Surah Ali-‘Imran : Ayat 1-6

ALLAH AL-HAYYU, AL-QAYYUM, MENURUNKAN AL-QURAN & MENGETAHUI SEGALA PERKARA.

Full video : https://youtu.be/-2rwb007bSA?si=0hsQ11J1_iiscVd8

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 1 sehingga 6 bagi surah Ali ‘Imran.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang isbat tauhid dengan memperkenalkan siapakah Allah. Iaitu dengan dibawa dua sifat Allah Al-Hayyu { ٱلْحَىُّ} & Al-Qayyum { ٱلْقَيُّومُ} yang menunjukkan kesempurnaan-Nya.
  1. Allah juga yang menurunkan Al-Quran yang berfungsi sebagai pemisah antara yang haq & batil.
  1. Allah menyatakan bahawa Dia maha mengetahui segala perkara. Serta Allah juga yang mereka-cipta manusia ini!
  1. Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {ALIF, LAAM, MIIM- الٓمٓ} (ALI-‘IMRAN 3:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta’ah المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م (Alif, Lam. Mim).
    Tertulis begitu dan dibaca begitu. Maksudnya wallahu a’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.
  1. Allah SWT mulakan beberapa surah dalam Al-Quran ini dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i’jaz (mukjizat) Al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  1. Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia lemah, tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah SAW dan Rasul-Nya SAW.
  1. Ini adalah i’jaz Al-Quran untuk menzahirkan lemahnya makhluk; mereka yang mahu meniru atau mencabar Al-Quran. Sesiapa yang cuba cabar kitab Allah dia akan tersungkur di hadapan Allah SWT!
  1. Untuk membaca perbincangan lanjut tentang tajuk huruf yang terputus (Al-Muqatta’ah – المقطعة), ini boleh baca dalam siri muqaddimah surah Al-Baqarah dalam Koleksi catatan tafsir yang lepas di: www.abuanasmadani.com

AYAT 2- {ALLAH TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA, YANG TETAP HIDUP, YANG KEKAL SELAMA-LAMANYA MENTADBIRKAN SEKALIAN MAKHLUKNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:2)

  1. Allah yang berhak disembah, dipuja-puji & diminta pertolongan. Tiada yang lain selain daripada Allah Azza wa Jalla.
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya)} (Al-Hajj 22:62)
  1. Allah Tuhan yang bersifat:
    i- Allah Yang Tetap Hidup : iaitu dengan kehidupan yang sempurna, tidak bermula dengan tidak ada & tidak di akhiri dengan tiada juga!

    ii- Allah Yang Kekal selama-lamanya : Allah tidak berhajat kepada sesiapa & bantuan sesiapa. Malaikat, manusia & syaitan hanya sebagai makhluk yang diberi tugasan masing-masing.
    Allah juga mentadbir makhluk-makhluk dengan pentadbiran-Nya yang cukup mantap & sempurna.
    Tiada benda yang Allah buat tanpa hikmah & tujuan yang yang khas- hanya kita yang tidak tahu semuanya!

AYAT 3- {{IA MENURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) KITAB SUCI (AL-QURAN) DENGAN MENGANDUNGI KEBENARAN, YANG MENGESAHKAN ISI KITAB-KITAB SUCI YANG TELAH DITURUNKAN DAHULU DARIPADANYA, DAN IA JUGA YANG MENURUNKAN KITAB-KITAB TAURAT DAN INJIL.} (ALI-‘IMRAN 3:3)

  1. Allah SWT menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah SAW yang mengandungi kebenaran, dalam Al-Quran semuanya benar tidak ada yang tidak benar sekali-kali.
  1. Al-Quran juga sifatnya sebagai membenarkan & mengesahkan {مُصَدِّقًۭا} isi kandungan Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya. Dalam ayat lain Allah kata Al-Quran juga sebagai pengawal {مهيمن}, mengawal selia kitab yang terdahulu.
    Jika ada orang seleweng kitab dahulu kita suluh periksanya dengan Al-Quran. Ini kerana kitab terdahulu telah diselewengkan oleh para pendeta yahudi & paderi Kristian serta para ulama’ su’!.
  1. Allah juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat kepada nabi Musa AS dan Injil kepada nabi Isa AS sebelum turunnya Al-Quran.

AYAT 4- {{SEBELUM (AL-QURAN DITURUNKAN), MENJADI PETUNJUK BAGI UMAT MANUSIA. DAN IA JUGA YANG MENURUNKAN AL-FURQAAN (YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH). SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH ITU, BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG AMAT BERAT. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA KUASA, LAGI BERHAK MEMBALAS DENGAN AZAB SEKSA (KEPADA GOLONGAN YANG BERSALAH).} (ALI-‘IMRAN 3:4)

  1. Kitab-kitab terdahulu juga sebelum Al-Quran adalah sebagai petunjuk bagi umat manusia.
  1. kemudian Allah nyatakan bahawa Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan iaitu Al-Quran.
    Apakah al-Furqan ini:
    i- Kitab yang membezakan antara yang haq & yang batil dari segi aqidah & batin.

    ii- Membezakan antara haq & batil dari sudut fizikal seperti mukjizat para rasul, Al-Quran adalah mukjizat Rasulullah SAW yang [aling besar dan kekal abadi.

    iii- Ada juga sebahagian ulama’ yang tafsir yang menterjemahkan Al-Furqan sebagai makna pertolongan dari Allah SWT, seperti kisah pada peperangan Badar dalam ayat ini:
    {Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada “Hari Al-Furqaan”, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Anfaal 8:41)
  1. Sebagaimana telah diterangkan dalam muqaddimah surah yang lepas bahawa surah Ali-‘Imran ini dari awal ayat sehingga ayat 83 adalah perdebatan antara Rasulullah SAW & ahlul Kitab, Nasrani dari Najran tentang Nabi Isa AS :
    i- Selagi Al-Quran menjadi pemisah antara fahamam nasrani yang batil dengan fahaman Islam yang benar lagi jelas, bahawa Isa adalah hamba Allah & Rasul-Nya.

    ii- Sedangkan puak nasrani mengatakan Isa adalah anak Tuhan! Maha Suci Allah SWT Yang Maha Tinggi dari segala tuduhan jahat kaum nasrani & semua kafir yang sesat yang amat berat itu!
  1. Dalam ayat ini Allah SWT juga nyatakan bahawa siapa yang tidak kenal Allah, yang kufur ingkar kepada ayat-ayat Allah; yakni kufur kepada Allah & Rasulullah SAW, Allah beri amaran keras bagi mereka azab yang dahsyat! Ingat baik-baik siapa berani lawan Tuhan silakan!
  1. Allah SWT juga nyatakan dua lagi sifat-Nya iaitu:
    i- Allah Maha gagah berkuasa {عَزِيزٌۭ} dalam kekuasaan-Nya, tiada siapa boleh halang, sekat & marah atas tindakan Allah SWT!

    ii- Allah SWT juga Maha Berkuasa untuk mengambil tindakan {ذُو ٱنتِقَامٍ} ke atas orang yang mengingkari & menyalahi ajaran-Nya yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril AS.

AYAT 5- {{SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK TERSEMBUNYI KEPADANYA SESUATU PUN YANG ADA DI BUMI DAN JUGA YANG ADA DI LANGIT.} (ALI-‘IMRAN 3:5)

  1. Tiada apa sesuatu pun yang tersembunyi dari ilmu pengetahuan Allah SWT segala yang ada di bumi & di langit!
  1. Allah SWT tahu semua perkara secara terperinci. Semua benda dibawah pengetahuan Allah SWT.:
    i- Langit iaitu alam atas langit termasuk segala planet, bulan bintang matahari & cakerawala semuanya.

    ii- Serta yang dibumi termasuk semua atas bumi, dalam bumi, dalam lautan semuanya dalam pengetahuan Allah SWT!
  1. Jika ini sifat Allah kenapa kita tidak takut? Kerana segala percakapan & perbuatan kita Allah tahu, yang kita zahirkan Allah tahu, yang kita sembunyikan pun Allah tahu- yang kita cakap betul pun Allah tahu, yang kita dustakan pun Allah tahu jadi macamana kita berani nak buat maksiat lagi?
  1. Allah tahu segala perkara termasulah niat di dalam hati kita. Maka perbetulkanlah niat, ikhlaskan amalan semata-mata kerana Allah SWT!

AYAT 6- {{DIA LAH YANG MEMBENTUK RUPA KAMU DALAM RAHIM (IBU KAMU) SEBAGAIMANA YANG DIKEHENDAKINYA. TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA, YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (ALI-‘IMRAN 3:6)

  1. Allah SWT yang membentuk kejadian & rupa kamu dalam rahim ibu kamu sebagaimana yang Dia kehendaki. Yakni dari segi rupa paras, jantina, perangai, sifat dan lain-lain semuanya adalah dengan ketentuan & kehendak Allah SWT. Bukan ikut kehendak kita: Seorang ibu atau bapa tak boleh pilih, dia nak lelaki dapat anak perempuan, dia nak yang pendek dapat yang tinggi!
  1. Ada orang yang Allah beri lelaki semua anaknya, ada yang perempuan semuanya, ada yang sama ramai dan sebagainya. Ketenangan jiwa kita duduk dalam menerima taqdir Allah SWT & redha dengannya!
  1. Yang penting kita ibu bapa menerima apa saja rezeki yang Allah anugerahkan & didik dan jagalah anak kita baik-baik lelaki atau perempuan.
    Bahkan ada hadis Rasulullah SAW: من عَالَ جَارِيَتَيْنِ حَتَّى تَبْلُغَا، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَنَا وَهُوَ» وَضَمَّ أَصَابِعَهُ.
    Maksud: “Sesiapa yang menanggung nafkah dua anak perempuan sehingga baligh, maka pada hari kiamat, antara saya dan dia seperti ini (Baginda menggabungkan kedua jarinya; jari telunjuk dan jari tengah).” (HR Muslim, no. 2631)
  1. Ada lapan haq janin yang ibu bapa perlu tunaikan, juga sebaliknyna pastilah ada juga haq ibu bapa yang anak-anak wajib tunaikan. Boleh baca Kitab ini: KEINDAHAN ISLAM https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Munasabah ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Dia tahu semua yang zahir atau yang batin, yang tersembunyi & yang jelas nyata.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa lagi tentang ilmu Allah yang meliputi segalanya, Allah mengetahui hatta apa yang ada dalam rahim seorang ibu!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah juga:
    i- {Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.} (Al-Hajj 22:5)

    ii- {Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;} (Al-Mu’minuun 23:12)
    Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;} (Al-Mu’minuun 23:13)
    Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.} (Al-Mu’minuun 23:14)

    Hadis riwayat dari Abdullah bin Mas’ud RA katanya:
    ( حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم -وهو الصادق المصدوق- قال: “إن أحدكم يُجمع خلقُه في بطن أمه أربعين يوما، ثم يكون علقة مثلَ ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يبعث الله ملكاً يؤمر بأربع كلمات ويقال له: اكتب عمله وأجله ورزقه وشقي أو سعيد. ثم ينفخ فيه الروح…”). صحيح البخاري رقم (3208).
    Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami -sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. [HR Al-Bukhari No. 3208].
  1. Begitulah manusia ini segala rezeki & taqdir perjalanan hidupnya telah ditentukan Allah, ada yang susah pada awal kehidupan kemudian senang akhirnya. Ada juga yang sebaliknya; semasa kecil senang & mewah hidup, apabila dewasa susah pula!
    Begitulah hidup manusia umpama roda yang sentiasa berputar, rezeki kita tiada siapa yang tahu.
  1. Tugas kita sentiasa berusaha beramal & berdoa kepada Allah, antaranya ialah dengan doa ini:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً (إذا أصبح)
    “Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” (HR Ibnu Majah)
  1. Allah SWT tutup ayat ini dengan menegaskan kedudukan Allah SWT yang berhak disembah dengan menyatakan dua lagi sifat-Nya yang sempurna:
    i- Allah Maha Kuasa { ٱلْعَزِيزُ}- tidak lemah & lembik.

    ii- Lagi Maha Bijaksana {ٱلْحَكِيم}- percaya & yakinlah kepada susun atur & perundangan yang Allah SWT telah buat untuk kita! Malangnya manusia sekarang lebih percaya kepada orang kafir dari segi duniawi & undang-undang.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Alif, Laam, Miim- الٓمٓ}-

    Allah mulakan surah ini dengan huruf ini menunjukkan kefasihan Al-Quran, Allah boleh guna kalimah atau huruf begini untuk menunjukkan kepentingan & kehebatan Al-Quran, tiada siapa boleh lawan dan cabar Al-Quran. Oleh kerana ayat pertama sehingga ayat 83 surah Ali-‘Imran ini adalah cerita perdebatan antara Rasulullah sa dengan nasrani dari Najran yang datang ke Madinah dan Rasulullah SAW nyatakan kelebihan Islam terhadap mereka.
    Maka eloklah surah ini dimulakan dengan ayat ini yang menunjukkan mukjizat & kelebihan Al-Quran yang tiada manusia yang boleh cabarnya!
  1. Ayat 2- {Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya}-

    Ayat ini untuk menolak fahaman nasrani & membetulkan dakwaan mereka yang mengatakan Tuhan ada anak iaitu nabi Isa AS. Allah nyatakan bahawa dia Tuhan yang tidak ada pasangan mahupun anak.

    Siapakah Allah Tuhan yang Esa yang Tunggal yang tidak ada anak isteri ini?
    Iaitu Tuhan yang:
    i- Yang Tetap Hidup, sempurnanya sifat Allah SWT kerana Tuhan hidup tidak akan mati.

    ii- Yang Kekal selama-lamanya -sempurnanya perbuatan Allah SWT yang menyusun atur, mentadbir perjalanan dunia ini teratur, aman tenang damai tidak berlaku pertembungan & perlanggaran antara satu sistem sama lain!.
  1. Ayat 3- {{Ia menurunkan kepadamu { نَزَّلَ عَلَيْكَ} (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran)}-

    Allah nyatakan bahawa Al-Quran itu diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun.
    Iaitu dengan menggunakan perkataan {نَزَّلَ} bagi menunjukkan secara berperingkat.
    Manakala Taurat & Injil pula diturunkan sekaligus dalam satu jumlah. Iaitu digunakan perkataan {وَأَنزَلَ} untuknya.
    Beza perkataan yang dibawa Al-Quran amat terperinci untuk menunjukkan perbezaan maksudnya yang dikehendaki!
  1. Ayat 4- {{Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).}-

    Dalam ayat ini Allah menyatkan bahawa Dia maha Berkuasa dan berhak membalas dan ambil tindakan dengan azab siksa.
    Dalam ayat ini Allah bawa satu sifat iaitu { ذُو ٱنتِقَامٍ}. Allah juga tidak masukkan alif lam (ا ل) bagi perkataan ini (nakirah-نكرة } kerana ia bukan sifat Allah yang berterusan ada atau Allah sentiasa bersifat begitu, ia juga bukan dari salah satu nama daripada Asma’ul Husna yang 99!
    Sifat {ذُو ٱنتِقَام}, membalas Allah SWT ini terikat yakni bersebab- iaitu Allah hanya ambil tindakan terhadap orang yang jahat, tetapi tidak ke atas orang yang soleh & baik.
    Maka sifat {ذُو ٱنتِقَام} ini bukan sifat Allah yang sentiasa ambil tindakan ke atas hamba-Nya! Kerana ia hanya berlaku apabila ada keperluan dan sebab iaitu kepada golongan yang bersalah saja.

    Sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat ini juga:
    {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.} (As-Sajdah 32:22)
  1. Ayat 5- {{Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.}-

    Allah nyatakan tiada yang tersembunyi dari ilmu-Nya apa yang ada di langit dan bumi.
    Timbul persoalan kenapa Allah hanya sebut yang ada di bumi dan juga yang ada di langit tidak sebut dalam langit dalam bumi, dalam laut dan sebagainya.

    Jawapan:
    Allah sebut apa yang kita manusia boleh nampak agar kita tidak perlu berfikir banyak! Kita hanya nampak atas permukaan laut saja, apa yang ada di dasar laut dan di atas langit kita tak nampak semuanya.
    Ayat ini memberi kesedaran kepada kita bahawa ilmu Allah SWT itu meliputi segala sesuatu maka kamu jangan berani nak buat maksiat dan mungkar kerana Allah SWT tahu semua apa yang kamu lakukan!
    Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa Dia yang menciptakan manusia bermula dari rahim ibu lagi.
    Maka kita yakin & percaya bahawa apa yang diberi & dipilih oleh Allah itulah yang terbaik untuk kita!
    Jika diberi yang elok kita syukur, jika ada kekurangan & kecacatan kita sabar.
    Allah nak angkat darjat kita, Allah nak tengok kita sabar & redha dengan taqdir Allah SWT!

Semoga kita sentiasa redha & bersyukur atas ketentuan Allah serta dikurniakan kesabaran atas ujian & musibah.
Ya Allah anugerahkan kepada kami zuriat yang baik, yang berakhlak, berilmu, patuh kepada Allah, ikut Sunnah Nabi & berkhidmat kepada Allah & ibu bapa.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs