Surah An-Nisa’ : Ayat 80-82

TAAT KEPADA RASULULLAH SAW, MUNAFIQ BERMUKA-MUKA & GALAKAN TADABBUR AL-QURAN.

Full video : https://youtu.be/7xWLCkj6TqE?si=RQljky55zHImFxAA

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 80 sehingga 82 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang perintah taat kepada Rasulullah SAW. Yakni taat kepada Rasulullah SAW adalah taat kepada Allah juga.
  1. Tentang sikap munafiq yang tak habis-habis; suka bermuka-muka serta ada di mana saja, tempat mukmin pun ada, tempat kafir pun dia ada.  
  1. Allah juga arahkan kepada kita; jika mereka ini selepas kita dakwah, nasihat & ghoyat semuanya masih tak mahu dengar & tak mahu ikut, maka berpaling tinggalkan mereka. Jangan habiskan masa & rugi tenaga, boleh tumpu urusan kita kepada perkara lain pula!
  1. Kemudian galakan tadabbur Al-Quran kepada orang yang imannya lemah & kuat. 
    Allah juga nyatakan jika al-Quran ini bukan datang dari Allah SWT; kamu akan lihat percanggahan yang ckup banyak serta fakta yang tidak betul dan pasti akan lebih banyak auta daripadan fakta!!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah menafikan hujjah-hujjah puak munafiq yang menyatakan sebab kenapa mereka tidak mahu taat kepada Rasulullah SAW dengan pelbagai alasan mereka yang tidak benar.

    ii- Maka Allah SWT nyatakan bahawa tugas Rasulullah SAW hanyalah menyampaikan apa yang diperintah dari Allah. 
    Ayat ini menjadi dalil akan ismah (keterpeliharaan) Nabi SAW, iaitu Allah jaga Rasulullah SAW daripada tergelincir, sesat atau tersalah dalam bab Syari’ah juga dalam tindak-tanduknya.
    Ayat ini juga menjadi dalil akan tiada bezanya taat kepada Allah & taat kepada Rasulullah SAW dalam perundangan Syari’ah Allah. 
    Apa yang Nabi SAW sampaikan itu adalah dari Allah.

    Allah sudah nyatakan dalam al-Quran:
    {Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.} (An-Najm 53: 3-4) 
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 80- {SESIAPA YANG TAAT KEPADA RASULULLAH, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH TAAT KEPADA ALLAH; DAN SESIAPA YANG BERPALING INGKAR, MAKA (JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA WAHAI MUHAMMAD), KERANA KAMI TIDAK MENGUTUSMU UNTUK MENJADI PENGAWAL (YANG MEMELIHARA MEREKA DARI MELAKUKAN KESALAHAN).} (AN-NISA’ 4:80)

  1. Allah perintahkan sesiapa yang mengaku taat kepada Allah WT wajib juga taat kepada Rasulullah SAW. 
    Jika tidak, tidak sempurna ketaatan kepada Allah- seperti puak anti-hadis yang cuba menolak hadis Nabi SAW.
  1. Sesiapa yang cintakan Nabi SAW dengan cinta yang hakiki dia akan cari yang asli dan sahih, siapa yang sebaliknya, iaitu orang yang pelik dia akan cari barang yang pelik juga. 
    Kita bukan nak menolak atau buang hadis dhaif dari Nabi SAW seluruhnya- kita cuma mahu memandaikan umat untuk memilih & tahu untuk pastikan ia adalah yang benar & sahih dari Baginda SAW! 
    Para jemaah mempunyai haq untuk bertanya kepada ustaz penceramah, pengkuliah akan status hadis/dalil yang disampaikan. 
  1. Hadis : Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang taat kepada kepada pemimpinnya, maka ia taat kepadaku, barangsiapa taat kepadaku, maka ia taat kepada Allah, barangsiapa menentang pemimpinnya, maka ia menentangku, barangsiapa menentangku, maka ia menentang Allah.” [HR Bukhari].
  1. Allah nyatakan lagi : Sesiapa yang menolak, berpaling ingkar dari ajaran & dakwah Nabi SAW, janganlah Baginda besedih kerana tugasnya menyampaikan kepada manusia apa yang Allah perintahkan dan Baginda telah sampaikan semuanya! 
    Sama ada orang ikut atau tidak pahalanya telah sampai kepada Rasulullah SAW.

    Beberapa kali dalam perhimpunan di akhir hayatnya, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat apakah Baginda sudah sampaikan kepada mereka, sudah nyatakan kepada mereka apa yang diperintahkan Allah kepada mereka. Mereka mengakuinya lalu Rasulullah SAW mengangkat tangannya dan berkata: Ya Allah saksikankah! 
  1. Maka kita para pendakwah jangan sedih sama ada ada orang ikut atau tidak, ramai atau sedikit yang ikut kita! 
    Ingatlah kita hanya akan ditanya, dipersoalkan apakah kamu telah menyampaikan dakwah? Apakah kamu telah menyampai kebenaran?
    Allah tidak akan tanya berapa ramai yang ikut kamu- mereka itu akan dipersoalkan pula keadaannya oleh Allah SWT sendiri! 
  1. Soalan inilah yang perlu kita takuti, apakah kita telah menyampaikan ilmu, nasihat & kebenaran tanpa takut kehilangan kedudukan, pangkat & kehilangan pengikut! 
  1. Kita kena jujur dengan ilmu yang kita ada, ilmu ada atau sesuatu perkara itu tidak baik; tetapi kerana nak jaga kedudukan atas dunia sanggup butakan mata & tulikan telinga!

AYAT 81- {DAN MEREKA (GOLONGAN MUNAFIK) BERKATA: “(KAMI) TAAT”, KEMUDIAN APABILA MEREKA KELUAR DARI MAJLISMU, SEGOLONGAN DARI MEREKA MEMUTUSKAN PADA MALAM HARI SATU RANCANGAN YANG LAIN DARIPADA (PENGAKUAN TAAT) YANG MEREKA KATAKAN (KEPADAMU). SEDANG ALLAH (PERINTAHKAN MALAIKAT) MENULIS APA YANG MEREKA RANCANGKAN ITU; MAKA BERPALINGLAH (WAHAI MUHAMMAD) DARIPADA MEREKA, (JANGANLAH DIHIRAUKAN APA YANG MEREKA RANCANGKAN), SERTA BERSERAHLAH KEPADA ALLAH; KERANA CUKUPLAH ALLAH MENJADI PEMBELA (YANG MEMELIHARAMU DARI ANGKARA MEREKA).} (AN-NISA’ 4:81)

  1. Puak munafiq itu amat bermuka-muka sekali. Di depan Nabi SAW mereka amat bermulut manis, lembut gigi daripada lidah! 
    Mereka berkata: Kami taat kepadamu wahai Muhammad, kamu akan ikut & tidak akan lari!
  1. Tetapi apabila mereka keluar dari majlis Nabi SAW, berpaling kembali kepada kumpulan mereka, mereka mengutuk & membuat perancangan jahat. 
    Mereka berkumpul pada malam hari buat stretegi untuk lawan dan menyakiti Baginda SAW & orang mukmin. 
  1. Inilah kejahatan puak munafiq yang bukan setakat jual agama tetapi jual Tuhan dengan bersumpah dengan nama Allah SWT bahawa mereka beriman & taat kepada Nabi SAW.
    Sedangkan semua itu hanyalah pembohongan!
  1. Maka Allah perintahkan kepada Rasulullah SAW untuk berpaling juga dari mereka, tinggalkan mereka jangan dok ikut isu yang mereka mainkan. 
    Bukan berpaling cuai tetapi kita juga kena merancang strategi dan plan, bukan sibukkan diri rugi masa & tenaga dengan mereka!
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan dengan tegas kepada Rasulullah SAW: Serahkan urusan mereka itu kepada Allah SWT- kerana cukuplah Allah menjadi Penolong, Pembela & Pembantu yang memeliharamu dari angkara mereka!
    Allah telah suruh para malaikat untuk menulis setiap perancangan dan perbuatan jahat mereka itu!
  1. Yakni dalam ayat ini Allah dedah dan nyatakan sikap buruk golongan munafiq yang amat perlu kita berhati-hati dan ambil langkah berjaga-jaga terhadap mereka! 
    Mereka adalah talam dua muka yang depan lain belakang lain!
  1. Inilah sifat yang kita bimbanngkan kerana ia juga sudah menular di kalangan orang Islam. Kawan makan kawan, bermuka-muka depan baik belakang memburuk-burukkan!

AYAT 82- {PATUTKAH MEREKA (BERSIKAP DEMIKIAN), TIDAK MAHU MEMIKIRKAN ISI AL-QURAN? KALAULAH AL-QURAN ITU (DATANGNYA) BUKAN DARI SISI ALLAH, NESCAYA MEREKA AKAN DAPATI PERSELISIHAN YANG BANYAK DI DALAMNYA.} (AN-NISA’ 4:82)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah ceritakan tentang pelabagai perangai jahat & tipu-daya munafiq. Puncanya kerana mereka tidak yakin bahawa Rasulullah SAW adalah seorang nabi & rasul.
    Jika mereka yakin pastilah mereka akan beriman sungguh; akan taat & akur serta tidak berpura-pura & berlakon.

    ii- Maka Allah nyatakan cara untuk mendapat keyakinan & keprcayaan untuk meningkatkan keimanan! Ia adalah dengan belajar al-Quran & isi kandungannya! 
    Kamu tadabburlah al-Quran untuk mendapat kefahaman & keyakinan yang sepatutnya!
    Bukan senang untuk dapatkan keyakinan ini- kita kena betul-betul belajar tentang ilmu tauhid & isi kandungan al-Quran.
  1. Allah perintahkan dalam ayat ini untuk mengambil ilmu, maklumat dan pengetahuan dari al-Quran- kena tadabbur isi kandungannya. Munafiq jadi begitu, iaitu tidak yakin akan kebenaran Rasulullah SAW lalu tidak beriman dengan sebenarnya kerana mereka tidak baca & tadabbur isu kandunga al-Quran. 
    Tidak lihat kepada susunan ayat al-Quran yang begitu indah & benar.
  1. Allah juga suruh lihat kepada fakta ilmiah dalam al-Quran. 
    Jika al-Quran ini bukan datang dari Allah- selama 23 tahun ia turun itu- pasti ada fakta, maklumat & khabar yang celaru, bertentangan & tidak konsisten! 
    Bahkan fakta akan menjadi auta! 
  1. Kisah Dr Garry Miller seorang pakar Matematik yang juga pendakwah Kristian yang aktif dari Kanada. 
    Beliau pada asalnya mengkaji al-Quran untuk mencari kelemahan al-Quran, menghina meremehkannya! 
    Lalu akan diberi kepada para pendakwah mereka untuk menjadi bahan propa & dakyah jahat!
  1. Tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya- bukan kelemahan al-Quran yang dijumpai tetapi kemulian, keagungan, kejaiban dan keindahan mukjizat al-Quran yang dijumpainya. 
    Lalu Garry Miller bertukar menjadi DR. ABDUL AHAD OMAR. 
    Beliau juga telah menulis sebuah buku yang amat masyhur & berguna: The Amazing Quran.

    Cerita lanjut tentangnya boleh dibaca di: https://islamforchristians.com/prof-gary-miller-revert…/
  1. Hadis : Sabda Nabi SAW: “Kebanyakan orang MUNAFIK di antara umatku adalah yang MENGHAFALKAN Al QURAN dengan niat yang lain (tidak baik)³ [Sahih al-Jami’ as-Soghir-sahih].
    Maksudnya: Ramai munafiq yang baca al-Quran, iaitu munafiq amali bukan munafiq i’tiqadi (beriman tetapi bersifat munafiq) yang buat amal ibadat dan keagamaan untuk dapatkan kebaikan dunia! 
    Nak cari glamor, pujian orang, cari follower dan buat semuanya kerana riya’ bukan kerana Allah SWT semata-mata.
    Ya Allah bersihakan hati kami & amalan kami daripada sifat nifaq, sifat riya’, mencari kepentingan dunia dalam perkara agama.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 80- {Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah;}-

    Sesiapa yang taat kepada Rasulullah dengan betul & ikhlas bererti dia telah taat kepada Allah!
    Ini kerana ia adalah ketaatan yang bersyarat- Rasulullah SAW dia bawa apa yang Allah SWT perintahkan.
    Maka apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu adalah wahyu!
  1. Ayat 81- {Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu,…}-

    Inilah sifat munafiq di depan Nabi kata taat; tetapi apabila di belakangnya mereka sebaliknya!
    Ayat ini juga amaran keras agar jangan terjebak dengan sifat munafiq! 
    Seorang manusia wajib bercakap telus- jika depan ya- belakang pun ya! 
    Jangan depan bercakap baik, puji & sokong tetapi di belakang kutuk & serang, memburuk-burukkan!

    Itulah kerja munafiq mahu memporak-perandakan umat Islam manakala munafiq amali pula mahu mencari peluang & habuan dunia! 
    Ini adalah satu sifat yang amat menakutkan kita semua.
  1. Ayat 80- {Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah;..}-

    Siapa taat kepada Rasulullah SAW bererti dia telah taat kepada Allah.
    Maka taat kepada Allah jelas & taat kepada rasul juga jelas!

    Kata ulama’ : Ayat ini juga menjadi dalil yang paling kuat bahawa Rasulullah SAW adalah bersifat maksum (معصوم) terpelihara dari segala kesilapan & lupa dalam menyampaikan semua arahan & larangan, dalam apa yang diperintahkan oleh Allah SWT! 
    Hatta apa yang Baginda lupa pun adalah Syari’ah atau wahyu untuk mengajar dan membetulkan kita! 
    Bukan seperti kita yang mudah lupa; hari ini cakap lain. Esok lain pula!
    Juga bahawa kedudukan hadis, Sunnah Nabi SAW yang sahih itu adalah sama dengan al-Quran. 

    Yakni apa yang disebut dalam al-Quran kemudiannya sama ada:
    i- Disokong oleh hadis Nabi SAW.

    ii- Hadis menjelas & menerangkan lagi secara terperinci akan hukum yang disentuh secara umum & ringkas dalam al-Quran.

    iii- Ataupun ada sesetengah hukum tiada pun dalam al-Quran tetapi ada dalam hadis!
    Inilah kepentingan hadis Nabi SAW yang sahih!
  1. Ayat 81- {maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah;}-

    Setelah kita berusaha menyampaikan, dakwah, nasihat & buat strategi; jika mereka masih terus dalam keingkaran itu, tinggalkan mereka buat seketika, tetapi jangan putus harap, jika ada peluang ulang balik dakwah & nasihat itu.
    Yakni kita berpaling daripada mereka buat sementara, jangan hiraukan provokasi & dakyah mereka- teruskan kerja dakwah kita, teruskan fokus kepada perkara lain yang lebih memerlukan perhatian kita!

    Kerana itu kata ulama’ : kemuncup ditepi padang jangan kita hiraukan dulu. 
    Yakni dalam perjalanan atau perjuangan dakwah; jika ada halangan kecil jangan kita ambil berat sangat- kita biarkan dulu.
    Jika tidak kita akan kehilangan masa dan tumpuan dengan membuat perkara kecil seperti mencabut kemuncup yang tidaklah memberi mudharat besar berbanding masalah lain yang sepatutnya kiat beri tumpuan.
    Ingatlah di mana ada peluang kita usahakan, di mana ada bumi subur di situ benih ditabur!
    Jangan habiskan masa & tenaga kita dengan orang yang memang degil keras kepala tidak mahu menerima kebenaran walaupun tahu!
  1. Ayat 82- {Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?}-

    Ayat ini adalah galakan untuk kita tadabbur al-Quran, dengan ikuti kelas-kelas tafsir & tadabbur yang kita yakin boleh memberi ilmu yang sahih & yakin. 
    Seperti kelas tafsir & tadabbur kita inilah, salah satu usaha yang cuba kita buat untuk kepentingan & kebaikan semua!
    Lagi banyak kita kaji al-Quran lagi banyak kita akan dapat manfaat daripada al-Quran ini dengan izin Allah!

    Kata ulama’ : Antara faedah ilmu tadabbur ialah:
    i- Daripada darjat tak tahu, kepada tahu.

    ii- Daripada ilmu, kepada keyakinan! 
    Al-Quran ini adalah Kalamullah yang tiada percanggahan faktanya, kisah dalam al-Quran semuanya benar, dalam kisah ada hukum-hakam, dalam kisah ada pengajaran.

    Contoh : Kenapa kisah Nabi Yusuf hanya disebut sekali sehingga selesai dalam al-Quran? 
    Sedangkan kisah Nabi Msa AS sering diulang bahkan seolah tiada surah yang tidak menyebut kisah Nabi Musa AS.
    Semua ini dikaji & dikorek oleh para ulama’, makin banyak kita belajar, makin banyak kita tahu & makin bertambah keimanan insya’ Allah!

    Nak tadabbur al-Quran : Kena jaga akhlak sebagai ahli al-Quran atau al-Mutadabbirin apatah lagi penghafaz al-Quran. 
    Ahli al-Quran ada adabnya, ada akhlaknya. Jangan terkoyak, terikut dengan karenah netizen lain di media sosial yang tidak jaga adab ini!
    Mudah-mudah anda semua boleh menjadi pembimbing ummah!
    Buku baru susunan DDAAM sila dapatkan di: www.dartaibah.com

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs