali beriman kepada Allah SWT jangan lari & keras kepala tidak mahu ikut ajaran Islam.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 40- {Wahai Bani Israil!}-

    Mereka adalah anak cucu nabi Ya’kub AS.
    Allah SWT tujukan ayat ini secara direct kepada bani Israil supaya:
    i- Mereka buka telinga.

    ii- Mereka inilah sepatutnya yang mula-mula beriman dengan Allah SWT kerana kitab di tangan mereka.
    Sifat Rasulullah SAW termaktub secara jelas dalam kitab Taurat yang mereka baca!
    Jika Abu Jahal atau Abu Lahab lawan sesuailah kerana mereka tidak pernah baca Kitab & tidak ada maklumat tentang Rasulullah SAW & Islam.

    iii- Kerana mereka sudah ada ilmu tentang Nabi SAW tetapi mereka tetap keras kepala.
    Jadi ayat ini fokus untuk mendakwah bani Israil yang sudah ada ilmu & maklumat.
  1. Ayat 40- {Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu,}-

    Allah ungkit supaya mereka sedar & bersyukur dengan begitu banyak nikmat yang Allah berikan kepada mereka!
    Antara nikmat mereka ialah:
    i- Betapa ramai para nabi & rasul dari kalangan mereka.

    ii- Mereka adalah salah satu bangsa yang ada Kitab yang Allah turunlan dari langit.
    Mereka ada Taurat & Injil yang diturunkan kepada nabi Isa AS.
    Serta banyak lagi nikmat yang Allah berikan kepada mereka, terlalu banyak untuk disebut semuanya.
    Begitulah yang yang terjadi apabila manusia itu lupa akan nikmat & Pemberi nikmat yang hakiki iaitu Allah ‘Azza wa Jalla.
  1. Ayat 41- {dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya;}-

    Jangan kamu jual/tukar ayat-ayat Al-Quran dengan habuan dunia!
    Kata ulama’ semua benda atas dunia ini nilainya sedikit & kecil berbanding dengan nikmat akhirat & syurga!
    Ayat ini mendidik kita untuk menjadi zuhud atas dunia ini serta mengutamakan apa yang ada di sisi Allah SWT, itu paling besar, kekal & selamat.
    Ayat ini juga menjadi perbincangan ulama’ apakah harus untuk mengambil upah atau bayaran mengajar orang mengaji Al-Quran?

    Jawapan:
    i- Majoriti ulama’ berpendapat harus tetapi jangan melampaui, mahal bayarannya. Kita juga nak pahalanya.

    ii- Az-Zuhri kata tidak harus.

    iii- Khilaf yang lebih besar ialah yang ambil upah baca Al-Quran untuk disedekahkan pahalanya kepada orang itu orang ini sama ada yang masih hidup atau mati!

    Pahala ini jika tak jelas dalilnya jangan kita bermudah-mudah jika tidak kita akan makan duit orang tanpa hak!
    Jika memang kita sukarela baca lain pula, ini ambil upah, baca Al-Quran lalu beri pahala kepada orang lain!
    Kerana itu Allah sebut di akhir ayat 40: {dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).}- wahai bani Israil hendaklah kamu takut kepada Allah serta takut akan balasan & azab Allah
    Kemudian datang ayat ini dengan uslub yang berbeza:
    Ayat 41- { dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.} tetapi bukan hanya takut sahaja tetapi hendaklah juga beriman & bertaqwa kepada Allah!
    Yakni Allah menyeru mereka juga supaya beriman dengan baik.
  1. Ayat 42- {Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah,}-

    Kata ulama’ ini menjadi dalil bahawa WAJIB orang yang ada ilmu & tahu kebenaran untuk menyampaikan!
    Jangan bersembunyi di sebalik pakaian rasmi & tauliah.

    Bangga menayangkan tauliah & sijil-sijil dari serata negara, tetapi apabila berceramah semuabhikayat dibawa; ada hadis-hadis palsu, kisah-kisah israiliyyat & lawak jenaka sahaja!
    YANG benar itu adalah maklumat yang disampaikan, bezakan antara yang haq & batil!
    Jika kita tak mampu buat pun sekurang-kurangnya lidah mengatakan bahawa sesuatu itu tidak benar bukan ikut menyebarkannya!

    Bezakan antara yang haq & batil, hendaklah berani untuk nyatakan kebenaran setakat yang mampu!
    Wajib ada usaha dulu bukan hanya biarkan atau diamkan saja lalu bercampurlah antara haq & batil!

    Sesiapa yang mencampur antara haq & batil atau dia sembunyikan kebenaran maka inilah pendakwah-pendakwah yang nak bawa orang ke neraka Jahannam, wal ‘iyazubillah!
  1. Ayat 43- {Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.}-

    Allah perintahkan mereka untuk dirikanlah solat & keluarkan zakat serta rukuk dalam solat.
    Ayat ini menjadi dalil bahawa solat sudah ada & wajib di kalangan umat terdahulu.
    Walaupun Allah sebut dalam ayat ini rukuk sahaja tetapi maksudnya adalah solat keseluruhannya dari takbir sehingga salamnya.

    Contoh seperti kita ajak orang ke rumah untuk makan gulai tetapi kita maksudkan untuk makan semua hidangan yang ada bukan gulai saja, nasi ikan dan lain-lain lauk-pauk yang disediakan.
    Begitu zakat, umat dahulu juga sudah membayarnya bukan kita sahaja.
    Allah mengajar kita untuk sentiasa mendirikan solat & mengeluarkan zakat sebagaimana yang telah diperintahkan kepada orang yang terdahulu.
    Apabila orang ramai juga buat sesuatu kerja itu, kita menyambungnya, maka akan rasa ringan untuk buatnya, jika kita seorang saja buat kita akan rasa penat!

    Insya’ Allah kita akan sambung kuliah kita dalam siri yang akan datang.

Powered by BetterDocs