Surah Ali-‘Imran : Ayat 10-11

HARTA DAN KELUARGA TIDAK MELINDUNGI SI KAFIR, CONTOHNYA FIR’AUN DIBINASAKAN OLEH ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/REJjJ6v565o?si=oyOky-v3AccSD-dX

MUQADDIMAH SURAH:

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 10 sehingga 11. Surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menegaskan bahawa manusia berhajat kepada Allah. Harta dan keluarga tidak melindungi tidak memberi manfaat kepada si kafir, dunia & Akhirat jika dia tidak beriman dengan Allah SWT.
  1. Jika dia beriman, anak-anak yang beriman dan harta yang beriman (harta dari sumber yang halal lalu digunakan untuk cara yang halal pula maka harta itu dapat memberi manfaat kepada tuannya dunia Akhirat.
  1. Allah bawa analogi contohnya Fir’aun dan kuncu-kuncunya yang angkuh sombong dibinasakan oleh Allah SWT dengan tenggelam dalam Laut Qalzum.
    Sehingga sekarang mayat Firaun tidak masuk kubur lagi, diusung ke situ sini; menjadi tontonan, bahan kajian bagi sesama kafir & memberi ibrah pengajaran bagi orang yang beriman.
  1. Munasabah ayat:
    a- Dalam ayat yang lepas:
    i- Allah telah menyebut tentang hari Kiamat, dan pasti akan berlakunya hari perhimpunan manusia selepas mati & akan terserlah pada hari itu bukti keagungan Allah SWT kepada semua makhluk.
    Semasa dunia dulu kita orang beriman sudah nampak tetapi orang kafir tak nampak & tidak mengakui keagungan Allah.
    Pada hari itu akan dihisab orang kafir atas segala peganngan & iktiqadnya dan Allah SWT akan ambil tindakan ke atas orang kafir

    ii- Dalam ayat yang lepas juga Allah SWT panggil orang beriman agar beriman kepada Allah SWT dalam semua perkara.
    Dalam isu ayat muhkamat ataupun ayat mustasyabihah, orang yang beriman semuanya akur, patuh taat kepada perintah Allah SWT. Apa yang mereka faham mereka amal, yang mereka tak faham mereka tetap beriman.

    iii- Kemudian orang mukmin juga berdoa kepada Allah SWT agar tetap teguh hati mereka atas iman & hidayah, sentiasa mendapat rahmat Allah & kebertuahan kemenangan pada hari Kiamat.

    b- Maka dalam ayat ini:
    Allah SWT bawa pula tentang perangai atau nasib orang kafir yang akan kecewa, frust (menungeng nyior) harta & keluarga mereka tiada memberi manfaat & faedah.
    Allah juga bawa ikon keangkuhan yang mendapat azab dan binasa semasa di dunia lagi iaitu mendiang Firaun yang sehingga ke hari ini tidak masuk ke dalam kubur; menjadi ibrah pengajaran bagi manusia selepasnya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 10- {{SEBENARNYA HARTA BENDA ORANG-ORANG KAFIR, DAN JUGA ANAK-PINAK MEREKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENYELAMATKAN MEREKA DARI (AZAB SEKSA) ALLAH SEDIKIT JUAPUN; DAN MEREKA ITULAH BAHAN BAKARAN API NERAKA.} (ALI-‘IMRAN 3:10)

  1. Sesungguhnya orang kafir ingkar terhadap Allah & ayat-ayat-Nya.
    Mereka mendustakan rasul-rasul Allah & ingkari agama Allah; maka harta benda & anak pinak mereka tidak akan dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah di Akhirat kelak.
  1. Kata Syeikh Muhammad Amin Asy-Syanqiti RHM dalam Kitabnya (Adhwa’ul Bayan) : Dalam ayat ini Allah tidak nyatakan apakah sebab yang membuatkan mereka ingkari Allah itu; tetapi Allah terus bawa keputusan menyatakan tentang harta benda & keluarga yang tidak memberi faedah kepada orang kafir & mereka akan mendapat azab Allah
  1. Tetapi Allah SWT sebut dalam ayat lain tentang dakwaan mereka yang mengatakan mereka tidak akan diazab kerana mereka ramai anak & banyak harta, pengikut ramai sebagaimana dalam firman-Nya ini:
    i- {Dan mereka berkata lagi: “Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa”.} (Saba’ 34:35)

    ii- {Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: “Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?”} (Maryam 19:77)
    Mereka menyangka itu semua iaitu kekayan, ramai anak keturunan, kedudukan pangkat yang tinggi, ramai pengikut dan seumpamanya menunjukan Tuhan sayang kepada mereka!
  1. Yakni mereka sudah bercakap besar dan sombong!
    Lalu Allah bawa datang ayat ini untuk menyangkal sangkaan dan dakwaan buruk mereka itu!
    Harta benda dan anak cucu tidak dapat memberi manfaat!
  1. Kita orang beriman pun jangan menyangka harta kita yang banyak ini juga akan boleh memberi manfaat jika kita tidak gunakan sebaiknya. Belum tentu harta kita akan menjadi milik kita selamanya!
  1. Harta kita hanya menjadi milik kata dalam tiga keadaan:
    i- Apa yang telah kita makan dan lupus;

    ii- Apa yang kita pakai dan telah lusuh,

    iii- Apa yang kita sedekah & nafkahkan fi-sabilillah atas dunia ini. Manakala yang bakinya akan menjadi milik orang lain yang kita tinggalkan.
  1. Yakni harta akan menjadi milik kita yang dapat memberi faedah & manfaat kepada kita di Akhirat kelak jika kita infaqnya fi-sabilillah. Sahutlah seruan kempen hartaku milikku jua di Akhirat kelak!
  1. Allah nyatakan mereka itulah bahan bakaran api neraka. Yakni puak kafir itu akan disiksa dibakar dengan api neraka serta dalam masa yang sama mereka juga menjadi kayu api atau bahan bakarannya!

AYAT 11- {(KEADAAN ORANG-ORANG KAFIR ITU) SAMA SEPERTI KEADAAN KAUM FIRAUN, DAN ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA; MEREKA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, LALU ALLAH MENYEKSA MEREKA DISEBABKAN DOSA-DOSA MEREKA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA BERAT AZAB SEKSANYA.} (ALI-‘IMRAN 3:11)

  1. Allah nyatakan keadaan orang kafir musyrikin Quraisy pada masa itu adalah seperti Firaun dan kaum sebelum mereka iaitu kaum Ad & Thamud, iaitu semua golongan ini mendustakan Allah SWT & ayat-ayatnya!
  1. Apakah perkara yang menimpa Firaun ini? Iaitu kedaan Firaun sebelum dia tenggelam dia telah mendustakan Nabi Musa AS walaupun setelah dibawa 9 mukjizat kepada mereka; tetapi mereka tetap kufur ingkar kepada Nabi Musa AS. Begitu juga kaum nabi Nuh, Ad dan Thamud menerima azab Allah.
  1. Puak kafir Quraisy ini pun berbagai mukjizat telah Allah berikan kepada Rasulullah SAW seperti air keluar dari tangan Baginda yang mulia, makanan menjadi banyak dan lain-lain; tetapi begitulah yang kafir tetap kufur, yang degil keras kepala tetap ingkar & mendustakan!
  1. Kata Ibnu Asyur RHM : Tujuan Allah SWT bawa perbandingan ini untuk menjadi ibrah & pengajaran bagi orang yang datang kemudian. Jika mereka buat kajian & analisa akan sebab kebinasaan orang terdahulu mereka akan dapati sebabnya tidak banyak.

    Iaitu:
    i- Pertama kufur terhadap Allah Azza wa Jalla.

    ii- Menentang rasul-rasul yang diutuskan Allah kepada mereka.

    iii- Tidak percaya kepada mukjizat yang dibawa oleh para rasul.
  1. Maka cukuplah bagi kaum musyrikin Makkah sebagai peringatan dan pengajaran.
    Sekiranya terus menerus degil dan keras kepala, mereka akan menerima nasib yang sama sebagaimana kaum terdahulu itu.
  1. Kata ahli fikir : Orang yang baik ialah orang yang menjadi contoh tauladan kepada orang lain; Manakala manusia yang celaka ialah yang menjadi bahan pengajaran kepada orang lain!
  1. Lalu Allah menyiksa dan membinasakan mereka dengan sebab-sebab dosa yang mereka lakukan!
  1. Allah menyiksa mereka yang keras kepala atas dosa-dosa mereka, siksaan Allah amat berat, akan binasa.
  1. Allah ingatkan bahawa azab siksa-Nya amat berat, dahsyat & pedih sekali! {وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ} dan sekali-kali tidak boleh lari.
    Begitulah nasib mereka yang angkuh, tiada guna kekayaan jika tidak dapat melepaskan kita dari azab Allah.
  1. Maka ingatlah jemaah semua apa guna harta yang banyak dan anak yang ramai jika tidak dapat menyelamatkan kita daripada azab Allah! Kita juga kempen agar harta kita menjadi milik kita!

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 10- {{Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun}-

    Orang kafir harta benda, keluarga, anak pinak, semua tidak akan memberi faedah kepada mereka di Akhirat kelak!
    Kerana itu kita kena sedar & insaf jangan duduk berbangga diri dengan kedudukan yang tinggi & ramai follower jika tidak beriman kepada Allah & ikut perintah Allah, tidak beramal, harta kita tidak akan menjadi milik kita; maka kerugianlah kita di dunia & Akhirat.
    Ayat ini juga menyatakan kekuasaan Allah SWT; harta benda & keluarga tidak memberi manfaat jika Allah SWT tidak menerima daripada mereka pertolongan!
    Jika kita nak suruh Allah terimanya, kita kena beriman & ikut perintah Allah; harta dan semua itu akan memberi manfaat yang besar kepada kita!
    Dalilnya hadis Rasulullah SAW ini.

    Kita kemukan dalil untuk menguatkan keyakinan kita kepada Allah SWT, untuk menguatkan cinta kita kepada Rasulullah SAW- bukan saja kita nak main-main dengan dalil!
    Dari Abi Huhrairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
    إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ؛ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
    Maksudnya: “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. [HR Muslim].

    Sedekah jariyah : Seperti waqaf dan infaq yang berterusan.
    Ia menafikan manfaat harta & anak-anak bagi orang yang kafir; tetapi jika kita beriman kepada Allah, anak cucu kita beriman & soleh, harta kita juga beriman dengan diinfaqkan pada tempatnya; maka semua itu akan memberi manfaat dan dapat menyelamatkan kita di Akhirat kelak!
    Maka kita imankan diri kita, anak cucu kita & harta kita juga dengan ambilnya dari sumber yang halal & infaqkannya juga pada jalan Allah yang halal!

    Isu dalam ayat ini lagi : Allah nyatakan dalam ayat ini harta & anak-anak tidak dapat memberi pertolongan!
    Ulama’ bawa persoalan kenapa dalam ayat ini disebut harta dulu baru disebut anak-anak?
    Jawapan: Ini kerana manusia itu lebih berbangga dengan mempunyai harta daripada anak.
    Mereka lebih suka ada harta yang banyak, kaya raya walaupun tidak punya anak!

    Pengajaran untuk kita :
    Kisah yang menyedihkan bagaimana seorang billionare yang mati meninggalkan berbillion harta tanpa ada pewaris yang dekat. Sehinggakan pihak berkuasa terpaksa mencari pewaris jauh-jauhnya, lalu jumpalah 3 orang. 3 waris itu setiap seorang mendapat 115 juta Saudi Riyal. Apabila selesai pembahagian tuan qadhi minta mereka infaqkan sedikit duit untuk diwaqafkan bagi pihak si mati (tuan harta) tetapi mereka menolak dan enggan bersedeqah dengan berbagai alasan. Bahkan salah seorangnya mengeluarkan perkataan yang amat menyentap hati: Jika si mati semasa hidupnya dulu tidak sedekah & wakafkan hartanya jadi kenapa pula kami nak berikannya???? Allahu Akbar!

    Kempen AAM :
    Harta kita biar menjadi milik kita di Akhirat kelak dengan sedekah & infaq kita semasa hidup lagi! Doakan juga agar pewaris kita adalah orang yang beriman yang ingat akan orang tua, ibu bapanya yang telah tiada dengan sentiasa mendoakan kita & bersedekah untuk kita.
  1. Ayat 10- {{Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun}-

    Ayat ini adalah amaran dari Allah SWT agar kita tidak terpedaya dan terpengaruh dengan harta yang banyak!
    Harta di dunia ini akan hilang dengan sekelip mata saja jika tak kena cara.
    Boleh hilang dengan ketamakan sendiri atau kerana hasad dengki sesamam manusia.
    Jangan terpedaya dengan harta, dengan pangkat kedudukan, dengan ramainya pengikut; semua itu kecil & tidak bernilai di sisi Allah SWT jika harta itu dari sumber yang haram, tidak digunakan di jalan yang betul & diredhai Allah serta anak-anak tidak dididik dengan tarbiyah Islam serta.
    Hakikatnya dahsyat sekali perpecahan dan perbalahan yang berlaku dalam keluarga sendiri akibat perebutan harta pusaka!
  1. Ayat 11- {(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka;}-

    Ulama’ mengatakan : Ayat ini menunjukkan bahawa kafir itu satu agama (millah) mereka, semuanya kufur kepada Allah, biar atas nama apa sekali pun! Kafir dahulu & kafir sekarang juga sama sahaja; semuanya mereka tidak percaya kepada Tuhan, akan diazab oleh Allah SWT tidak di dunia akan kena azab di Akhirat kelak! Maka ketetapan yang Allah tetapkan ke atas mereka ialah sama iaitu semuanya akan mendapat balasan buruk, azab siksaan yang dahsyat dari Allah SWT!
    Ingatlah azab Allah apabila diturunkan dalam satu kawasan ia tidak akan pilih orang, semuanya akan dilanyak semua sekali yang kafir atau yang Islam akan kena.
    Seperti bencana banjir yang menyerang setiap hujung tahun- terutamanya hari orang kafir merayakan hari Tuhan yang ada anak- semua penduduk kawasan itu akan kena!
  1. Ayat 11- {(mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka.}-

    Allah nyatakan bahawa Dia akan ambil tindakan atas orang kafir dengan sebab atas dosa mereka. Azab itu datang dengan bersebab.
    Maka kita cari sebab-sebab yang boleh menyelamatkan kita dari kemurkaan dan Azab Allah, bukan sebab yang mengundang azab!
  1. Ayat 11- {(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka;}-

    Kenapa Allah bawa contoh kisah Firaun dan kuncu-kuncunya bukan kisah orang lain Haman atau Namrud dan lain-lain?
    Jawapan:
    Ini kerana Firaun ini kisahnya dikenali & diketahui oleh ahli kitab, yahudi & nasrani pada masa itu. Kisahnya diambil dari Taurat.
    Sebagaimana kisah kaum Ad & Thamud masyhur di kalangan orang Arab & Quraisy.
    Mereka bukan setakat dengar cerita bahkan melihat dengan mata kepala sendiri apabila melalui kawasan tinggalan kaum yang dibinasakan ini dalam rehlah perdagangan musim panas & musim sejuk setiap tahun.
    Firaun juga seorang yang amat taghut, kejam, zalim & sombong angkuh!
    Kerana itu Allah jadikan Firaun sebagai tokoh atau ikon kekufuran & kejahatan yang amat utama!
    Kisah Firaun memberi pengajaran bahawa puak kafir akan diambil tindakan, akan diazab, tidak di dunia- akan kena di akhirat.

    Firaun telah mengngunakan pelbagai akta yang zalim dan dahsyat:
    i- Apabila dengar kelahiran seorang kanak-kanak yang akan menjatuhkan kerajaannya dia pun gubal undang-undang keluarkan akta untuk membunuh semua anak lelaki yang lahir selepas itu!
    Tetapi apa yang terjadi? Akhirnya dia sendiri yang menyelamatkan anak yang akan meruntuhkan kerajaannya, dia bawa masuk ke dalam istananya & bela sendiri anak itu iaitu Nabi Musa AS.

    ii- Apabila para ahli sihir mengakui kebenaran nabi Musa & beriman dengannya terus dia buat akta jatuhkan hukuman potong tangan & kaki mereka yang kufur kepadanya!
    Tetapi apakah jawab ahli sihir itu, buatlah apa yang kamu nak buat, kami rela dibunuh tetapi sekali-kali tidak akan kembali kafir kepada Allah, Tuhan Musa.
    Kuasa Allah tiada siapa yang dapat menentangnya!
    Jika Allah nak runtuhkan mana-maka Kerajaan, nak binasakan mana-mana kaum, nak jatuhkan mana-mana pemimpin; senang saja bagi Allah & bila-bila masa saja azab boleh diturunkan!
    Marilah kita orang yang beriman kembali kepada Allah, banyak bertaubat, banyak beristighfar, banyak muhasabah diri, banyak infaq dan banyak beribadat kepada Allah.
    Mudah-mudahan Allah sayang kepada kita, kita mati dalam husnul-khatimah, masuk dalam kubur ditemani ibadat kita, di Akhirat mendapat syafaat Rasulullah SAW lalu layak ke syurga Allah.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs