Surah An-Nisa’ : Ayat 32-33

LARANGAN HASAD, SETIAP ORANG ADA REZEKINYA & SEMUA WARIS ADA BAHAGIANNYA.

Full video : https://youtu.be/VBWy_GJKDEw?si=H9fI14RCZWpp5TJJ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 32 sehingga 33 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang larangan hasad iaitu dengki akan kesenangan & nikmat orang lain serta berharap agar hilang nikmat itu darinya.
  1. Allah nyatakan jangan dengki kerana setiap orang ada bahagian & rezekinya secara umum, sama ada luas atau sempit, cepat atau lambat.
    Allah telah tentukan & peruntukkan rezeki bagi setiap orang.
  1. Di akhir ayat 33 Allah nyatakan bahawa semua pewaris, kerabat yang dekat ada bahagiannya dalam harta pusaka yang ditinggalkan warisnya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang larangan tentang makan harta secara batil & jangan bunuh diri atau orang lain tanpa hak.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah pesan agar jangan kamu berangan bercita terlalu tinggi, tengok orang kaya nak juga sedangkan kamu malas bekerja & berusaha, tengok orang alim dengki tetapi dia malas belajar!
    Jika kita ada cita-cita, biar berpada & mampu untuk mencapainya. 
    Maka kita kena berusaha untuk mencapainya serta minta pertolongan Allah dan insya’ Allah, Allah SWT akan beri ikut kadar yang sesuai dengannya. 

    Tetapi jika kita bercita-cita terlalu besar & tinggi ia akan membawa kepada hasad dan menjerumus kepada perbuatan yang tidak baik seperti menipu, khianat, mencuri, merompak bahkan sehingga peringkat membunuh! 
    Maka Allah bawa ayat ini untuk mengajar kita agar qana’ah, berpada dalam cita-cita & jangan kamu hasad dengki dengan apa yang yang diperolehi oleh orang lain.
  1. Munasabah kedua:
    i- Allah SWT larang daripada makan harta orang secara batil & larangan membunuh. Ini perbuatan secara zahir dengan anggota maka wajib kamu tinggalkan agar zahir kita jelas bersih & baik.

    ii- Maka datang ayat ini Allah SWT larang pula dari segi penyakit hati. Hatimu mesti sejahtera, larangan agar jangan dengki dan hasad kepada orang agar batinmu juga bersih dari akhlak-akhlak buruk. 
    Maka apabila hati bersih, amalan zahir juga bersih, maka bersihlah zahir & batin kamu.
    Allah SWT sayang kepada orang yang bersih, bersih zahir & bersih jiwa dan anggotanya!

    Apabila ada hasad ada dalam hati akan timbullah kata-kata buruk terhadap orang, diikuti perbuatan yang buruk juga!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, yang bersih hatinya, yang sentiasa bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 32- {DAN JANGANLAH KAMU TERLALU MENGHARAPKAN (INGIN MENDAPAT) LIMPAH KURNIA YANG ALLAH TELAH BERIKAN KEPADA SEBAHAGIAN DARI KAMU (UNTUK MENJADIKAN MEREKA) MELEBIHI SEBAHAGIAN YANG LAIN (TENTANG HARTA BENDA, ILMU PENGETAHUAN ATAU PANGKAT KEBESARAN). (KERANA TELAH TETAP) ORANG-ORANG LELAKI ADA BAHAGIAN DARI APA YANG MEREKA USAHAKAN, DAN ORANG-ORANG PEREMPUAN PULA ADA BAHAGIAN DARI APA YANG MEREKA USAHAKAN; (MAKA BERUSAHALAH KAMU) DAN POHONKANLAH KEPADA ALLAH AKAN LIMPAH KURNIANYA. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AN-NISA’ 4:32)

  1. Sebab nuzul ayat ini: Ibnu Abbas RA berkata: Seorang wanita datang bertanya kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Nabi Allah, bahagian seorang anak laki-laki dengan bahagian dua orang anak perempuan dan kesaksian dua orang perempuan sama dengan kesaksian seorang lelaki. Apakah kita juga akan mendapatkan bahagian seperti itu dalam amal? Jika seorang perempuan beramal kebaikan maka di catat baginya separuh kebaikan?” Lantas Allah menurunkan ayat, “Dan janganlah kamu iri hati terhadap karunia yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain.” Juga menurunkan ayat, “Sesungguhnya laki-laki dan perempuan muslim…” [HR at-Tirmizi & al-Hakim].
  1. Allah SWT mengajar bahawa jangan kamu hasad & dengki kepada orang lain kerana Allah SWT telah tentukan rezeki yang khas bagi setiap orang sama ada lelaki atau wanita daripada apa yang mereka usahakan!
    Kaum wanita tidak perlu dengki & iri hati terhadap keistimewaan yang dimiliki kaum lelaki. 
  1. Ada bahagian yang khas bagi lelaki & bahagian yang khas untuk wanita. Serta tugasan tertentu juga. 
    Lelaki bertanggung-jawab dalam bidang tertentu seperti tanggungjawab keluarga, tugasan pemerintahan, kekuasaan, berjihad dan seumpamanya.
  1. Sama juga orang kaya tidak sama dengan orang miskin, tetapi mereka saling memerlukan. Maka orang kaya jangan sombong dengan orang miskin kerana tanpa orang miskin siapa yang akan berkerja untuk mereka! 
    Kita disuruh berbuat baik dengan sesama manusia hatta kepada haiwan pun kita disuruh rahmat & kasihan belas, jangan dizaliminya.
  1. Antara kelebihan lelaki berbanding wanita dalam tugas khas ialah:
    i- Mereka wajib keluar berjihad sehingga mati atau menang dalam peperangan itu. Manakala jihad bagi wanita pula adalah haji atau umrah.

    ii- Kaum lelaki keluar mengembara ke seluruh pelusuk bumi untuk mencari ilmu, seperti para ulama’ terdahulu Imam Bukhari, Imam Ahmad rhm.dan lain-lain.
  1. Hasad ini berbeza dengan ghibtah (غبطة):
    i- Hasad ialah dengki akan nikmat orang lain dan berharap ia hilang darinya! Jangan sesekali kita menyimpan perasaan ini di dalam hati!

    ii- Ghibtah pula berasa iri melihat orang yang dapat nikmat lalu bercita nak jadi begitu juga untuk buat kebaikan sepertinya serta tidak mengharapkan nikmat itu hilang darinya!
  1. Hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan ghibtah (bukan hasad yang dengki) dibenarkan: 
    Sabda Rasulullah SAW: لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا.
    Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah ilmu dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. [Sahih al-Bukhari (73)].
  1. Tetapi dalam bab ibadat khusus, amalan peribadi untuk mencari pahala; tiada beza sama ada tanggungjawabnya atau pahalanya bagi lelaki & perempuan sebagaimana firman Allah SWT ini:
    {Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, 
    dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, 
    dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, 
    dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, 
    dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, 
    dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), 
    dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, 
    dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, 
    dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, 
    dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, 
    Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.} (Al-Ahzaab 33:35)

    Kata ulama’ tadabbur : 10 sifat yang disebut dalam ayat ini menunjukkan sifat amalan peribadi yang kita akan lawan antara lelaki & perempuan- masing-masing berebut mencari pahala sebanyak mungkin untuk bekalan masing-masing di Akhirat kelak!
  1. Jika kita rasa nak juga seperti orang yang kita rasa beruntung itu (kaya & berilmu) untuk buat kebaikan kita kena usahakannya. 
    Tetapi jika kita tidak dapat apa yang kita citakan; seperti minta nak kaya kerana nak sedekah & banyak infaq- tetapi tak kaya-kaya, insya’ Allah kita sudah dapat pahala dengan niat nak buat kebaikan. 
    Betapa ramai orang yang sudah dapat pahala dengan niat yang ikhlas & murni!
  1. Maka mintalah dengan Allah SWT yang Maha Pemurah, Maha Pemberi. 
    Jangan berputus asa mintalah selalu dengan Allah, kerana Allah suka hamba-Nya berdoa memohon meminta kepada-Nya. 
    Kerana Allah kata antara sifat manusia yang sombong ialah tidak mahu berdoa kepada Allah.
    Sebaliknya jangan minta kepada manusia atau sesama kamu kerana manusia tidak akan suka & benci kepada orang yang banyak meminta!
  1. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
  1. Bila Allah tahu semuanya, antara hikmah ilmu-Nya ialah siapa yang patut diberi banyak & siapa ygpatut diberi kurang! 
    Allah akan beri ikut kesesuaian dan keperluan kamu. Jangan bimbang. Jika kamu dapat sedikit tetapi orang yang jauh dari Allah dapat banyak!
  1. Bagi orang yang Allah sayang Allah akan beri ikut kadar & sukatan yang sesuai untuknya.
    Cukup sukatan rezeki & nikmat; hidupnya agar jadi penuh redha, syukur, mencukupi dan menjadikannya makin dekat dengan Allah.
  1. Ini kerana jika dia mendapat lebih daripada sukatan pula; mungkin akan membawa kepada sombong, bongkak, angkuh & makin jauh dari Allah dengan sifat itu. Itulah istidraj!
  1. Makna Istidraj! Allah beri kamu kemewahan & kesenangan sehingga kamu lupa diri!
    Semakin kaya semakin senang semakin lupa & semakin jauh kepada Allah SWT.

AYAT 33- {DAN BAGI TIAP-TIAP (LELAKI DAN PEREMPUAN YANG TELAH MATI), KAMI TELAH TETAPKAN ORANG-ORANG YANG BERHAK MEWARISI PENINGGALANNYA IAITU IBU BAPA DAN KERABAT YANG DEKAT. DAN MANA-MANA ORANG YANG KAMU TELAH MEMBUAT IKATAN SETIA DENGAN MEREKA (UNTUK BANTU-MEMBANTU DALAM MASA KECEMASAN DAN KESUSAHAN) MAKA BERIKANLAH KEPADA MEREKA BAHAGIANNYA. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENYAKSIKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AN-NISA’ 4:33)

  1. Bagi seseorang yang meninggal dunia lelaki atau perempuan- pasti ada kaum kerabat dekatnya {وَٱلْأَقْرَبُونَ} seperti ibu bapa, pasangan suami atau isteri dan anak-anaknya lelaki atau perempuan yang berhak menjadi pewaris harta peninggalannya! 
    Setiap orang ada bahagiannya yang telah ditetapkan Allah.
  1. Maka jangan kamu bimbang (takut tak dapat harta) atau tamak nak akan harta orang lain. Kerana Allah telah tentukan setiap orang ada bahagiannya tertentu yang telah ditetapkan. 
  1. Kemudian Allah pesan agar kamu membantu & tolong orang yang telah kamu buat ikatan perjanjian setia dengannya dengan beri bahagiannya. 

    Ayat ini ada isunya- iaitu ulama’ mengatakan ia sama ada diturunkan kerana:
    i- Pada peringkat awal Islam, setibanya di Madinah Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara kamu Muhajirin & Ansar yang amat kuat; sehinggakan mereka boleh saling menerima pusaka.
  1. Contohnya Salman al-Farisi RA yang dipersaudarakan dengan Abu Darda’ RA, Abdur Rahman bin Auf yang dipersaudarakan dengan seorang sahabat Ansar yang bernama Sa’ad bin Rabi’ RA. 
    Mereka ini asalnya jika mati salah seorang boleh terima pusaka.
  1. Kemudian Allah SWT turunkan ayat 75 Surah Al-Anfal:
    {Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Anfaal 8:75)
  1. Iaitu Allah SWT menegaskan bahawa orang yang ada tali persaudaraan (kerabat & rahim) lebih berhak untuk mewarisi harta daripada mereka yang mempunyai ikatan pertalian tersebut. 
    Maka dibatalkan hukum tersebut dan tiada lagi pusaka pada persaudaraan antara muhajirin dan ansar.
  1. Ada juga ulama’ kata : Hukum ini tidak batal tetapi ia bukan merujuk kepada bentuk harta pusaka atau perjanjian ikatan melalui perkahwinan yang membolehkan terima pusaka.
  1. Ada juga ulama’ kata : Ia merujuk kepada perjanjian atau sumpah setia dengan orang di Madinah dulu yang mereka mesti tolong, bantu & sokong mereka. 
  1. Tetapi ulama’ kata tidak : Hukum waris-mewarisi dengan jalan sumpah setia dimansukh oleh firman Allah dalam ayat 75 Surah Al-Anfal tadi;
    {Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) sebagaimana di dalam Kitabullah.} (Al-Anfal: 75).
  1. Mengikut tafsir Ibnu Abbas pula tentang ayat ini: {Bagi tiap-tiap harta peninggalan Kami jadikan (مَوَٰلِىَ) pewaris-pewaris.} Yang dimaksud dengan mawali dalam ayat ini ialah pewaris-pewaris dari kalangan kaum kerabat & keluarga. {Dan (jika ada) orang-orang yang kalian telah bersumpah setia dengan mereka.} Dahulu ketika kaum Muhajirin tiba di Madinah, Rasulullah SAW mempersaudarakan mereka dengan seorang Ansar pula. Maka seorang Muhajir mewarisi harta seorang Ansar, bukan kaum kerabat orang Ansar itu sendiri, kerana persaudaraan yang telah digalakkan oleh Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ di antara mereka. Tetapi ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman Allah سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى‎: {Bagi tiap-tiap harta peninggalan, Kami jadikan pewaris-pewarisnya.} Maka hukum tersebut dimansukh. Kemudian Ibnu Abbas membacakan firman-Nya: {Dan (jika ada) orang-orang yang kalian telah bersumpah setia dengan mereka, maka berilah kepada mereka bahagiannya.} Katanya: Iaitu berilah bantuan berupa pertolongan, bantuan, dan nasihat bukan harta kerana hak mewarisi sudah ditiadakan dan yang ada baginya adalah bahagian dari wasiat. [HR Bukhari].
  1. Allah tutup ayat ini dengan mengatakan: Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
    Tiada apa yang tersembunyi daripada ilmu & pengetahuan Allah SWT! 
    Dia mengetahui & menyaksikan semuanya dengan makna Allah kawal & pantau.
  1. Kamu buat baik, terimalah balasan baik. Kamu buat jahat bersedialah terima balasan jahat! 
    Juga jika kamu berjanji dengan orang tunaikan, jangan khianat! Ini kerana Allah saksikan segala janji kamu. 
    Tidak tunaikan janji juga antara sifat munafiq! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 32- {Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat)..}-

    Ayat ini adalah larangan agar jangan kamu hasad & dengki sehingga bercita-cita dan berangan mahu menghilangkan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain!
    Allah yang berikan kepada mereka rezeki & nikmat itu, kamu nak hilangkannya? 

    Kata ulama’ tadabbur : Adalah jenayah pertama yang berlaku adalah dunia ini adalah datang daripada hasad dengki. Begitu juga punca kebinasaan Iblis juga kerana hasad terhadap Adam AS.
    Kerana hasad dengkilah manusia sanggup membunuh seperti perompak yang nak rampas harta orang, sanggup membunuh pemiliknya!

    Jika nak mabil harta ambillah jangan sakiti & bunuh tuannya- tetapi apa boleh buat kejahatan itu datang dengan pakej juga!
    Apabila seseorang itu ada kedudukan, pasti ada orang yang dengki & hasad kepadanya, mencari keburukannya untuk menjatuhkannya!

    Tengok orang kaya & bahagia mulalah hasad dengki! 
    Kerana itu jangan terlalu tunjukkan kebahagiaan atau dedahkan anak-anak kecil di media sosial kerana pasti ada mata-mata memandang yang tidak senang & hasad akannya!
    Lalu akan kena penyakit ain dan sebagainya.
  1. Ayat 32- {Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat)…}-

    Allah larang kita daripada bercita-cita & niat benda yang tidak ada faedah. 
    Jangan berniat nak rosakkan kehidupan sendiri atau kehidupan orang lain.
    Jika kamu nak juga minta dengan Allah kemudian usaha dan usaha- ayat ini sekaligus menyatakan luasnya limpah kurnia Allah.
    Mintalah dengan Allah. Minta dengan Allah; Allah suka; minta dengan manusia; manusia akan benci!
    Jangan ada rasa dengki pada orang lain; nak kaya usahakanlah, nak pandai & berilmu; belajar rajin-rajin.
    Berazam untuk kaya dan pandai kemudian berdoalah pada Allah serta niat wajib ikhlas nak semua itu kerana Allah.
  1. Ayat 32- {Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat)..}

    Allah SWT larang kita daripada hasad dengki & terlalu inginkan sesuatu.
    Kita perlu belajar ilmu kebijaksanaan & hikmah dari Allah. 
    Kenapa ada manusia yang kaya dan ada yang susah & miskin, ada yang bahagia ada yang derita!
    Ada sekumpulan manusia sesat mengatakan Allah buat semua itu tanpa hikmah.
    Ayat ini mengajar bahawa semua yang terjadi adalah dengan hikmah & kehendak Allah, bukan semata-mata kita pilih! 
    Sebagai orang beriman kita kena terima dengan hikmah Allah yang besar. 

    Antara hikmah-Nya Allah bezakan tugas & tanggungjawab dunia antara lelaki & perempuan dalam harta pusaka, persaksian, diyat, termasuk dalam bab aqiqah, lelaki dua ekor kambing manakala anak perempuan satu sahaja. 
    Allah yang tetapkan Allah, Allah limpahkan kurnianya atas seorang dengan seorang yang lain. 
    Setiap orang ada bahagiannya sendiri kecuali dalam bab pahala & dosa; lelaki & perempuan sama.
    Tetapi dalam bab ibadat & mencari pahala, sama bagi lelaki & perempuan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab: 35 tadi, masing-masing kena berebut dan berlumba melakukan ibadat & mencari keredhaan Allah SWT.
  1. Ayat 32- {Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} –

    Allah beri amaran kepada manusia dengan memberitahu bahawa sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahui setiap perbuatan & gerak-geri manusia. 
    Kita kena tunduk akur menerima apa saja yang ditetapkan Allah SWT secara Syara’nya seperti hukum hakam, halal haram, makruh, sunat dan lain-lain.
    Manakala dalam kehidupan seperti sakit sihat, susah senang juga begitu. Jika tahu ia adalah ketetapan dari Allah; barulah kita tenang & redha hati kita. Jika tidak kita akan stress sentiasa resah gelisah.
    Ayat ini juga mengajar tentang ilmu muraqabah Allah SWT. Allah perhatikan kita & Allah akan balas apa yang kita lakukan! 
    Maka di sini kita kena perbetulkan perjalanan hati kita agar ikhlas kepada Allah SWT, barulah kita akan selamat dunia Akhirat.
  1. Ayat 33- {Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat.}-

    Setiap orang lelaki atau wanita yang paling hampir dengan kamu akan mendapat bahagian & nasibnya yang tertentu!
    Semua hamba Allah ada hak masing-masing yang sudah ditetapkan cuma berbeza dari segi banyak-sedikit-mengikut ketetapan yang Allah SWT telah tentukan. 

    Perbezaan berdasarkan keturunan, kerabat. pekerjaan, tempat tinggal dan lain-lain.
    Ayat ini sekaligus membatalkan undang-undang & adab jahiliyyah yang buruk dulu yang menafikan hak perempuan! 
    Mereka mengatakan bahawa wanita tidak dapat mewaris harta pusaka.
    Allah juga kata yang dapat ialah { وَٱلْأَقْرَبُونَ} iaitu kaum kerabat terdekat, bukan kaum kerabat {الأقرباء} anak beranak semuanya!
    Keluarga yang terdekat ialah ibu bapa, pasangan suami isteri & anak-anak mereka- mereka inilah yang berhak dapat harta pusaka terlebih dahulu. 

    Orang lain sabarlah pasti ada juga gilirannya masing-masing. 
    Inilah tertib susunan yang cukup teratur, kita jangan bimbangn- kitalah orang yang paling bahagia jika tahu apa tugas kita, tujuan & matlamat kita atas dunia ini! 

    Kita juga tahu bahawa Allah akan saksikan kita segala perbuatan; maka kita akan bertambah hati-hati dalam menjaga segala perbuatan kita & tidak akan berani derhaka kepada Allah SWT.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs