Surah Al-Baqarah : Ayat 79-82

ANCAMAN KEPADA YAHUDI YANG MENGUBAH AYAT ALLAH, MEMUJI DIRI & SYIRIK MENGGUGURKAN AMALAN.

Full video : https://youtu.be/eE8WFfgVEXw?si=K_kg4CoBTKyJwzNc

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam tafsir surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
    Ayat yang kita akan bincangkan ialah ayat 79 sehingga ayat 82.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang ancaman dan amaran kepada pendeta yahudi yang mengubah isi kitab Taurat, mengubah ayat-ayat Allah.
  1. Kaum yahudi ini juga suka mensucikan diri mereka sendiri dengan memuji diri & menyangka bahawa mereka golongan terpilih yang disayangi Allah.
  1. Kemudian Allah bagi amaran : Sesiapa yang syirik maka akan gugurlah amalannya. Kekal di dalam neraka.
  1. Jika nak selamat jadilah orang yang beriman kepada Allah SWT & beramal soleh ikhlas kepada Allah!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 79- {KECELAKAAN BESAR BAGI ORANG-ORANG YANG MENULIS KITAB TAURAT DENGAN TANGAN MEREKA (LALU MENGUBAH KALAM ALLAH DENGAN REKAAN-REKAAN MEREKA), KEMUDIAN MEREKA BERKATA: “INI IALAH DARI SISI ALLAH”, SUPAYA MEREKA DENGAN PERBUATAN ITU DAPAT MEMBELI KEUNTUNGAN DUNIA YANG SEDIKIT. MAKA KECELAKAAN BESAR BAGI MEREKA DISEBABKAN APA YANG DITULIS OLEH TANGAN MEREKA, DAN KECELAKAAN BESAR BAGI MEREKA DARI APA YANG MEREKA USAHAKAN ITU.} (AL-BAQARAH 2:79)

  1. Allah kata kecelakaan besar {وَيْلٌۭ} bagi orang menulis Kitab Allah (Taurat) dengan tangan mereka kemudian mengubah isi kandungannnya! Ada ahli tafsir kata ia {وَيْلٌۭ} nama wadi lembah yang dahsyat di dalam neraka.
  1. Ia berbeza antara Taurat & Al-Quran. Al-Quran Allah jamin akan jaganya dari diubah.
    Tetapi Taurat tidak kerana itu ia menjadi permainan para pendeta yahudi yang ubah ikut nafsu mereka!
  1. Yakni kebinasaan besar & azab yang sangat dahsyat akan menimpa penyeru kesesatan dari kalangan yahudi yang kerjanya mengubah isi kitab Taurat.
  1. Mereka tulis benda-benda karut kemudian mendakwanya dari Allah!
    Untuk mereka mendapat habuan dunia yakni upah keuntungan dunia yang sedikit!
  1. Mereka mereka-reka persepsi & memutar-belit fakta untuk mendapat habuan & hasil dunia yang sedikit!
    Mereka tulis ayat-ayat itu dengan tangan mereka (hasil perbuatan) & kecelakaan besar bagi perbuatan mereka itu!
  1. Kita umat Nabi Muhammad SAW hari ini sama juga; tidak dapat ubah Al-Quran tetapi mereka ubah tafsir Al-Quran & berani mereka hadis paslu & sandarkannya kepada Rasulullah SAW!
    Ini adalah satu perbuatan yang amat bahaya & dikecam Allah!
  1. Para pendeta yahudi & penulis Kitab Taurat telah melakukan 3 jenayah besar:
    i- Meminda isi Kitab Taurat dengan meminda & mengubah sifat Nabi yang ada dalam kitab Taurat. Ini supaya orang tak kenal Baginda SAW!

    ii- Berdusta atas nama Allah dengan apa yang mereka tulis!

    iii- Ambil upah atas jenayah yang mereka lakukan kerana itulah Allah janjikan kepada mereka azab neraka Weil yang dahsyat!
  1. Kata AMM: Jika kaum yahudi ubah & seleweng kitab Taurat, umat Islam hari ini pula mereka-reka hadis palsu dan sandarkan ke atas Rasulullah SAW & memutar-belitkan tafsir Al-Quran mengikut hawa nafsu.
    Kita nak reka fesyen & kereta silalah, tetapi meraka ayat Al-Quran & hadis Rasulullah SAW tidak sama sekali!
  1. Sebab azab kecelakaan atas mereka ini adalah kerana:
    i- Memutar belit tulisan Taurat.

    ii- Makan haram dari hasil kerja-kerja pembohongan itu. Habuan haram!

AYAT 80- {DAN MEREKA BERKATA: “KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN DISENTUH OLEH API NERAKA KECUALI BEBERAPA HARI YANG TERTENTU”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “ADAKAH KAMU SUDAH MENDAPAT JANJI DARI ALLAH SUPAYA (DENGAN ITU) ALLAH TIDAK AKAN MENYALAHI JANJINYA, ATAU HANYA KAMU MENGATAKAN ATAS NAMA ALLAH SESUATU YANG TIDAK KAMU MENGETAHUINYA?”} (AL-BAQARAH 2:80)

  1. Kaum yahudi ini juga suka gilap body, menyangka mereka kaum yang terpilih & disayangi Allah.
  1. Mereka mengatakan jika mereka masuk neraka pun hanya sekejap, sekadar seharu dua saja, selepas mereka keluar orang Islam yang akan ganti mereka!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Setelah Allah nyatakan bahawa yahudi telah ubah perjalanan Taurat & Allah SWT nyatakan sebab mereka lakukan jenayah itu kerana nak habuan dunia sehingga sanggup ubah ayat Allah. Ini jenayah pertama.

    ii- Maka dalam ayat ini mereka bersihkan diri, kononnya mereka kaum yang benar tiada salah apa & disayangi Allah.
    Jika masuk neraka pun hanya sekejap!
    Ini jenayah yang kedua.
  1. Hadis- riwayat dari Abu Hurairah RA, dia menceritakan:

    Ketika Khaibar berhasil dibuka (dikalahkan), dihadiahkan kepada Rasulullah SAW kambing yang diracuni, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kumpulkanlah oleh kamu di hadapanku semua orang Yahudi yang ada di tempat ini.” Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Siapakah nama bapa kamu?” Mereka menjawab, “Si Anu.” Nabi SAW bersabda, “Kamu dusta, bapa kamu adalah si Fulan.”
    Mereka menjawab, “Engkau benar dan sesuai dengan kenyataan.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Apakah kamu akan berkata sejujurnya kepadaku jika aku tanyakan kepada kamu tentang sesuatu hal?” Mereka menjawab, “Ya, wahai Abu Al-Qasim dan jika kami dusta kepadamu, nescaya kamu akan mengetahui dusta kami sebagaimana kamu mengetahuinya pada nenek moyang kami.” Maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Siapakah penghuni neraka itu?” Mereka menjawab, “Kami akan berada di dalamnya dalam masa yang sebentar, kemudian kamu menggantikan kami menjadi penghuninya.” Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Hinalah kamu. Demi Allah, kami tidak akan menggantikan kamu di dalamnya untuk selama-lamanya.” Kemudian Baginda SAW bersabda kepada mereka, “Apakah kamu akan berkata sejujurnya kepadaku jika kutanyakan kepada kamu tentang sesuatu hal?” Mereka menjawab, “Ya, wahai Abu Al-Qasim.” Baginda bertanya “Apakah kamu memasukkan racun ke dalam (daging) kambing ini?” Mereka menjawab, “Ya.” Nabi SAW bertanya, “Apakah yang mendorong kamu berbuat demikian?” Mereka menjawab, “Kami bermaksud jika engkau berdusta, maka kami akan bebas darimu dan jika engkau benar seorang nabi, nescaya racun itu tidak akan membahayakan dirimu.”
    [HR Bukhari].

    Yakni yahudi mengaku bahawa mereka hanya akan masuk neraka sekejap sahaja kemudian orang Islam akan ganti mereka!
  1. Allah SWT suruh Rasulullah SAW bertanya kepada mereka:
    i- Apakah mereka sudah ada perjanjian dengan Tuhan yang mereka disayangi & hanya akan masuk neraka sekejap saja itu?

    ii- Atau mereka hanya buat undang-undang sendiri dan sandarkannya kepada Allah!
    Mencipta kata-kata & undang-undang sendiri kemudian sandarkannya kepada Allah!
    Ini adalah satu jenayah dalam agama & satu percakapan kosong lagi dusta!

AYAT 81- {(APA YANG KAMU KATAKAN ITU TIDAKLAH BENAR), SESUNGGUHNYA SESIAPA YANG BERBUAT KEJAHATAN DAN IA DILIPUTI (DITENGGELAMKAN) OLEH KESALAHANNYA ITU, MAKA MEREKALAH AHLI NERAKA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-BAQARAH 2:81)

  1. Allah nafikan dengan kerasnya dakwaan mereka itu!
    Bahkan menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat kejahatan pasti mereka akan menjadi ahli neraka yang akan kekal di dalamnya!
  1. Munasabah dengan ayat sebelum:
    i- Apabila yahudi kata bahawa mereka tidak akan masuk neraka kecuali beberapa hari;

    ii- Allah SWT balas dan nafikan terus dakwaan mereka yang batil itu. Allah kata itu adalah satu pembohongan! Apa yang mereka sangkakan itu tidak benar!
  1. Bahkan sesiapa yang kafir & syirik, akan gugur amalannya & akan mendapat balasan neraka, kekla di dalamnya tiada siapa dapat menyelamatkannya!
  1. Firman Allah SWT : {(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.} (An-Nisaa’ 4:123)
  1. Mereka telah tenggelam dalam angan-angan & sangkaan batil mereka, hati mereka hitam diselaputi dosa-dosa maka ia akan menjadi hitam, tidak akan tembus lagi cahaya iman dan akan mati sebelum bertaubat!
  1. Maka akibat kekufuran & kesyirikan itu, mereka akan menjadi ahli neraka yang akan kekal di dalamnya! { هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ}

AYAT 82- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH, MEREKALAH AHLI SYURGA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-BAQARAH 2:82)

  1. Selepas cerita tentang golongan ahli neraka, Allah bawa pula kisah golongan yang sebaliknya, inilah uslub Al-Quran; disebut yang jahat kemudian akan disebut yang baik pula.
  1. Iaitu orang yang beriman kepada Allah yang membenarkan dengan hati, ikrar dengan lidah & membenarkan dengan anggotanya tentang Allah SWT serta beramal soleh!
  1. Syarat amalan itu menjadi soleh & diterima (qabul):
    i- Buat ikhlas kerana Allah SWT.

    ii- Ikut/bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW.
    Kita lihat hari ini betapa ramai para imam & pendakwah yang berdoa agar menjadikan mereka orang yang ikut Nabi SAW tetapi amalan mereka sebaliknya, berbeza dengan apa yang Rasulullah SAW ajar & buat!
  1. Mereka inilah ahli syurga yang akan kekal abadi di dalamnya selama-lamanya! { هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُون}
    Ya Allah jadikanlah kami di kalangan mereka yang beriman, beramal soleh yang akan kekal di dalam syurga & bebas dari neraka!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 79- {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.}-

    Dalam ayat ini tiga kali Allah SWT menyebut perkataan wail kecelakaan {وَيْلٌۭ}.

    Tentang makna {وَيْلٌۭ} ini:
    i- Kata Syeikh Syanqiti RHM : Ia adalah satu wadi (Lembah) di dalam neraka yang sangat panas. Neraka pun minta berlindung daripadanya!
    Persoalan 1: Kata ulama’ lughah: Kenapa Allah SWT guna jumlah ismiyah (جملة اسمية) iaitu kata nama di depan bukan perbuatan; untuk ayat ini { فَوَيْلٌ}?
    Jawapan: Untuk menunjukkan bahawa hukuman ini kekal ke atas orang yang syirik & kufur kepada Allah SWT!

    Persoalan 2: Perkataan {وَيْلٌۭ} ini juga digunakan dengan kata nama umum (نكرة) bukan nama khas iaitu tanpa (ال). Kenapa?
    Jawapannya kata ulama’: Untuk membesarkan betapa dahsyatnya wadi ini & menakutkan kita akannya.

    Kenapa Allah ulang tiga kali? Apa faedahnya?
    i- Celaka bagi orang yang menulis

    ii- Celaka bagi orang yang menggunakan kedudukannya untuk meraih

    iii- Celaka bagi orang yang mengambil harta yang haram!
    Jawapan : Allah ulang tiga kali dalam usaha yang mereka buat kerana setiap satu perbuatan itu adalah satu dosa yang berlainan, tiga kategori jenayah yang berasingan. Menunjukkan satu dosa yang besar & celaka bagi orang yang melakukan setiap satu dosa ini!
    Kita ingat! jangan tengok yahudi saja, tengok kepada kita sekarang juga apakah kita tafsir Al-Quran ikut otaknya atau ada orang yang mengambil hadis-hadis Rasulullah SAW ikut nafsunya atau reka terus hadis untuk kepentingannya!
    Maka semua ini adalah satu kecelakaan besar {وَيْلٌۭ}!
    Dalam ayat yang sama ada tiga pecahan, tiga kali kecelakaan untuk tiga perbuatan dosa!
    Ini kerana dosa setiap perbuatan itu berlainan:
    i- Dosa tulis & ubah kitab Taurat- {يَكْتُبُونَ }.

    ii- Dosa jual ayat Allah- { لِيَشْتَرُوا۟}.

    iii- Dosa ambil atau terima bayaran { يَكْسِبُونَ} dengan sebab itu satu dosa pula!
  1. Ayat 79- {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.}-

    Kebinasaan & azab dosa yang besar bagi mereka yang mengubah ayat kitab Taurat.
    Dengan tangan mereka, mereka telah mengubah sifat-sifat Rasulullah SAW yang ada dalam Taurat.
    Mereka juga ambil rasuah atas kepentingan agama.
    Kerja rasuah ini memang kerja yahudi, mereka buatnya atas nama kepentingan agama!
    Yahudi inilah pelopor utama bagi golongan penunggang agama. Kemudian mereka ajar pula kepada orang Islam agar tukar tafsir atau kefahaman terhadap ayat-ayat Allah atau hadis-hadis Nabi SAW yang sahih.
  1. Ayat 80- {Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”.}-

    Ini adalah satu sangkaan buruk & batil kaum yahudi.
    Mereka menyangka mereka tidak akan masuk lama dalam neraka- jangkaan mereka paling lama hanya 40 hari, ini kerana mereka telah menyembah lembu Samiri selama 40 hari!
    Ada juga yang sangka hanya tujuh hari kerana umur dunia ini mengikut yahudi adalah 700 ribu tahun.
    Ada juga hadis palsu kata umur dunia 500 ribu tahun.
    Datang orang putih pula mereka kata Kiamat akan berlaku pada tahun 2012!!
    Ini adalah putar belit puak yahudi & fahaman karut golongan sesat!
    Mereka juga sangka selepas mereka keluar itu, neraka akan kosong kemudian akan dimasukkan pula orang Islam bersama Rasulullah SAW sekali!
    Wal-‘iyazu billah!
  1. Ayat 80- {“Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”}-

    Allah suruh Rasulullah SAW tanya kepada yahudi itu.
    Allah ajar Rasulullah SAW untuk melawan dakwaan mereka itu dengan hujjah yang mantap!
    Ini adalah cara uslub untuk bermujadalah. Kita kena pegang point untuk menjatuhkan hujjah mereka yang batil itu!
    Jika tidak ada janji dari Allah maka tidak benarlah dakwaan & sangkaan itu!

    Ini kerana janji Allah itu ada dua sifat utamanya!
    i- Benar dalam perjanjian-Nya! Bila berjanji Allah akan tunaikan! (الصدق)

    ii- Berkuasa untuk melaksanakannya. (القدرة)
    Dunia hari ini huru-hara kerana ada manusia suka berjanji-janji sana janji sini, tetapi rupanya janji bohong atau palsu!
    Bila kita tahu dia bohong? Setelah beberapa lama mereka berjanji, Allah bagi peluang untuk kita kenal siapa mereka! Allah pun bagi peluang berkuasa bagi yang berjanji supaya mereka mampu melaksanakan janjinya! Jika mereka tidak tunaikanya juga maka terserlah sikap sebenarnya!
    Ingatlah jangan berani-berani, mudah-mudah, senang-senang berjanji kerana kita kena ada kemampuan untuk laksanakannya!
    Betapa bahayanya berjanji jika tidak ada kemampuan, kerana dia tidak akan dapat tunaikannya!
    Hati-hati dengan perjanjian yang dibuat kerana itu adalah satu ikatan (عهد) yang Allah letak atas kepala yang berjanji!
  1. Ayat 82- {Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.}-

    Allah sebut khas orang yang beriman & beramal soleh!
    Ayat ini menunjukkan bahawa beriman sahaja tidak mencukupi untuk ke syurga!
    Sama juga beramal soleh tetapi tidak beriman tiada gunanya juga.
    Amal soleh itu syaratnya sebagaimana yang kita sering ulang hendaklah Ikhlas kerana Allah SWT & betepatan dengan ajaran Nabi SAW yang sahih.

    Ayat ini untuk menolak perbuatan kaum munafiq.
    Mereka ini, munafiq sifatnya:
    i- Mengaku tetapi tidak buat. Mengaku beriman tetapi tidak percaya dalam hatinya atau Ikhlas.

    ii- Buat tetapi tidak mengaku! Seperti ibadat solat mereka buat tetapi tidak mengakui kebenarannya.
    Maka jika nak selamat kita beriman percaya dengan hati & beramal dengan anggota! Itulah mukmin yang beriman & beramal!

    Semoga kita semua termasuk dalam golongan mukmin yang beriman & beramal soleh. Seiring serentak, yang mengikut Sunnah Nabi SAW setakat yang mampu!

Semoga bermanfaat!

Powered by BetterDocs