Surah Al-Baqarah : Ayat 53-57

TAUBAT PENYEMBAH LEMBU, BANI ISRAEL NAK TENGOK ALLAH & NIKMAT DI PADANG PASIR SINAI.

Full video : https://youtu.be/AZ3RsX4Y3tI?si=RLAYR_TegADclUCX

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi yang ceria ini kita dapat meneruskan kuliah pengajian tafsir dalam ayat 53 sehingga ayat 57 bagi surah Al-Baqarah, iaitu surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT mengungkit dan memperingatkan bani israel tentang nikmat yang Allah anugerahkan kepada mereka.
    Antara nikmatnya ialah Allah beri kepada mereka kitab Taurat.
    Manakala umat nabi Muhammad SAW ialah Al-Furqan (Al-Quran).
  1. Allah SWT juga menerima taubat mereka penyembah lembu, walaupun jenayah mungkar yang mereka buat amat besar tetapi Allah masih lagi menerima taubat mereka!
  1. Bani Israel adalah bangsa yang keras kepala, tak habis lagi karenah mereka; Bani Israel minta dengan nabi Musa nak tengok Allah, lalu Allah SWT matikan mereka kemudian hidupkan balik mereka.
    Kemudian Allah sesatkan mereka di padang pasir Sinai beberapa tahun.
  1. Allah sebutkan pula tentang nikmat yang diberikan kepada mereka semasa di padang pasir Sinai iaitu rezeki teduhan & makanan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 53- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI TURUNKAN KEPADA NABI MUSA KITAB (TAURAT) DAN KETERANGAN-KETERANGAN (YANG TERKANDUNG DI DALAMNYA, YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH), SUPAYA KAMU MENDAPAT PETUNJUK.} (AL-BAQARAH 2:53)

  1. Dalam ayat ini ialah nikmat yang keempat yang Allah berikan kepada mereka: turunkan Kitab Taurat dari sisi Allah Azza wa Jalla kepada mereka.
  1. Kitab Taurat ini mengandungi keterangan-keterangan, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah sebagai petunjuk untuk mereka!
  1. Tetapi malangnya mereka yang ada Kitab ini tidak menggunakannya sebagai petunjuk hidayah bahkan mereka tetap ingkar & melawan dengan pelbagai karenah!
    Sepatutnya merekalah yang pertama sekali beriman kerana ada ilmu & maklumat melalui kitab yang ada dengan mereka.

AYAT 54- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: ” WAHAI KAUMKU! SESUNGGUHNYA KAMU TELAH MENGANIAYA DIRI KAMU SENDIRI DENGAN SEBAB KAMU MENYEMBAH PATUNG ANAK LEMBU ITU, MAKA BERTAUBATLAH KAMU KEPADA ALLAH YANG MENJADIKAN KAMU; IAITU BUNUHLAH DIRI KAMU. YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK BAGI KAMU DI SISI ALLAH YANG MENJADIKAN KAMU, SUPAYA ALLAH MENERIMA TAUBAT KAMU ITU. SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MAHA PENGAMPUN (PENERIMA TAUBAT), LAGI MAHA MENGASIHANI”.} (AL-BAQARAH 2:54)

  1. Nabi Musa masih lagi berlembut dan menggunakan uslub memujuk dengan menyeru mereka: “Wahai kaumku!” sesungguhnya mereka telah menzalimi diri mereka sendiri dengan menyembah patung anak lembu sepeninggalan nabi Musa pergi bermunajat.
  1. Maka nabi Musa menyuruh mereka bertaubat dan hukumannya adalah mereka dibunuh oleh kaum keluarga mereka sendiri yang tidak melakukan kesyirikan itu!
    Inilah maksudnya {bunuhlah diri kamu}
  1. Ini adalah taubat & penghapusan mereka yang syirik secara beramai-ramai yakni mereka semua dibunuh tidak layak hidup lagi atas muka bumi ini!
    Taubat orang dahulu berat tidak seperti umat Muhammad SAW.
  1. Tetapi kita ummat Nabi Muhammad SAW yang dirahmati Allah tidak begitu syaratnya!
    Telah dibuang dari kita Syari’ah umat terdahulu yang berat-berat.
  1. Syarat untuk bertaubat bagi kita:
    i- Taubat menyesali atas perbuatan itu!

    ii- Menyesali atas dosa-dosa yang lepas.

    iii- Berhenti dari melakukannya.

    iv- Jika terlibat dengan manusia kena hantar balik atau minta maaf darinya!
    Lihat kuliah Syarat Taubat di : https://youtu.be/QUNkz4dBIqY?si=wXGD8M7NljGYizMb
  1. Ini adalah galakan untuk manusia yang telah berdosa untuk kembali bertaubat kepada Allah jika bani Israel yang begitu besar dosanya pun diampunkan Allah, maka apatah lagi kita yang hanya melakukan kesalahan biasa.

AYAT 55- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMU BERKATA: “WAHAI MUSA! KAMI TIDAK AKAN BERIMAN KEPADAMU SEHINGGA KAMI DAPAT MELIHAT ALLAH DENGAN TERANG (DENGAN MATA KEPALA KAMI)”. MAKA KERANA ITU KAMU DISAMBAR PETIR, SEDANG KAMU SEMUA MELIHATNYA.} (AL-BAQARAH 2:55)

  1. Allah peringatkan satu lagi karenah bani Israil yang melampau iaitu permintaan mereka yang tidak logik & karut untuk melihat Allah dengan terang, dengan mata kepala mereka.
  1. Ayat ini sama dengan firman Allah SWT ini:
    {Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: “(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya)”. Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).} (An-Nisaa’ 4:153)
  1. Kerana permintaan mereka yang karut itu, mereka disambar dengan petir dan jatuh pengsan atau mati satu persatu!

AYAT 56- {KEMUDIAN KAMI BANGKITKAN KAMU SESUDAH KAMU MATI (ATAU PENGSAN DARI SAMBARAN PETIR ITU), SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AL-BAQARAH 2:56)

  1. Ini adalah nikmat yang keenam iaitu Allah menghidupkan mereka semula untuk sedar & memikirkan balik atas kesalahan & dosa-dosa yang telah mereka lakukan!
  1. Inilah nikmat yang diberi agar mereka bersyukur.

AYAT 57- {DAN KAMI TELAH MENAUNGI KAMU DENGAN AWAN (DARI PANAS MATAHARI DI PADANG PASIR) DAN KAMI TURUNKAN KEPADA KAMU “MANN” DAN “SALWA”, (SERTA KAMI BERFIRMAN): “MAKANLAH DARI MAKANAN-MAKANAN YANG BAIK YANG KAMI TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU”. DAN TIDAKLAH MEREKA MENGANIAYA KAMI (SEBAB MEREKA KUFURKAN NIKMAT ITU), TETAPI SEBENARNYA MEREKA ADALAH MENGANIAYA DIRI SENDIRI.} (AL-BAQARAH 2:57)

  1. Setelah itu, samada mati atau pengsan mereka hidup semula agar mereka bersyukur.
  1. Antara ujian ke atas mereka lagi ialah sesat di padang pasir Sinai. Mereka sesat di padang Pasir itu selama 40 tahun.
  1. Nikmat yang ketujuh ialah nikmat teduh : Allah hantar awan yang lembut & teduh untuk menaungi mereka dari kepanasan matahari di padang pasir.
  1. Nikmat yang kelapan ialah bekalan makanan.
    Allah turunkan kepada mereka “Mann” dan “Salwa” {ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ }. Apakah ini?
    i- Manna ialah sejenis makanan yang pekat & manis seperti madu, yang turun dari langit seperti embun jatuh berguguran atas batu & daun. Mereka lalu kutip memakannya.

    ii- Salwa pula ialah sejenis burung yang seperti burung puyuh itu.
    lengkaplah hidangan mereka, ada manis ada masin.
  1. Terdapat juga beberapa pandangan lain ulama’ tentang makna “Mann” dan “Salwa”
    {ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ } ini:
    i- Manna ialah sejenis makanan atau nikmat yang Allah turunkan, tidak perlu bersusah-susah mencarinya.
    Ada juga yang mengatakan ia adalah satu makanan seperti (الترنجبين) iaitu seperti halia.

    ii- Salwa pula burung kecil seperti puyuh.
  1. Allah berfirman kepada mereka: “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”.
    Kedua makanan ini baik dari segi makna rohani & jasmani; dan sedap & berkhasiat.

    Tetapi bani Israel ini tetap tidak bersyukur, mereka mengamuk pula nak makanan kebiasaan mereka seperti kacang ful, bawang lada dan seumpamanya!
  1. Allah berfirman pada akhir ayat ini bahawa siapa yang ingkar, tidak bersyukur & kufur nikmat, mereka telah menganiaya diri mereka sendiri.

    Ertinya: Semua orang yang melakukan maksiat bermakna dia telah menganiayai dan menzalimi dirinya sendiri! Kerana apabila buat maksiat, Allah akan murka & bila Allah murka akan hilang nikmat & kasih sayang, jika dia tidak bertaubat akan dimasukkan ke dalam neraka, wal ‘iyazubillah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 53- {Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.}-

    Allah turunkan Kitab adalah merupakan nikmat bagi manusia!
    Sebesar-besar nikmat yang kita terima ialah Kitab yang diturunkan Allah kepada Nabi kita, Muhammad SAW!
    Yang lain semuanya akan hilang dengan kematian kita, yang kekal adalah kitab hidayah yang memimpin kita kepada jalan petunjuk!

    Kerana manusia tak mungkin nak kenal Allah kecuali melalui kitab Allah, tak mungkin kita tahu apa yang Allah nak beritahu kepada kita kecuali melalui Rasulullah SAW!
    Jadi turunnya kitab adalah satu nikmat yang amat besar!
  1. Ayat 53- {supaya kamu mendapat petunjuk.}-

    Allah sebut sifat nikmat.
    Matlamat objektif Allah turunkan Kitab ialah untuk memberi hidayah petunjuk kepada manusia.
    Kata ulama’ tadabbur: Maka sesiapa yang nak hidayah kena pergi cari melalui wahyu Allah SWT! bukan pergi cari kata-kata ahli falsafah dan lain-lain.
    Orang mencari hidayah bukan melalui Kitab Allah & Sunnah Nabi SAW, dia akan gagal!
    Orang yang bersekongkol dengannya juga akan mendapat kemurkaan Allah SWT!
  1. Ayat 54- {Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku!}-

    Kita belajar cara uslub berdakwah dengan nabi Musa AS.
    Nabi Musa AS ini adalah seorang yang bekeng (garang) & tegas asalnya, apabila dia kembali dari munjat lihat kaumnya buat syirik; dia campak lauh (kitab) di tangannya & pegang janggut Harun!
    Tetapi setelah berdepan, apabila berdepan dengan kaumnya yang telah tersesat, untuk memujuk mereka agar bertaubat & kembali kepada Allah, Musa panggil & seru mereka dengan lembut & baik!

    Para pendakwah kena guna gaya bahaya untuk berinteraksi dengan mereka ini dengan ayat yang boleh menarik perhatian & hati mereka untuk kembali ke jalan Allah SWT.
    Ikut kesesuaian & keadaan ada tempat kena lembut ada tempat kena tegas!
  1. Ayat 54- {Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.}

    Apabila kita nak suruh orang buat sesuatu atau larang daripada sesuatu mesti kena nampak hikmah di sebalik arahan atau larang itu!
    Seperti Nabi Musa AS:
    i- Apabila dia suruh kaumnya bertaubat, dia beritahu kerana mereka telah buat dosa syirik & maksiat besar, maka kamu kena bertaubat.
    Huruf (فَ) dalam {فَتُوبُوٓا۟} ini ialah menunjukkan tertib, bila buat dosa kena terus bertaubat. Bahkan ada ulama’ kata sesiapa yang menangguhkan taubat dia kena bertaubat pula atas penangguhan itu!

    ii- Musa juga juga nyatakan hikmah taubat bagi mereka iaitu {lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu.}
    Nabi Musa juga kata: { إِنَّهُۥ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ} iaitu {Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani }- yakni kita juga boleh menggunakan nama-nama Allah yang indah ikut keadaan & kesesuaian.

    Cita-cita AAM yang belum dapat dilaksanakan ialah untuk membaca Kitab Asmaul Husna sebagai satu Kuliah khas.
    Insya’ Allah semoga dipermudahkan Allah usahanya.
  1. Ayat 57- {Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.}-

    Allah kata : Wahai hamba-Ku, semua tindakan yang Kami ambil ke atas kamu ini bukan sebab Kami mahu menganiayai atau menzalimi kamu, tetapi kamu sendiri yang menzalimi diri kamu!
    Maka kita faham dari sini bahawa orang yang zalim ialah orang yang langar perintah Allah Azza wa Jalla.

    Kerana itu kita panggil orang kafir musuh Allah, iaitu semua orang yang tidak beriman kepada Allah, maka dia adalah musuh Allah dari segi Aqidah, boleh jadi dari segi perangai & muamalat dengan manusia dia baik.
    Apabila kita bincang tentang ayat; yang paling penting dari segi ilmu tadabbur ialah kita nak merealisasikannya dari sudut kehidupan kita.

    Contoh: Firaun sebagai ikon penguasa yang zalim, angkuh & takabbur, maka sesiapa yang sombong apabila dapat kuasa, sekat sana halang sini; maka kita kata sesiapa yang zalim kepada orang akan terima padahnya! Tetapi ada juga orang yang koyak & terasa diperli dengan isu semasa.

    Bila kita belajar Al-Quran kita kena ingat dalam Al-Quran ada semua isu & benda yang Allah sebut dan buat contoh!
    Jadi kita kena buka hati, lapangkan dada untuk belajar, menerima segala teguran & peringatan untuk dijadikan panduan & iktibar!
    Penguasa yang zalim, sesiapa saja atas dunia ini, Arab ke orang putih ke hitam ke, Allah SWT akan hinakan mereka.

    Kita mengajar Al-Quran bukan nak suruh kata orang!
    Kita berjuang lama dah nak memulihkan hati supaya jangan ada benci sesama Islam, kena ada kesatuan ummah agar tidak diganyang orang!
    Tetapi malangnya kepincangan ini masih ada dalam masyarakat, yang Islam dibenci yang kafir dipuja disanjung!
    Allah sebut bermacam-macam. Ada tentang perangai bani Israil yang keras kepala kepada Musa, Musa berdepan dengan Firaun yang zalim, sehinggakan ada kitab Sirah yang mengatakan Abu Jahal adalah Firaun umat ini!

    Jadi watak Firaun itu ada bila-bila sehingga ke hari Kiamat.
    Orang atau pelakonnya yang berbeza tetapi wataknya tetap yang sama.

    Watak dalam masyarakat : Sombong angkuh itu Firaun, orang kaya yang takabbur itu Qarun, pegawai-pegawai yang tidak memberi nasihat yang baik kepada boss itu Haman! Semua ada dalam Al-Quran kita ambillah ibrah pengajaran, belajarlah dengan minda yang terbuka bahawa Al-Quran itu kitab hidayah!

    Belajar Al-Quran kena belajar betul-betul, kita wajib amalkan akhlak Al-Quran.
    Kita baca semuanya, isinya pasti ada yang kena atas kepala orang atau atas kepala kita sendiri, maka terimalah dengan hati yang terbuka!

    Menuntut ilmu kena sabar, nak berdakwah juga kena sabar!
    Guru kena sabar, murid juga kena sabar barulah kita akan dapat manfaatnya, Insya Allah.

Powered by BetterDocs