Surah Ali-‘Imran : Ayat 23-25

YAHUDI TOLAK HUKUM ISLAM, DAKWAAN KARUT MEREKA & SEMUA MENERIMA BALASAN.

Full video : https://youtu.be/GygJHqZDv1I?si=zh8ho3w1R7rv0dzL

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 23 sehingga 25, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang kejahatan yahudi yang tolak hukum Islam serta mendakwanya tiada dalam Taurat sedangkan mereka sembunyikannya!
  1. Kemudian Allah nyatakan dakwaan karut yahudi yang mengatakan mereka hanya akan masuk neraka sebentar sahaja iaitu buat beberapa hari kemudian orang Islam akan masuk ganti mereka buat selamanya!
  1. Semua manusia akan menerima balasan di Akhirat kelak hasil daripada perbuatan & amalannya di dunia ini! Apa benih yang ditabur di dunia ini; itulah hasil yang dipungut di Akhirat kelak!
  1. Jika kita nak tenang buatlah baik, beriman dengan Allah, beramal dengan amal yang soleh, insya’ Allah kita aman di dunia tenang di Akhirat.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah SWT nyatakan tentang puak yahudi yang keras kepala (عناد), dan Allah SWT ajar kepada Rasulullah SAW jika mereka mari nak berlawan nak berhujjah katakan kepada mereka: Aku orang Islam tak perlu kamu kacau & bawa hujjah yang batil.

    ii- Maka Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa kemuncak keras kepala mereka ialah apabila mereka dipanggil untuk membincangkan hukum-hakam berdasarkan Al-Quran & berdasarkan kitab Taurat yang asal; mereka tidak mahu, bahkan lari berpaling dengan ingkar!
  1. Mereka jadi begini (angkuh sombong & tolak Al-Quran) kerana mereka merasakan mereka lebih banyak ilmu & maklumat serta berbangga dengan ramainya para nabi di kalangan bani Israil.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 23-{TIDAKKAH ENGKAU PELIK MEMIKIRKAN (WAHAI MUHAMMAD) TERHADAP SIKAP ORANG-ORANG (YAHUDI) YANG TELAH DIBERIKAN SEBAHAGIAN DARI KITAB TAURAT, MEREKA DISERU KEPADA KITAB ALLAH SUPAYA KITAB ITU DIJADIKAN HAKIM (MENGENAI PERKARA-PERKARA YANG TIMBUL) DI ANTARA MEREKA. AHLI-AHLI SATU PUAK DARI MEREKA BERPALING INGKAR SAMBIL MENOLAK (SERUAN DAN HUKUM KITAB ALLAH ITU).} (ALI-‘IMRAN 3:23)

  1. Allah SWT bertanya kepada Rasulullah SAW apalah Baginda tidak pelik melihat kepada sikap sebahagian daripada kaum yahudi itu yang mereka ada kitab Taurat & bacanya, apabila diseru & diajak untuk beriman dengan beramal dengan Al-Quran mereka menolaknya juga!
  1. Tetapi apabila diajak untuk buka & baca Taurat mereka enggan. Yakni mereka bukan setakat tolak Al-Quran tetapi juga menolak dan menyembunyikan hukum yang ada dalam Taurat yang mereka tidak suka & tidak ada kepentingan bagi mereka!
  1. Sabab nuzul ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas, dia berkata, “Pada suatu hari Rasulullah masuk ke rumah Midras yang di dalamnya terdapat sekumpulan orang-orang Yahudi (yang belajar Taurat). Lalu Baginda mengajak mereka kepada Allah. Lalu (guru mereka) Nu’aim bin Amr dan al-Harits bin Zaid (yahudi) berkata, “Engkau sendiri beragama apa wahai Muhammad?’ Baginda SAW menjawab, ‘Agama Ibrahim.’ Mereka berkata, “Sesungguhnya Ibrahim beragama Yahudi.’ Maka Rasulullah bersabda kepada mereka, “Mari kita membaca Taurat kerana ia ada bersama kita waktu ini.’ Namun mereka tidak mahu melakukannya. Maka Allah menurunkan ayat ini dan ayat berikutnya (Ayat 23 & 24). [HR Ibnu Hatim dan lain-lain].
  1. Kisahnya pada zaman Rasulullah SAW ada di kalangan kaum yahudi yang berzina; tetapi mereka tidak mahu jalankan hukuman rejam sedangkan ia ada dalam kitab Taurat! Apabila Rasulullah SAW menyoalnya mereka cuba menyembunyikannya!
    Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RAnhuma, katanya:
    إِنَّ اليَهُودَ جَاءُوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، فَذَكَرُوا لَهُ أَنَّ رَجُلًا مِنْهُمْ وَامْرَأَةً زَنَيَا، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: مَا تَجِدُونَ فِي التَّوْرَاةِ فِي شَأْنِ الرَّجْمِ؟ فَقَالُوا: نَفْضَحُهُمْ وَيُجْلَدُونَ، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلاَمٍ: كَذَبْتُمْ إِنَّ فِيهَا الرَّجْمَ، فَأَتَوْا بِالتَّوْرَاةِ فَنَشَرُوهَا، فَوَضَعَ أَحَدُهُمْ يَدَهُ عَلَى آيَةِ الرَّجْمِ، فَقَرَأَ مَا قَبْلَهَا وَمَا بَعْدَهَا، فَقَالَ لَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلاَمٍ: ارْفَعْ يَدَكَ فَرَفَعَ يَدَهُ فَإِذَا فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ، قَالُوا: صَدَقَ يَا مُحَمَّدُ فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ، فَأَمَرَ بِهِمَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَرُجِمَا فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يَجْنَأُ عَلَى المَرْأَةِ، يَقِيهَا الحِجَارَةَ
    Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi datang kepada Rasulullah SAW, lalu mereka menceritakan kepada Baginda bahawa seorang lelaki dan seorang perempuan daripada mereka telah berzina. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka: ‘Apakah yang kamu dapati dalam kitab Taurat mengenai hukuman rejam?’ Mereka pun menjawab: ‘Kami memalukan mereka dan mereka disebat.’ Abdullah bin Salam berkata: ‘Kamu berdusta, sesungguhnya dalamnya (kitab Taurat itu) terdapat hukuman rejam.’Kemudian mereka datang dengan membawa kitab Taurat lalu membukanya. Salah seorang daripada mereka meletakkan tangannya di atas ayat (yang menyebut mengenai) hukuman rejam, lalu dia membaca bahagian yang sebelumnya dan bahagian yang selepasnya. Maka, Abdullah bin Salam berkata kepadanya: ‘Angkatlah tangan engkau.’Dia pun mengangkat tangannya, ternyata dalamnya ada ayat (yang menyebut mengenai) hukuman rejam. Mereka berkata: ‘Dia (yakni Abdullah bin Salam) benar, wahai Muhammad, dalamnya terdapat ayat (yang menyebut mengenai) hukuman rejam.’ Setelah itu, Rasulullah SAW memerintahkan kedua-duanya (agar direjam), lalu kedua-duanya direjam. Kemudian aku melihat si lelaki menelungkup ke atas si perempuan untuk melindunginya daripada (lemparan) batu.” [HR al-Bukhari (6841) dan Muslim (1699)].
  1. Puak yahudi ini bukan setakat tidak mahu jadikan Al-Quran sebagai Hakim (pemberi hukum) bahkan apa yang ada dalam kitab Taurat pun mereka sembunyikan.

AYAT 24-{YANG DEMIKIAN IALAH DISEBABKAN MEREKA (MENDAKWA DENGAN) BERKATA: “KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN DISENTUH OLEH API NERAKA MELAINKAN BEBERAPA HARI SAHAJA YANG BOLEH DIHITUNG”. MEREKA (SEBENARNYA) TELAH DIPERDAYAKAN DALAM AGAMA MEREKA, OLEH DAKWAAN-DAKWAAN DUSTA YANG MEREKA TELAH ADA-ADAKAN.} (ALI-‘IMRAN 3:24)

  1. Sebab pertama mereka berani ingkar tolak Al-Quran ini kerana mereka menyangka mereka tidak akan masuk neraka yakni disiksa sekejap sahaja iaitu selama beberapa hari saja!
  1. Rasulullah SAW bersabda kepada mereka dalam sebuah hadis dengan bertanya: “Siapakah penghuni neraka itu?” Mereka menjawab, “Kami akan berada di dalamnya dalam masa yang sebentar, kemudian kamu menggantikan kami menjadi penghuninya.”Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Hinalah kamu. Demi Allah, kami tidak akan menggantikan kamu di dalamnya untuk selama-lamanya.” [HR Muslim].
  1. Sebab kedua kerana boleh tetap di atas agama yang batil ini kerana mereka terpedaya dengan di’ayah-di’ayah yang dibuat oleh guru pendeta mereka, mereka anak Tuhan yang disayangi Allah dan lain-lain dakwaan batil lagi karut!
  1. Malangnya datang umat Islam ada juga yang ikut jejak yahudi ini dengan mereka-reka ibadat & hadis palsu! Lebih percaya apa yang dibawa & diajar oleh tok guru & syeikh yang mereka percayai & taksub daripada ajaran Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW!
  1. Manusia hari ini suka & mudah percaya kepada perkara pelik, aneh & tidak masuk akal. Orang mengaku nabi melayu; percaya!
    Orang mengaku Kerajaan langit; percaya!
    Orang mengaku boleh naik atas Arasy; percaya! Kerana itu ajaran sesat masih membiak dan ramai pengikutnya! الله المستعان

AYAT 25-{OLEH ITU, BAGAIMANA PULA (HAL KEADAAN MEREKA) KETIKA KAMI HIMPUNKAN MEREKA PADA HARI (KIAMAT), YANG TIDAK ADA SYAK PADANYA; DAN (PADA HARI ITU JUGA) DISEMPURNAKAN KEPADA TIAP-TIAP SEORANG, BALASAN APA YANG IA TELAH USAHAKAN, SEDANG MEREKA MASING-MASING TIDAK AKAN DIANIAYA.} (ALI-‘IMRAN 3:25)

  1. Inilah ayat amaran & janji siksa kepada orang yang tidak beriman & tidak ikut perintah Allah SWT! Semua akan bertemun dengan Allah & mendapat balasannya.
  1. Iaitu pada hari Kiamat kelak Allah akan bangkit & kumpulkan semua manusia. Kita orang beriman sudah tahu & yakin tentang hari Akhirat ini cuma tahap keyakinan itu sama ada mantap atau tidak!
    Jika tahap keyakinannya tinggi maka kuat & eloklah persiapannya!
    Jika signal imannya lemah, maka lemahlah juga persediaan bekalan Akhirat kelaknya.
  1. Apa yang kita buat di dunia ini jika beriman & buat amalan soleh itulah yang akan kita tuai di Akhirat kelak!
    Jika sebaliknya maka terimalah padahnya! والعياذ بالله
  1. Kata ahli motivasi iman : Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat kelak kitalah penulisnya! Kamu nak baca yang baik di hadapan Allah buatlah baik; nak baca yang yang buruk buatlah jika tak takut akan azab Allah!
  1. Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya; setiap orang akan mendapat balasan setimpal & sepadan dengan apa yang dilakukannya:
    i- Jika Orang yang jahat, dosannya tidak akan berkurang atau bertambah!

    ii- Orang beriman yang baik pahalanya juga tidak akan kurang; tetapi aklan digandakan Allah SWT mengikut gandaan pahala yang begitu banyak, ada yang ganda 7, ada ganda 10, 100 bahkan ada yang unlimited gamdaan pahalanya- ikut kehendak Allah.
  1. Beberapa firman Allah SWT dalam ayat Al-Quran yang menunjukkan Dia tidak zalim terhadap hamba-Nya:
    i- {Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)

    ii- {Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.} (Fussilat 41:46)

    iii- {Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya.} (Taha 20:112) |
  1. Dalam sebuah hadis Qudsi yang panjang: Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman:
    “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikan kezaliman itu haram juga di antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi. [HR Imam Muslim].
    Cukuplah dengan dalil-dalil ayat Al-Quran & hadis Nabi SAW sebagai hujjah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 23-{Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat,}-

    Yakni mereka ada kitab tetapi sembunyi fakta, selewengkan maklumat.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini dalil bahawa betapa ramai manusia yang diberi ilmu & maklumat pengetahuan tetapi malang nasibnya Allah tidak beri mereka taufiq untuk beramal dengan ilmunya itu!
    Sebagaimana ahli kitab yahudi yang diberi ilmu melalui Taurat & nasrani yang diberi ilmu melalui Injil, tetapi mereka tidak beramal manfaatkan ilmu itu bahkan menyembunyikan pula kerana tidak mahu mengakui Kenabian Rasulullah SAW & tolak Islam!
    Dalam Taurat & Injil sudah ada keterangan & sifat-sifat Rasulullah SAW tetapi mereka sembunyikan!
    Sama seperti manusia hari ini yang pakar dalam bidang tertentu (agama), contoh professor dalam bidang Tasauf dan lain-lain: tetapi perangai mereka tidak melambangkan title mereka itu!
    Ibrah dari pengajaran ayat ini ialah peringatan untuk kita juga; ramai orang yang baik-baik asalnya tetapi apabila terlibat dengan industry bisness akan berubah sikap dan cara percakapannya!
    Sebelum masuk bisness- ayatnya hanya cari & beri pendapat; tetapi apabila masuk bisness pendapatan pula yang dicari!
    Apatah lagi yang masuk politik bertambah lain macam & berubah rentaknya- jangan sentap & marah; ini adalah realiti hakikat kehidupan manusia!
    Jadi apabila kita jumpa ilmu yang benar dari Al-Quran & hadis Rasulullah SAW, kita amalkan terus, jika tidak rugilah kita di Akhirat kelak!
    Ingatlah kepada hari Kiamat di mana Allah akan dedahkan segala rahsia kita!
  1. Ayat 23-{mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).}-

    Ayat ini amaran keras kepada sesiapa saja yang diajak kembali kepada kitab Allah, kepada ajaran Nabi SAW kena akurlah, jangan sekali-kali berpaling ingkar menolak seruan Allah ini!
    Sunnah Nabi SAW pula ada yang boleh beredar ikut zaman seperti kenderaan; jika zaman Nabi SAW naik unta, zaman kita ini pastilah kereta motor dan lain-lain kenderaan yang berenjin.
    Dulu zaman Nabi tak ada kapal terbang tak bererti kita tak boleh naik!
    Dalam kehidupan & teknologi dan lain-lain urusan dunia boleh direka dan berubah megikut keperluan hidup & kesesuaian zaman! Yang pentingnya guna duit & harta yang halal! Yang yang tak bolehnya reka & ubah ibadat, yang tiada dalam Al-Quran & ajaran Rasulullah SAW!
    Kenapa begitu sekali lemahnya iman kita- terus sempit dada & sakit hati apabila mendengar ajakan untuk kembali kepada ajaran Nabi SAW!
    Sepatutnya orang beriman apabila mendengar dari Allah SWT, terus dengan sepenuh hati, sepenuh keyakinan kita buat nak ikut apa yang dibawa oleh Nabi SAW, bukan mencari yang lain pula!
    Apabila ada usaha untuk memartabatkan undang-undang Islam di dalam negara kita ini untuk menggantikan undang-undang gubalan orang bukan Islam; yang sedihnya anak orang Islam sendiri yang membantah & menolaknya sehingga terbatal & tertolak semua yang diusahakan oleh orang yang mahu kembali kepada Islam!
  1. Ayat 23-{mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka.}-

    Allah sebut untuk panggil mereka agar mereka kembali kepada kitab Allah dan supaya ia (kitab) menjadi hakim (yang memebri hukum) antara mereka!
    Ayat ini menjadi dalil bahawa hukum peraturan dalam Al-Quran amat sempurna & merangkumi semua perkara!
    Bermula daripada aqidah ibadat, akhlak & muamalat!
    Semua sekali bukan hanya hukum hudud atau nikah kahwin saja!
    Ia juga menolak fahaman sekular yang mengatakan agama ini hanya untuk ritual ibadat sahaja.
    Bab muamalat, pentadbiran dan lain-lain bab duniawi serahkan kepada mereka si sekular, ikut undang-undang sekular & yang digubal oleh manusia kafir lagi!
    Inilah pemisah hukum yang dahsyat yang telah dibuat oleh penjajah dalam negara umat Islam dan didokong didakap oleh anak-anak umat Islam sehingga ke saat ini!
    Apabila bercakap bab undang-undang tidak boleh sentuh dan usik perlembagaan negara yang tertinggi bagi mereka- bahkan lebih tinggi daripada dustur Al-Quran & Sunnah Nabi SAW!
    Selagi kita berani berkata demikian kita berisiko besar apabila kemabli bertemu dengan Allah SWT nanti!
    Kerana itulah yang lemah hanya ambil bab ibadat, akad nikah, haidh nifas saja! Yang lain kita mabil & dokong rang undang-undang ciptaan manusia yang tidak beriman kepada Allah!
  1. Ayat 24-{Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.}-

    Allah berkata: mereka hanya berkata { قَالُوا۟} yakni ini menunjukkan bahawa segala dakwaan mereka itu hanya dakwaan dengan perkataan semata-mata!
    Semata-mata rekaan pendeta & ahli ibadat mereka juga pelopor ajaran sesat hari ini!
    Ajaran & kepercayaan mereka itu hanya dakwaan dengan kata-kata saja, tiada dalil- tiada pegangan dari kitab atau hadis.
    Ayat ini juga dalil menunjukkan bahawa puak yahudi itu tahu dan percaya ada hari Kiamat & ada syurga ada neraka!
    Tetapi malangnya sekadar tahu saja tidak akaur kepada perintah Allah tidak memberi faedah & kesan kepada jiwa msn!
    Sekadar tahu saja tidak dikira beriman!
    Sebagaimana orang kafir yang tidak beriman tetapi buat kebaikan- tidak ada pahala baginya, sia-sia di Akhirat kelak kerana dia tidak akaun iman!
    Manusia yang berangan tetapi tidak berpijak di bumi nyata, tanpa usaha & amal akan sia-sia; seperti yahudi yang berangan bahawa mereka akan masuk neraka hanya seketika!
    Kita orang Islam tidak mahu masuk neraka atau disentuh api walaupun hanya sekejap bahkan kita sentiasa berdoa: اللَّهُمَّ أجِرْنا مِنَ النَّارِ – Ya Allah selamatkan kami dari neraka.
    Otak penjajah : Al-Quran hanya untuk musabaqah saja & dibaca untuk orang mati! Orang hidup baca saja jangan amal!
  1. Ayat 24-{Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam agama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.}-

    Mereka ini telah terperdaya dengan janji-janji & di’ayah yang dibuat oleh pendeta, rahib-rahib & guru ajaran sesat mereka!
    Ayat ini amaran kepada orang yang mudah terpedaya dengan dakyah dan dakwaan para pendeta, tok guru & syeikh ajaran sesat mereka!
    Ini menunjukkan mereka cetek pemikiran, mudah terpengaruh dan tidak ada ilmu yang dapat menapis dan menepis apa yang batil!
    Asal orang kata terima semua!
    Cetek pemikiran tidak soal & tanya dari mana sumber ajaran yang dibawa ini!

    Ini kerana mereka telah didoktrin : murid amat taksub kepada guru sehingga peringkat tak boleh tegur tak boleh tanya; ikut saja pa yang dia buat!
    Murid dengan guru ajaran yang tak benar adalah seperti mayat dengan tukang pemandinya- serah saja apa mahu buatnya!
    Terpedaya mereka dengan janji-janji yang dibuat!
    Maka kita pun ingatlah jangan terpedaya dengan janji-janji & ajaran yang tidak berpaksi kepada dalil daripada Al-Quran & Sunnah Nabi SAW!
    Ingatlah semua amalan kita di dunia akan di perhitungkan di akhirat kelak yang baik atau buruknya!
    Maka ikutlah Al-Quran apa yang Nabi ajar kita agar selamat dunia akhirat.
    Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir bagi siri hari ini semoga kita tidak mudah terpedaya dan tetap teguh di atas ajaran yang benar & mendapat petunjuk Allah Azza wa Jalla!

Wallahu A’lam.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs