Surah Al-Baqarah : Ayat 67-74

ARAHAN SEMBELIH LEMBU, PADAH BANYAK BERTANYA & HATI KERAS DARI BATU.

Full video : https://youtu.be/09SEaLhAAIg?si=iWLtn94cUR-qEQwq

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 67 sehingga ayat 74 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kisah lembu bani Israel { بَقَرَةًۭ}.
    Surah Al-Baqarah ini diambil namanya dari cerita inilah. Kisahnya panjang kita akan cuba ringkaskan.
  1. Ia berlegar tentang sifat bani Israel yang buruk seperti banyak tanya, degil cari helah, keras kepala suka mengingkari para nabi dan seumpamanya.
  1. Buruknya sikap orang yang bersikap sedemikian iaitu padah banyak bertanya yang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri!
  1. Allah ceritakan tentang sekumpulan manusia yang hatinya lebih keras daripada batu!
    Batu yang keras pun pecah kerana takut kepada Allah!
    Inilah hati manusia yang kufur kepada Allah serta penuh ingkar dan maksiat, tidak terkesan dengan ayat-ayat Allah! Ini yang kita bimbang & takut!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 67- {DAN (INGATLAH), KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: “SESUNGGUHNYA ALLAH MENYURUH SUPAYA KAMU MENYEMBELIH SEEKOR LEMBU BETINA”.

  1. Allah berfirman lagi: dan ingatlah kamu {وَإِذْ} apabila Allah SWT menyuruh bani Israil menyembelih seekor lembu betina {بَقَرَةٌۭ}. Kenapa kena sembelih lembu?
  1. Kisahnya akan diceritakan dalam ayat 72 & 73 nanti. Iaitu kisah kes pembunuhan di kalangan bani Israel.
  1. Kerana kisah inilah surah yang kedua dalam Al-Quran ini dinamakan surah Al-Baqarah {البقرة}. Cerita ini tiada dalam surah lain kecuali dalam surah ini!
  1. Ia juga menceritakan tentang sifat dolak-dalik kaum yahudi yang sentiasa mencari helah & derhaka kepada Allah SWT!

AYAT 67- {MEREKA BERKATA: “ADAKAH ENGKAU HENDAK MENJADIKAN KAMI INI PERMAINAN?”}

  1. Sikap buruk bani Israel terhadap nabi Musa AS : Mereka kata nabi Musa mempermain-mainkan mereka!
    Oleh kerana mereka tidak nampak apa kaitan antara mencari pembunuh itu dengan menyembelih lembu, maka mereka telah menuduh Nabi Musa AS, bermain-main dengan mereka.

AYAT 67- {NABI MUSA MENJAWAB: “AKU BERLINDUNG KEPADA ALLAH DARIPADA MENJADI SALAH SEORANG DARI GOLONGAN YANG JAHIL (YANG MELAKUKAN SESUATU YANG TIDAK PATUT)”.} (AL-BAQARAH 2:67)

  1. Musa menjawab : Aku berlidung dengan Allah dari menjadi seorang dari golongan yang jahil; Iaitu jahil seperti kamu, yang suka perli & mempermain-mainkan orang!
    Musa AS mula marah!
  1. Maka ingatlah sesiapa yang suka perli orang, kacau orang (prank); ini adalah perbuatan jahiliyah, perbuatan orang yang bodoh!

AYAT 68- {MEREKA BERKATA PULA: “BERDOALAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DITERANGKANNYA KEPADA KAMI BAGAIMANA (SIFAT-SIFAT) LEMBU ITU?” NABI MUSA MENJAWAB: “BAHAWASANYA ALLAH BERFIRMAN: BAHAWA (LEMBU BETINA) ITU IALAH SEEKOR LEMBU YANG TIDAK TERLALU TUA DAN TIDAK TERLALU MUDA, PERTENGAHAN (UMURNYA) DI ANTARA ITU; MAKA KERJAKANLAH APA YANG DIPERINTAHKAN KEPADA KAMU MELAKUKANNYA”.} (AL-BAQARAH 2:68)

  1. Sebenarnya untuk menyembelih lembu adalah mudah sahaja sebenarnya, tetapi mereka banyak bertanya sampaikan perkara yang senang jadi susah.
    Maka ini soalan pertama mereka: Bagaimana sifat lembu itu.
  1. Wahai Musa tanyalah kepada Tuhanmu { رَبَّكَ}.
    Lihatlah bagaimana mereka kata ‘Tuhan kamu’, bukan ‘Tuhan kami’.
    Begitulah kurang ajarnya mereka dengan Nabi dan Allah SWT!
  1. Musa pun jawab bahawa Allah telah memberitahu bahawa lembu itu pertengahan umur, tidak terlalu tua & tidak terlalu muda!
    Pergilah cari lembu itu dan buat apa yang disuruh!

AYAT 69- {MEREKA BERKATA LAGI: “POHONKANLAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DITERANGKANNYA KEPADA KAMI APA WARNANYA?” NABI MUSA MENJAWAB: “BAHAWASANYA ALLAH BERFIRMAN: BAHAWA (LEMBU BETINA) ITU IALAH SEEKOR LEMBU KUNING, KUNING TUA WARNANYA, LAGI MENYUKAKAN ORANG-ORANG YANG MELIHATNYA”.} (AL-BAQARAH 2:69)

  1. Tetapi mereka tetap tidak terus buatnya bahkan bertanya lagi!
  1. Soalan kedua: Wahai Musa tanyalah kepada Tuhanmu { رَبَّكَ} apakah warna lembu itu? Betul-betul cari pasal!
  1. Nabi Musa pun jawab bahawa Allah telah memberitahu bahawa lembu betina itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya.

AYAT 70- {MEREKA BERKATA LAGI: “POHONKANLAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DITERANGKANNYA KEPADA KAMI LEMBU BETINA YANG MANA SATU? KERANA SESUNGGUHNYA LEMBU YANG DIKEHENDAKI ITU KESAMARAN KEPADA KAMI (SUSAH KAMI MEMILIHNYA), DAN KAMI INSYA ALLAH AKAN MENDAPAT PETUNJUK (UNTUK MENCARI DAN MENYEMBELIH LEMBU ITU)”.} (AL-BAQARAH 2:70)

  1. Tetapi mereka tetap tidak terus buatnya (sembelih lembu) bahkan bertanya lagi!
    Mereka cari pasal lagi.
  1. Soalan ketiga: Wahai Musa tanyalah kepada Tuhanmu { رَبَّكَ} yang mana satu lembu itu? Kami Sekarang mereka ingin tahu ‘hakikat’ lembu itu pula kerana sudah terasa susah untuk mencarinya!
  1. Kali ini mereka kata Insya’ Allah mereka akan dapat mencarinya!

AYAT 71- {{NABI MUSA MENJAWAB: “BAHAWASANYA ALLAH BERFIRMAN: SEBENARNYA (LEMBU YANG DIKEHENDAKI ITU) IALAH LEMBU BETINA YANG TIDAK PERNAH DIGUNAKAN UNTUK MEMBAJAK TANAH (SAWAH BENDANG), DAN TIDAK PULA (DIGUNAKAN MENGANGKUT AIR) UNTUK MENYIRAM TANAMAN; IA JUGA TIDAK CACAT DAN TIDAK ADA BELANG PADA WARNANYA”. MEREKA BERKATA: “SEKARANG BAHARULAH ENGKAU DAPAT MENERANGKAN SIFAT-SIFATNYA YANG SEBENAR”. MAKA MEREKA PUN MENYEMBELIH LEMBU YANG TERSEBUT, DAN HAMPIR-HAMPIR MEREKA TIDAK DAPAT MENUNAIKAN (PERINTAH ALLAH) ITU.} (AL-BAQARAH 2:71)

  1. Musa pun jawab bahawa Allah telah berfirman bahawa sifat lembu itu:
    i- Lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang),

    ii- Dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; Menyiram tanaman pun tidak pernah, maknanya lembu ini dibela sahaja tak buat kerja.

    iii- Ia juga tidak cacat. Sihat tubuh badan dia; lembu yang sihat lagi cantik. Bukan yang jenis kurus, bukan gemuk. Ia juga tidak ada cacat seperti buta sebelah, kaki pincang dan sebagainya.

    iv- Dan tidak ada belang pada warnanya. Maknanya, badan dia tidak ada jalur, tidak ada tanda, tidak berbelang warnanya. Warna kekuningan itu pada keseluruhan badannya.
  1. Maka, sekarang bukan senang untuk mereka mencari lembu yang jenis ini. Sudahlah lembu yang cantik, tidak diguna untuk membuat kerja pula.
  1. Apa yang kita dapat pengajaran dari cerita ini ialah jangan tanya banyak sehingga menyusahkan diri sendiri!
    Ayat ini mengajar banyak perkara nanti kita lihat dalam fawaid!
  1. Akhirnya mereka dapat juga menjumpai lembu itu dan mereka menyembelihnya.
    Mereka hampir tidak dapat menyembelihnya kerana susah sangat untuk mereka cari lembu itu kerana kriteria lembu itu sudah jadi susah sangat untuk dijumpai (dengan sebab pertanyaan mereka sendiri).

AYAT 72- {DAN (INGATLAH), KETIKA KAMU MEMBUNUH SEORANG MANUSIA, KEMUDIAN KAMU TUDUH-MENUDUH SESAMA SENDIRI TENTANG PEMBUNUHAN ITU, PADAHAL ALLAH TETAP MELAHIRKAN APA YANG KAMU SEMBUNYIKAN.} (AL-BAQARAH 2:72)

  1. Dalam ayat ini Allah ingatkan mereka tentang kisah kenapa mereka kena sembelih lembu itu.
  1. Kisah ini bermula ketika terjadi pembunuhan di kalangan mereka.
    Seorang lelaki telah membunuh sepupu atau bapa saudaranya yang telah tua kerana mahukan harta.
    Kalau tunggu orang tua itu mati sendiri, lambat untuk dia dapat harta.

    Selepas bunuh, untuk mengelakkan disyaki orang, dia telah meletakkan mayat itu di kampung sebelah, dan menuduh orang lain pula yang membunuh saudaranya.
  1. Ini menyebabkan mereka berbantah-bantah, tuduh-menuduh, berbalah tentang siapakah yang telah membunuh lelaki itu.
    Ini adalah berdasarkan undang-undang Al-Qasamah (القسامة) di bawah perundangan jenayah Islam, di mana apabila mayat dijumpai di satu tempat yang dia ada permusuhan dengan penduduknya, maka kita boleh tuduh orang kampung itu yang membunuhnya dengan sokongan sumpah oleh 50 orang atau lebih!
    Akhirnya mereka mengadu masalah itu kepada Nabi Musa AS, minta Musa untuk berdoa kepada Allah agar menghuraikan perkara sebenar.
  1. Lalu Allah SWT mewahyukan kepada nabi Musa untuk menyuruh mereka menyembelih seekor lembu betina. Yakni walaupun mereka menyembunyikan perkara sebenar tentang pembunuhan itu, Allah tetap melahirkan apa yang mereka sembunyikan!

AYAT 73- {MAKA KAMI (ALLAH) BERFIRMAN: “PUKULAH SI MATI DENGAN SEBAHAGIAN ANGGOTA LEMBU YANG KAMU SEMBELIH ITU” (MEREKA PUN MEMUKULNYA DAN IA KEMBALI HIDUP). DEMIKIANLAH ALLAH MENGHIDUPKAN ORANG-ORANG YANG TELAH MATI, DAN MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU TANDA-TANDA KEKUASAANNYA, SUPAYA KAMU MEMAHAMINYA.} (AL-BAQARAH 2:73)

  1. Lalu setelah mereka menyembelih lembu betina itu, Allah berfirman agar mereka ambil satu bahagian anggotanya (ada kata lidah) & digunakan untuk memukul si mati nescaya si mati akan hidup semula & memberitahu siapakah yang membunuhnya. Kemudian dia akan mati balik.
  1. Demikian Allah SWT menghidupkan orang yang telah mati & menunjukkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaannya supaya kamu memahaminya. Memahami apa yang Allah mahu!
  1. Ini juga salah satu mu’jizat yang diberikan Allah SWT kepada nabi Musa AS yang membuktikan kebenarannya dari sisi Allah SWT, seperti juga Nabi Isa yang mempunyai mu’jizat menghidupkan orang mati!
  1. Tanda-tanda kekuasaan Allah SWT ialah Dia telah menyebut 5 kali dalam surah Al-Baqarah ini tentang menghidupkan semula sesuatu yang telah mati:
    i- Ayat 56- {Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.}

    ii- Ayat 73- {Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu” (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup).}

    iii- Kisah orang kampung yang lari tidak mahu mati dalam Ayat 243: {Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:” Matilah kamu ” kemudian Allah menghidupkan mereka.}

    iv- Kisah Uzair dalam ayat 259- {Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.}

    v- Kisah nabi Ibrahim AS dalam Ayat 260- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}
  1. Semua ini untuk menunjukkan kekuasaan Allah SWT untuk menghidupkan balik manusia atau haiwan yang telah mati!

AYAT 74- {KEMUDIAN SESUDAH ITU, HATI KAMU JUGA MENJADI KERAS SEPERTI BATU, BAHKAN LEBIH KERAS LAGI. PADAHAL DI ANTARA BATU-BATU ITU ADA YANG TERPANCAR DAN MENGALIR AIR SUNGAI DARIPADANYA; DAN ADA PULA DI ANTARANYA YANG PECAH-PECAH TERBELAH LALU KELUAR MATA AIR DARIPADANYA; DAN ADA JUGA DI ANTARANYA YANG JATUH KE BAWAH KERANA TAKUT KEPADA ALLAH; SEDANG ALLAH TIDAK SEKALI-KALI LALAI DARIPADA APA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-BAQARAH 2:74)

  1. Wahai bani Israel! Kamu sudah lihat kekuasaan Allah menghidupkan orang mati; sepatutnya hati kamu lembut & terkesan dengan kuasa Allah lalu bertambah beriman!
  1. Tetapi sebaliknya berlaku walaupun melihat semua tanda kekuasaan Allah, hati mereka menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Amat malang & rugi sekali.
  1. Allah juga nyatakan bahawa padahal ada:
    i- Antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya;

    ii- Dan ada pula diantaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya;

    iii- Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah.
    Yakni batu lebih lembut daripada hati manusia yang keras & lebih takut kepada Allah!
    Hati manusia lebih keras daripada batu, keras membatu tidak takut & tidak dengar perintah Allah!
  1. Di akhir ayat Allah SWT berfirman mengingatkan bahawa Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
    Jika kamu buat baik maka pahala baginya, jika buat jahat maka terimalah akibatnya!
    Jangan cari penyakit tapi carilah ubat jangan ikut keras kepala tak dengar kata!
  1. Kita hidup atas dunia ini ada perhitungan di akhirnya & ada kira-kira hisab di akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 67- {Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”.}-

    Sepatutnya apabila mendengar arahan & perintah Allah itu mereka ikutlah. Tetapi tidak, bani Israel bersoal jawab, berbalah dengan nabi Musa AS dan mempersoalkan kebenarannya.
    Mereka membantah dengan berkata : {Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?”}- dengan Nabi pun dia boleh kata sedemikian.

    Bani Israel keras kepala tidak beradab dengan Nabi mereka, sehingga Nabi Musa AS berkata: {Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.}
    Mereka terus bertanya lagi tentang lembu itu. Tiga soalan berturut-turut. Pertama tentang umur lembu, kemudian tentang warna lembu & kriteria lembu! Selepas itu mereka kata baru jelas jawapan nabi Musa!!!
    Jika mereka terus sembelih selesai masalah, tetapi mereka mengasak nabi Musa dengan pelbagai soalan remeh-temeh sehingga menyusahkan diri mereka sendiri akhirnya!

    Apabila Rasulullah SAW duji dengan karenah kaumnya, disakiti oleh Quraisy, Baginda bersabda: “Semoga Allah merahmati Nabi Musa; beliau disakiti lebih dari ini, dan dia tetap bersabar.” [Muttafaqun ‘Alaih].
    Inilah sifat yang perlu kita belajar dari para Nabi & Rasul pendakwah yang agung ini, sabar menghadapi karenah orang yang menentang & mengingkari!
    Nabi Musa juga kata dia bukanlah berperangai seperti orang yang jahil yang mempermainkan orang (prank).
  1. Sesiapa yang menyusahkan dirinya sendiri; Allah SWT akan susahkan dia!

    Sebagaimana yang berlaku ke atas bani Israel.
    Mereka datang bertanya, mengasak & mengata kepada Nabi Musa sehingga begitu susah pekerjaan mereka.
    Jika mereka tidak banyak tanya, terus saja sembelih lembu seperti arahan pertama selesailah pekerjaan mereka!
    Jika ada benda senang kenapa menyusahkan diri!

    Firman Allah SWT : {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.} (Al-Maaidah 5:101)

    Ini sewaktu perundangan iaitu sewaktu Rasulullah SAW masih ada.
    Hadis riwayat Saad Bin Abi Waqas RA: “Orang muslim yang paling besar dosanya ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu ia diharamkan kerana sebab pertanyaannya.” [HR Bukhari & Muslim].
    Kerana dia telah menyusahkan orang lain.

    Contoh realiti hari ini: Apabila berlaku berbezaan tarikh antara Makkah & Malaysia untuk puasa sunat seperti Hari Arafah dan lain-lain. Tanya juga tanya juga nak pilih hari mana untuk puasa, tanya ustaz itu ustaz ini akhirnya tak puasa satu hari pun!
  1. Ayat 67- {Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.}-

    Nabi Musa AS kata dia minta perlindungan dengan Allah SWT dari menjadi golongan yang jahil!
    Kita pun kena banyak minta doa, minta perlindungan & pergantungan kepada Allah daripada benda-benda yang buruk & yang tidak baik!
    Pergantungan kita hanya kepada Allah sahaja bukan kepada yang selain dari-Nya!
    Nabi Musa AS walaupun dia seorang rasul, seorang nabi yang Ulul-Azmi. Dia tetap minta perlindungan dengan Allah SWT dari menjadi orang yang tidak baik!

    Sekarang ini menjadi satu fenomena pula mengadakan hari Haul, iaitu hari memperingati hari ulangtahun kematian.
    Berkumpul dan berzikir di kubur wali mana yang mereka pilih & puja!
    Pihak berkuasa kena ambil perhatian & tindakan yang sepatutnya untuk menjaga keharmonian agama Islam dalam negara!

    Nabi Musa AS kata: Perangai perli orang (الاستهزاء), menyakat orang, bergurau bodoh seperti (prank atau April fool) adalah perangai & perbuatan orang yang jahil!
    Ini menunjukkan kebodohan & kekurangan akal!
    Realiti hari ini banyak video sebegini untuk content & rating!
  1. Ayat 73- {Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu”.}-

    Allah suruh pukul si mati dengan anggota lembu untuk menghhidupkannya semula.
    Kata ulama’ : Apabila kita baca kisah dalam Al-Quran, kita kena ambil intai, intipati kisah dari kisah, kenapa Allah cerita, sebagai amaran, peringatan & iktibar!

    Kata ulama’ tafsir : Jika benda yang boleh diperluaskan jika Allah buka maka luaslah ia.
    Al-Quran turun bukan seperti novel untuk dibaca suka-suka tetapi sebagai Ibrah.
    Tidak perlu bertanya atau mengorek mencari perkara yang tidak perlu & tiada faedah dari kisah-kisah dalam Al-Quran yang Allah & Rasulullah SAW sendiri tidak sebutnya!

    Contoh : Dalam kisah Ashabul-Kahfi. Tak perlu korek cari tahun bila berlaku, apa nama anjingnya dan lain-lain yang Allah tidak sebut!
    Yang pentingnya anjing itu disebut dalam Al-Quran kerana ia bersahabat dengan orang yang soleh!
    Yang Allah suruh carinya adalah tadabbur pengajaran dari Al-Quran ini bukan cari yang Allah tidak suruh cari dicarinya!
    Ambil iktibar dari apa yang disebut dalam ayat ini iaitu Allah SWT mampu & berkuasa menghidupkan semula orang yang telah mati dengan kuasa & izin-Nya!
  1. Ayat 74- {Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.}-

    Hati kamu keras! Keras sekali hati kamu! Sedemikian Allah tunjuk mukjizat kekuasaan-Nya tetapi tidak memberi kesan kepada hati!
    Apabila tengok kematian & pergi ke kubur sekalipun sepatutnya kita gerun & ingat kepada Tuhan, ingat kepada kematian kita sendiri pula!
    Allah SWT cela bani Israel ini kerana Allah telah beri nikmat yang banyak kepada mereka, beri dalil tanda-tanda kekuasaan-Nya tetapi tetap tidak memberi faedah!
    Allah buat bandingan ada benda-benda lain kaku seperti batu, kayu, bukit atau haiwan yang tidak berakal pun kenal Allah. Maka rugi besarlah kita manusia, makhluk yang diberi akal ini tidak kenal & nampak tanda kekuasaan Allah yang jelas di depan mata!
    Mudah-mudahan kisah lembu bani Israel ini memberi pengajaran yang besar kepada kita!

Powered by BetterDocs