NABI IBRAHIM AS DAN ZURIATNYA, SYIRIK MENGGUGURKAN AMALAN & IKUTLAH JEJAK NABI TERDAHULU.
Full video : https://youtu.be/SWP6vLgVMLw?si=_rWhDMpFUL5yDGTd
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 84 sehingga 90.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang empat orang rasul yang kanan serta diikuti dengan 14 orang anak cucu dari zuriat mereka.
Jadi ada 18 orang nabi & rasul AS yang disebut namanya dalam ayat-ayat kita hari ini.
- Kemudian kesemua mereka diberi peringatan agar jangan melakukan syirik.
Memang para nabi tidak melakukan syirik tetapi peringatan itu diberi untuk umat masing-masing.
- Kemudian kita diperintahkan untuk ikut jejak mereka, dengan cara mengikut nabi terdahulu yang dapat petunjuk.
Kita ikutlah jalan mereka untuk selamat di dunia & Akhirat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hamba & khalil-Nya Ibrahim AS.
Bagaimana Allah anugerahkan ilmu, dakwah, sabar dan hasil dari kerja keras itu Allah anugerahkah juga zuriat yang soleh.
ii- Dalam ayat ini diceritakan ramai dari keturunannya yang mulia terpilih menjadi nabi & rasul AS termasuklah rasul terakhir Nabi Muhammad SAW.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 84- {DAN KAMI TELAH KURNIAKAN KEPADA NABI IBRAHIM: (ANAKNYA) ISHAK (DARI ISTERINYA SARAH), DAN (CUCUNYA) YAAKUB. TIAP-TIAP SEORANG (DARI MEREKA) KAMI TELAH BERIKAN PETUNJUK, DAN NABI NUH JUGA KAMI TELAH BERIKAN PETUNJUK DAHULU SEBELUM ITU; DAN DARI KETURUNAN NABI IBRAHIM ITU (IALAH NABI-NABI): DAUD, DAN SULAIMAN, DAN AYUB, DAN YUSUF, DAN MUSA, DAN HARUN. DAN DEMIKIANLAH KAMI MEMBERI BALASAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERUSAHA SUPAYA BAIK AMAL PERBUATANNYA.} (AL-AN’AM 6:84)
- Allah anugerahkan kepada nabi Ibrahim selepas dia berjuang begitu berat menghadapi kaumnya dan bapanya sendiri, lahir anaknya Ishak (dari isterinya Sarah), dan cucunya Yaakub.
Yaakub ini adalah anak kepada Ishak dan dialah yang digelar Israil.
- Dari keturunannya (Yaakub bin Ishak) lahirnya nabi-nabi dari keturunan bani Israil dan Allah telah beri kepada mereka petunjuk kepada jalan yang benar.
- Ayat ini ditafsir dengan firman Allah ini:
Maksudnya:
{Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.
Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.} (Maryam 19: 49-50)
- Sebelum nabi Ibrahim ada juga nabi lain yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan dia juga menghadapi tentangan dari kaumnya sama seperti nabi Ibrahim iaitu: {… dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu;}.
- Munasabahnya apabila Allah sebut tentang nabi Ibrahim & anak cucunya; Allah sebut pula tok neneknya pula iaitu Nabi Nuh.
Jadi Nuh adalah bapa manusia yang kedua selepas Nabi Adam.
- Maksudnya Ibrahim tidak bermula darinya, agama itu datang dari Allah melalui nabi Nuh lagi, yang berasal dari Adam AS.
Jadi Allah kata Nabi Nuh telah diberi hidayah sebelum nabi Ibrahim, Ishak & Yaakub.
- Allah sebut nabi Nuh kerana dialah pelopor, pembawa tauhid & dia dengan Ibrahim ini dekat-dekat.
Nabi Nuh juga muncul di tengah-tengah pemyembahan berhala sedang berkembang.
Kita telah sebut punca syirik penyembahan berhala dan patung berasal dari melampaui dalam memuja orang soleh.
- Nabi Nuh telah berdakwah kepada kaumnya beratus tahun tetapi mereka tidak hirau dan hanya sedikit yang beriman, sama seperti nabi Ibrahim yang berdepan dengan kaumnya yang menyembah berhala, bulan bintang dan sebagainya.
Ini adalah kategori yang pertama, Ibrahim & Nuh, sebab bapa & datuk yang utama.
- Kemudian dari zuriatnya {وَمِن ذُرِّيَّتِهِ} juga Allah beri hidayah perintah & lantik jadi nabi.
Tentang ini ada ulama’ kata maksudnya zuriat Nuh, ada yang kata zuriat Ibrahim seperti kitab tafsir kita ini, boleh belaka kerana Ibrahim pun berasal dari Nuh AS juga.
- Allah sebut pula satu demi satu lagi kumpulan rasul dari keturunan Ibrahim ini:
i- Kategori kedua: Daud, dan Sulaiman- Nabi yang mempunyai kerajaan & kekuasaan.
ii- Kategori ketiga: dan Ayub- Nabi yang sabar banyak menghadapi ujian.
iii- Kategori keempat: dan Yusuf- Nabi yang menghadapi ujian & kesusahan ketika kecil tetapi diangkat kedudukan apabila dewasa.
iv- Kategori kelima: dan Musa, dan Harun- Nabi yang menghadapi musuh yang besar dan mempunyai banyak mukjizat yang besar juga.
- Allah tutup ayat ini dengan menjamin akan memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.
Sebagaimana Allah balas yang baik kepada rasul-rasul yang mulia, beri taufiq kepada jalan yang benar kerana mereka patuh, taat & akur kepada perintah Allah!
AYAT 85- {DAN (DARI KETURUNANNYA JUGA IALAH NABI-NABI): ZAKARIA, DAN YAHYA, DAN ISA, DAN ILYAS; SEMUANYA DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH.} (AL-AN’AM 6:85)
- Dari keturunan Ibrahim juga lahirnya nabi Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari golongan orang-orang yang soleh.
- Mereka ini kategori yang kelima iaitu nabi zuhud yang tidak mempunyai jawatan besar dan kekuasaan duniawi, tetapi mereka tetap hebat kerana dilantik sebagai nabi.
AYAT 86- {DAN (DARI KETURUNANNYA JUGA IALAH NABI-NABI): ISMAIL, DAN ALYASAK DAN YUNUS, DAN LUT; DAN MEREKA ITU SEMUANYA, KAMI LEBIHKAN DARJAT MEREKA ATAS UMAT-UMAT (YANG ADA PADA ZAMANNYA).} (AL-AN’AAM 6:86)
- Dari keturunan Ibrahim juga lahirnya nabi Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut.
- Mereka ini adalah nabi yang tidak disebut banyak kisahnya dalam al-Quran atau tidak disebut lansung seperti Alyasak itu.
Yunus hanya disebut sekali kisahnya kemudian tidak diketahui kisahnya.
Nabi Ismail dengan kisahnya semasa kecil dan ketika berada di Makkah membina kaabah.
- Manakala Lut ulama’ kata pelik sikit kerana dia bukan dari zuriat Ibrahim secara direct, kerana dia anak saudaranya.
Ulama’ kata walaupun dia bukan zuriat Ibrahim secara lansung tetapi dia dikira termasuk dalam nabi-nabi keturunan nabi Ibrahim juga kerana kaum kerabatnya.
Lut masuk dalam kategori ini, kumpulan nabi yang habis ceritanya, Lut dengan habis musnah kaum LGBT-nya di Qura Sadum.
- Nabi & rasul ini banyak kategorinya dalam al-Quran. Sebab itu apabila kita belajar- ada bilangan nabi, bilangan rasul & bilangan rasul yang ulul-azmi iaitu yang banyak menghadapi cabaran & ujian berdepan dengan kaumnya!
- Mereka itu semuanya Allah lebihkan darjat mereka atas umat-umat yang ada pada zamannya. Yakni merekalah manusia terbaik pada zaman masing-masing kerana mereka nabi & rasul.
AYAT 87- {DAN (KAMI JUGA LEBIHKAN DARJAT) SEBAHAGIAN DARIPADA DATUK NENEK MEREKA, DAN KETURUNAN MEREKA, DAN MEREKA, DAN KETURUNAN MEREKA, DAN SAUDARA-SAUDARA MEREKA; DAN KAMI TELAH PILIH MEREKA, SERTA KAMI TUNJUKKAN MEREKA KE JALAN YANG LURUS.} (AL-AN’AM 6:87)
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah sebut beberapa nabi yang disebut dalam ayat-ayat sebelumnya;
ii- Allah nyatakan dalam ayat ini ramai lagi dari kalangan nabi itu dari datuk nenek dan keturunan mereka yang tidak disebut dalam al-Quran.
Ini kerana jika baca dalam kitab aqidah; nabi saja ada 124,000 orang, manakala rasul pula 313 orang dan yang disebut namanya dalam al-Quran hanya 25 orang.
- Dari kalangan para nabi & wali ini ada yang Allah pilih untuk menjadi rasul dan Allah beri mereka petunjuk dan pimpinan kepada jalan yang benar!
Ini menunjukkan rasul adalah jawatan yang paling tinggi bukan wali.
AYAT 88- {YANG DEMIKIAN ITU IALAH PETUNJUK ALLAH, YANG DENGANNYA IA MEMIMPIN SESIAPA YANG DIHENDAKINYA DARI HAMBA-HAMBANYA; DAN KALAU MEREKA SEKUTUKAN (ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN) NESCAYA GUGURLAH DARI MEREKA, APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN (DARI AMAL-AMAL YANG BAIK).} (AL-AN’AM 6:88)
- Allah memberi petunjuk & pimpinan kepada mereka para nabi & rasul itu.
Hidayah itu milik Allah, diberi-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
- Allah juga beri amaran kepada para nabi & rasul tentang syirik!
Jika kamu syirik nescaya akan gugur segala amal baik!
Kalau nabi pun Allah peringatkan tentang perbuatan syirik ini apatah lagi kita manusia biasa.
- Tugas & kerja para pendakwah ialah menyatakan batasan antara syirik & kufur dengan iman & Islam kepada masyarakat & orang ramai agar mereka tidak melanggarnya.
- Bukan tugas kita untuk menjatuhkan hukuman bahawa orang itu mungkar, orang ini kufur atau bid’ah.
Bukan kita nak menghukum; tetapi nak menyekat manusia dari terjebak ke dalam syirik & kekufuran!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
Maksudnya:
{Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.} (Az-Zumar 39:65)
AYAT 89- {MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADANYA KITAB SUCI, DAN HIKMAH (ILMU PENGETAHUAN), SERTA PANGKAT KENABIAN. OLEH ITU, JIKA ORANG-ORANG (KAFIR) ITU MENGINGKARINYA, MAKA SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENYERAHKANNYA KEPADA KAUM (LAIN) YANG TIDAK AKAN MENGINGKARINYA.} (AL-AN’AM 6:89)
- Allah nyatakan itulah mereka dari kalangan manusia yang diberi Kitab & kefahaman kepada mereka serta dilantik menjadi nabi.
Allah beri kitab & kefahaman kepada mereka untuk menyampaikan kepada umatnya!
- Kitab yang Allah sebut dalam al-Quran:
i- Suhuf Ibrahim AS.
ii- Taurat kepada Nabi Musa AS.
iii- Zabur kepada nabi Daud AS.
iv- Injil kepada nabi Isa AS
- Allah nyatakan jika puak kafir (yakni Quraisy) yang menentang Nabi SAW ini tetap mengingkari tidak mahu menerima Nabi SAW yang lahir dari kalangan mereka, kaum keluarga dekat mereka;
- Maka Allah akan serahkan tugas & kelebihan ini kepada kaum lain yang tidak mengingkari Nabi SAW. Ini telah terbukti, orang yang ikut Nabi SAW di Makkah pada awalnya ialah golongan miskin dan lemah, hatta pada hari ini.
Sekarang perkara ini telah berlaku, kerana Quraisy lari orang lain yang ambil peluang & kesempatan itu!
- Beberapa pandangan ulama’ tentang perkataan {هَـٰٓؤُلَآءِ}:
i- Kata Ibnu Asyur RHM : Aku telah membuat kajian ayat-ayat di dalam al-Quran dan mendapati kebanyakan perkataan {هَـٰٓؤُلَآءِ}- {orang-orang (kafir) itu}- ianya ditujukan kepada puak musyrikin Quraisy.
Sebagaimana ayat ini: {بَلْ مَتَّعْتُ هَـٰٓؤُلَآءِ وَءَابَآءَهُمْ}
{Bahkan Aku memberikan mereka dan datuk nenek mereka kesenangan…} (Az-Zukhruf 43:29)
ii- Kata Ibnu Athiyah & al-Qurtubi : Ia bermaksud Quraisy dan sesiapa saja yang menentang Nabi SAW. Ini lebih luas.
Allah gunakan perkataan {mereka itu}- {هَـٰٓؤُلَآءِ} dan tidak menyebut nama Quraisy secara nyata dalam al-Quran kerana mereka adalah anak-beranak, kaum keluarga Nabi SAW. yakni tidak mahu sebut banyak kali dalam isu yang tidak baik!
AYAT 90- {MEREKA (NABI-NABI) ITULAH, ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERI PETUNJUK OLEH ALLAH, MAKA TURUTLAH OLEHMU (WAHAI MUHAMMAD) AKAN PETUNJUK MEREKA; KATAKANLAH: “AKU TIDAK MEMINTA UPAH KEPADA KAMU MENGENAI PETUNJUK (AL-QURAN YANG AKU SAMPAIKAN) ITU. AL-QURAN ITU TIDAK LAIN HANYALAH PERINGATAN BAGI PENDUDUK ALAM SELURUHNYA.} (AL-AN’AM 6:90)
- Allah nyatakan dalam ayat ini dengan jelas agar kita ikut petunjuk para nabi & rasul yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.
- Semua mereka para rasul & nabi AS ini tidak meminta upah dalam tugas menyampaikan dakwah kerana Allah SWT yang melantik & memberi tugas kepada mereka! Al-Quran itu tidak lain hanyalah sebagai petunjuk kepada seluruh alam!
- Inilah gaya & adab para anbiya AS. sebagaimana dalam beberapa ayat lain:
i- {Turutlah Rasul-rasul itu;
Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.} (Ya Sin 36: 20-21)
ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi upahku yang sebenar hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu”.} (Saba’ 34:47)
iii- {“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.} (Asy-Syu’araa’ 26:109)
iv- {“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.} (Asy-Syu’araa’ 26:127)
v- {“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.} (Asy-Syu’araa’ 26:180)
Dalam Surah Asy-Syu’ara’ ini Allah sebut kisah tentang 5 orang nabi; Nuh, Hud, Soleh, Lut & Syu’aib, semua mereka mengatakan aku tidak minta upah balasan untuk kerja dakwah ini; balasan aku Allah yang akan beri dari sisinya.
vi- {Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata;…} (Hud 11:29)
- Maka kita para pendakwah kena ikut jejak langkah para rasul ini, kita jangan letak harga upah atau bayaran.
Sekadar orang bagi untuk duit minyak dan kos perjalanan kita ambil.
Tetapi jika nak cari makan dengan kerja agama ini bahayalah.
- Kerja al-Quran itu adalah sebagai peringatan kepada seluruh manusia.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 84- {Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub.}-
Dalam ayat ini Allah sebut Ishak & Yaakub sebagai zuriat keturunan Ibrahim.
Ini adalah merupakan balasan yang Allah nak balas bagi nabi Ibrahim AS. Bagi pengorbanan & perjuangan Nabi Ibrahim sebelum ini yang berdepan dengan kaumnya, meninggalkan keluarganya, berhijrah ke bumi Syam.
Lalu Allah kurniakan, ganti kepadanya zuriat anak cucu keturunan yang soleh.
Ibrahim ini dapat anak (ishak) apabila dia sudah tua, ketika dia dan isterinya Sarah tidak menyangka lansung akan dapat anak!
Jadi hasil dari dia meninggalkan keluarganya yang syirik; Allah gantikannya dengan keluarganya yang semua muslim, zuriat yang soleh, bahkan bukan setakat soleh tetapi ramai di kalangan rasul & nabi AS.
Demikianlah balasan bagi orang yang baik, maka jika kita nak Allah beri balasan yang baik, kita kena jadi orang yang baik!
Persoalan:
i- Kenapa dalam ayat ini Allah mulakan dengan Ibrahim dulu baru Nuh.
Sedangkan jika ikut urutan senioriti Nuh dulu sebelumnya.
Jawapan: Kerana ayat ini Allah sebut tentang jasa nabi Ibrahim, cerita khas tentang dia, maka mestilah sebut namanya dulu sebelum orang lain!
ii- Kenapa tidak disebut nama nabi Ismail dalam kumpulan pertama itu (bersama Ishak & Yaakub) sedangkan dia adalah anak kepada Ibrahim juga dan anak yang lebih tua?
Jawapan:
Kata ulama’ : Allah tidak sebut nama Ismail di situ tetapi beberapa ayat selepasnya kerana:
i- Ayat ini kerana nak sebut tentang anbiya’ bani Israil.
Nabi-nabi yang ramai itu bukan dari keturunan Ismail tetapi melalui jalur Ishak.
Oleh kerana cerita ini adalah cerita tentang nabi Ibrahim & puak bani Israil; maka disebut dua nama (Ishak & Yaakub), tidak disebut nama Ismail yang melalui jalurnya hanya Nabi Muhammad SAW. keturunan Arab.
ii- Juga kerana ayat ini nak berlawan dengan Arab Makkah. Allah nak pukul Arab Quraisy; jadi jika disebut nama Ismail sekali sedangkan nabi Muhammad dari keturunannya, maka mereka tidak akan heran dan hiraunya!
Jelaslah bukan kerana Ismail terpinggir tetapi ditangguhkan sebutannya kerana ada sebab & hikmah!
Apabila dikaji fahamlah kita dan wallahu a’lam.
- Ayat 84- {Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk,…}-
Setelah Allah sebut nama para anbiya’ ini Allah katakan bahawa semua mereka itu, anak cucu Nabi Ibrahim ini Allah beri petunjuk & bimbingan kepada mereka!
Begitulah manusia ini amat suka & bangga jika anak cucunya mendapat kejayaan & pencapaian yang lebih daripadanya.
Tidak ada bapa yang dengki dengan kejayaan anaknya yang lebih daripadanya!
Kita mahu anak kita lebih alim lagi daripada kita!
Maka Allah kata semua anak cucu nabi Ibrahim ini Aku beri petunjuk!
Tetapi kamu jangan lupa sejarah; Nabi Ibrahim ini bukan nabi yang pertama, dia hanya menyambung tugasan tok nenek & nabi yang sebelumnya iaitu Nuh AS.
Kerana itu Allah katakan: {…dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu;}
Juga menyatakan bahawa jika kita orang baik; kita juga suka jika anak-cucu kita baik.
Begitu juga dalam masa yang sama; kita juga berbangga jika tok nenek kita juga orang baik!
Kata penganalisa juga: Kenapa selalu disebut nabi Nuh bersama dengan Nabi Ibrahim AS?
Jawapan:
Kerana kisah nabi Ibrahim & Nuh ini dekat-dekat.
i- Nuh muncul di saat penyembahan berhala sedang berkembang.
Sebagaimana dalam ayat yang sebelum ini: [Surah Nuh: ayat 23-24.] Lalu Nun muncul dan diutuskan untuk membanterasnya.
ii- Datang Ibrahim juga telah berdebat dengan kaumnya yang menyembah berhala, bahkan bapanya sendiri pengukir berhala.
Boleh lihat ayat 23 Surah Hud yang sebelum ini telah kita bawa.
Jadi kisah Nuh & Ibrahim ini hampir sama, maka Allah kata sebelum Ibrahim telah datang nabi Nuh AS yang kisahnya juga sama.
- Dalam ayat-ayat kita ini Allah sebut nama 4 orang nabi dahulu kemudian selepas mereka 14 orang nabi pula, menjadikan jumlah 18 orang semuanya.
Tetapi bukan ikut tertib susunan zaman siapa yang dahulu diutuskan.
Huruf wau (و) yang bermaksud (dan) di sini tidak menunjukkan tertib.
Kadang-kadang Allah sebut susunan ikut kedudukan, darjat, kategori dan lain-lain.
Jadi kesimpulannya nama-nama nabi yang disebut ini mengikut kategori atau kumpulan. Kita lihatnya:
a- kategori pertama ialah 4 orang yang besar-besar iaitu kategori datuk; Nuh, Ibrahim, Ishak dan Yaakub AS.
b- Kemudian kategori anak cucu:
i- Martabat pertama ialah kumpulan yang menjadi rasul & raja yang memiliki kekuasaan yang besar iaitu Daud & anaknya Sulaiman AS.
ii- Martabat kedua ialah yang diberi ujian yang berat seperti nabi Ayub & Yusuf AS.
iii- Martabat ketiga yang diberi ujian berat juga tetapi akhirnya mendapat nikmat dengan menjadi raja iaitu Nabi Yusuf AS.
Yakni dapat dua-dua.
iv- Martabat keempat yang mempunyai banyak mukjizat iaitu Nabi Musa AS diikuti saudaranya Harun AS.
v- Martabat kelima ialah kumpulan yang zuhud, yang tidak ambil dunia hanya ibadat, tidak mempunyai kedudukan dunia iaitu – Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas.
vi- Martabat keenam ialah nabi yang tidak mempunyai pengikut yang ramai iaitu Ismail, Alyasak, Yunus dan Lut.
Kita dengar cerita atau namanya kemudian tidak disebut lagi kisahnya.
Apabila kita lihat kepada enam kategori ini barulah kita nampak tertib susunan yang Allah buat dalam al-Quran ini.
Betapa indahnya apabila kita tadabbur al-Quran, Allah tidak buat semua itu saja-saja tanpa hikmat & ilmu!
- Ayat 84- {… dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.}-
Allah sebut di sini tentang:
i- Nabi Yusuf AS seorang nabi yang diuji sejak dari awal lagi kemudian diangkat darjatnya, diberi kerajaan dan menjadi raja.
ii- Nabi Musa yang menghadapi Firaun yang zalim kemudian akhirnya Firaun mati & Musa dan Harun AS mendapat kemenangan.
Kedua mereka ini duduk di Mesir iaitu kumpulan dari Mesir.
Hatta ke hari ini kita boleh melihat banyak tinggalan kenangan & jasa Firaun di Mesir, tetapi hanya menjadi tempat pelancongan bukan untuk diambil pengajaran & Ibarah.
Sedangkan banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah Firaun & Musa AS.
- Ayat 85- {Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh.}-
Kemudian Allah sebut nama nabi-nabi ini, inilah adalah kumpulan nabi yang zuhud yang tiada pangkat atas dunia ini.
Kita sebagai umat Islam, kita baca kisah & sirah para nabi kita akan dapati setiap nabi-nabi itu ada peranan masing-masing.
Ada yang menjadi raja ada yang nabi yang kerjanya hanya berdakwah.
Begitu juga kita manusia, umat ini ada jadi raja, Menteri, ada yang tidak memiliki jawatan hanya berdakwah dan sebagainya.
Semua ada peranan dan tugas masing-masing yang harus dijalankan, tugasan yang kena buat setakat kemampuan dan tenaga yang kita ada!
Persoalan: {… Zakaria, dan Yahya, dan Isa,..}-
Kenapa Isa disebut bersama dengan mereka ini juga sedangkan dia tidak datang dari keturunan anak lelaki, tetapi dari ibunya Maryam kerana dia tiada bapa. Anak perempuan tidak dibintikan kepada anak cucu Ibrahim?
Jawapannya:
Anak cucu kita dari anak perempuan dikira termasuk dalam zuriat kita juga.
Kerana itu al-Hasan, al-Husain anak kepada Sayyidah Fatimah termasuk dari zuriat Nabi SAW dari tidak dikata cucu Abu Talib.
Contoh: Kita kata aku wasiatkan kebun aku ini kepada semua anak cucuku. Maka pastilah semua cucu kita termasuk dari anak lelaki & anak perempuan termasuk sekali semuanya.
- Ayat 88- {Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).}-
Allah kata itulah jalan petunjuk dari Allah.
Kamu nak selamat ikut jalan Allah, jalan para rasul & anbiya’ AS. yang besar sekali ikut jalan Nabi Muhammad SAW.
Serta amaran jangan sesekali kamu berani syirik kepada Allah, jika kamu syirik akan gugur segala amalan!
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini Allah sedang cerita tentang para nabi, jika kepada para nabi pun Allah beri amaran tentang syirik yang boleh gugur amalan.
Jika para nabi pun akan gugur amalannya dengan sebab perbuatan syirik, apatah lagi anak cucu nabi dan manusia biasa seperti kita!
Yang kita ikut ajaran Nabi yang sebenar bukan ajaran yang pelik-pelik!!
Jika bawa ajaran yang Nabi tak ajar maka itu bukan pengikut Sunnah Nabi SAW yang sebenar walaupun mereka mengaku anak cucu nabi!
Akhirnya Allah kata kerja al-Quran itu menjadi peringatan kepada sleuruh alam.
Dengan kita baca al-Quran & tadabburnya moga Allah kurniakan kepada kita yang terbaik dalam perjalanan kita menuju Allah Azza wa Jalla.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini semoga memberi manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.